Durian D2 adalah varieti paling awal di daftarkan di Jabatan Pertanian iaitu selepas D1. Tahun pendaftarannya ialah pada tahun 1934 yakni 88 tahun lalu. Ketika itu ramai di antara kita masih belum lahir lagi. D2 dapat mengekal di pasaran sehingga kini bukanlah suatu kebetulan. Kualiti buah termasuk isi berkualiti tinggi diyakini adalah jawapannya.
D2 berasal dari Melaka. Pokok D2 kini agak sukar ditemui. Namun ia tidak luput dalam sejarah. Isi buah D2 yang penuh padat serta banyak berbiji kesep masih dalam ingatan sesetengah orang yang pernah menikmati buah ini. Apabila dibuka, isinya memenuhi keseluruhan pangsa, kebanyakan masa satu pangsa hanya terdiri daripada seulas isi sahaja menyatakan betapa padat isi tersebut.
Buah D2 berbentuk lonjong dan amnya mempunyai leher menirus ke arah tangkai buah. Leher inilah yang menjadikan buahnya susah dikopek. Masa dan tenaga diperlukan untuk membuka buah ini, tetapi berbaloi selepas melihat isinya yang sangat tebal, halus, padat, berlemak dan pahit secara sederhana. Aroma buah kononnya kuat.
Maka itu, ciri utama bagi D2 ialah kesukaran mengopek buahnya tetapi ini tidak menjadi halangan kepada peminat buah ini. Dari sudut komersial, ciri ini menjadi halangan pula terhadap popularitinya. Isi buahnya berwarna kuning cerah serta bertekstur halus.

Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350
Website: www.behnmeyer.com
Menurut sumber, pengeluaran hasil bagi D2 amnya rendah kerana putik buah susah sedikit untuk mengekal di atas pokok. Pihak PPK dari Serdang, Selangor telah mengacukkan D2 dengan D24 dan menghasilkan klon baru yang dinamakan D144. Klon ini telah didaftarkan di Jabatan Pertanian pada tahun 1981. Buah D144 berbentuk jantung dan berwarna perang. Isinya manis dan berlemak. Buah D144 masih mengekalkan ciri susah untuk dibuka manakala isi buah lebih mirip ke arah cita rasa D24.
Oleh kerana D24 amnya berhasil agak tinggi, justeru langkah kacukan itu bertujuan untuk menghasilkan pokok berhasil lebih tinggi berbanding D2. D144 pernah mengalahkan Musang King (D197) dalam satu pertandingan durian yang berlangsung pada tahun 1993 di Serdang, Selangor. Justeru itu, kualiti buah D144 juga tidak boleh dipandang rendah.
Bahan rujukan :
1. Warisan Petani
2. Lindsay Gasik, The Durian Tourist’s Guide to Penang, 2018.
Samudra SMS Sdn Bhd
Tel : 06-556 1086, 012-964 4932
016-663 6198 / 012-3232 055 (Office)
Email : chssb@hotmail.com