You are currently viewing Potensi Pasaran Produk Bernilai Tinggi Berasaskan Terung Asam

Potensi Pasaran Produk Bernilai Tinggi Berasaskan Terung Asam

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Palm King Marketing Sdn Bhd
No 40, Jalan Hasta 1, Kawasan Perusahaan Batu 12, 42500 Telok Panglima Garang, Selangor, Malaysia
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd

Website: www.klspalmking.com

Pengenalan

Solanum lasiocarpum atau lebih dikenali sebagai terung asam tergolong dalam keluarga Solanaceae. Terung asam yang juga popular sebagai cung bulu (Indonesia), khua kon (Laos), tabanburo (Filiphina), sinkade (Myammar), yongkuidi (Vietnam), muuk (Thailand) dan terung pasai di Brunei. Di Malaysia terutamanya di Sarawak, terung asam lebih dikenali sebagai terung dayak atau terung iban yang telah diiktiraf dan didaftarkan sebagai harta intelek di bawah Petunjuk Geografi (GI) oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (Mylpo) pada tahun 2011. Persijilan Gl adalah bagi melindungi keaslian dan nilai tanaman kepada negara.

Terung asam adalah tanaman asli dan sayuran yang tumbuh liar. Terung asam dianggap buah yang unik bagi pelancong yang melancong ke negeri Sarawak (Soon, 2021). Buah terung asam juga sering dijadikan penyedap rasa dalam masakan terutama bagi masyarakat Sarawak seperti masakan sayur terung asam, sambal bakar terung asam, asam pedas, terung asam rebus, masak ikan darat dan sebagainya. Terung asam dapat merangsang selera serta dapat menghilangkan rasa hanyir. Di kalangan masyarakat India pula, terung asam sering digunakan sebagai perasa masam di dalam masakan kari, malah di Thailand produk popular dihasilkan seperti sos khas atau ‘Nam Prik’ yang digunakan sebagai penyedap masakan.

Selain digunakan di dalam masakan, terung asam juga digunakan sebagai perubatan tradisional dalam merawat penyakit seperti dijadikan penawar bagi mengubati sakit gigi dan air rebusan akarnya digunakan sebagai air mandian untuk mengubati demam (Syarpin, 2018). Terung asam mengandungi pelbagai zat seperti vitamin C, kandungan antioksidan yang tinggi serta bahan kimia semulajadi iaitu asid hidroksisinamik (Jadual 1). Menurut kajian (Hwong et al., 2019) terung asam juga dikatakan dapat merendahkan paras kolestrol dalam darah, meningkatkan metabolisme badan dan mengawal tekanan darah tinggi. Oleh hal yang demikian, terung asam kian mendapat perhatian pengusaha industri makanan dan agensi kerajaan dalam penyelidikan dan pembangunan.

Sejajar dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2011 – 2020 sokongan terhadap pembangunan produk berteraskan kajian saintifik sentiasa diperlukan bagi memacu produtiviti baharu dikalangan usahawan. Dasar ini digubal bagi meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengeluaran bekalan makanan agar sentiasa mencukupi dan dapat memenuhi permintaan pasaran. Selain itu, dasar ini juga dibuat bagi meningkatkan pendapatan negara dan membantu golongan sasar dengan mentransformasi industri agromakanan kepada industri yang lebih moden dan berdaya saing. Permintaan yang semakin meningkat terhadap pertanian bernilai tinggi juga akan memberi peluang kepada usahawan tani untuk meningkatkan pendapatan.

Terung asam mempunyai potensi tinggi dikomersilkan bagi pasaran tempatan dan luar negara. Penyelidikan ke atas terung asam juga tidak tertumpu kepada buah sahaja, malahan diperluas kepada produk tambah nilai daripada daun, batang, buah dan akar. Sehingga kini sebanyak lima belas produk telah dibangunkan oleh penyelidik Jabatan Pertanian Sarawak seperti jem terung asam, aiskrim terung asam, halwa terung asam, kek keju tiung, terung asam keping, terung ais loli, sambal terung asam dan sebagainya.

 

Produk Minuman Berasaskan Terung Asam MARDI

MARDI telah berjaya menghasilkan produk minuman kesihatan berasaskan terung asam melalui kajian yang dijalankan pada Januari 2016 hingga Disember 2017 (Suhana et al., 2019). Kajian ini bertujuan untuk membangunkan formulasi atau produk yang bersifat anti-obesiti dan anti-inflamotari berasaskan terung asam. Produk ini sangat efektif bagi pengurangan berat badan. Justeru, bagi mengenal pasti potensi dan penerimaan pasaran terhadap produk minuman terung asam yang dihasilkan MARDI, kajian telah dijalankan bersama pengguna biasa seramai 251 orang di negeri Selangor dan Sarawak pada tahun 2018. Kesemua responden diminta untuk menjawab borang soal selidik berstruktur yang telah disediakan. Majoriti responden adalah dari kalangan wanita (57.8% – 145 orang) berbanding lelaki (42.2% – 106 orang). Bagi kategori umur pula, majoritinya dikalangan pengguna muda berumur 20 – 40 tahun (71.7% – 180 orang) dan bakinya (28.3% – 70 orang) melebih 40 tahun ke atas. Lebih 50% responden bekerja (71.7% – 235 orang) di sektor swasta dengan pendapatan isi rumah antara RM 2,001 RM 5,000 (46.6%). Keterangan profil adalah seperti di Jadual 2.

Kesedaran Pengguna Terhadap Terung Asam

Dapatan menunjukkan terung asam secara keseluruhannya (55% responden) tidak diketahui oleh pengguna. Hanya segelintir sahaja yang mengetahui dan pernah makan terung asam iaitu sebanyak 21.5 %. Selebihnya 19.1% responden tahu mengenai terung asam tetapi tidak pernah memakannya dan 4.4 % responden tidak pernah mengetahui dan tidak pernah memakan terung asam. Kebanyakkan pengguna yang mempunyai pengalaman adalah dari kalangan pengguna di Sarawak dimana buah ini banyak ditanam. Walaupun kesedaran masih rendah terutama dikalangan pengguna muda, namun dipercayai penerimaan di masa akan datang akan memberangsangkan. Faktor pemilihan produk yang selamat dan terjamin berasaskan kajian akan menjadi fokus pengguna terkini.

Ujirasa Produk Minuman Berasaskan Terung Asam MARDI

Di samping bertanyakan pandangan pengguna terhadap terung asam, ujirasa produk juga dibuat bersama responden. Responden diminta untuk memberi maklum balas penilaian deria atribut terhadap rasa, warna, aroma, rupa, kelikatan dan skor keseluruhan berdasarkan skala Likert 5-point (1 = Sangat tidak suka, 2 = Tidak suka, 3= Neutral, 4 = Suka dan 5 = Sangat suka). Perbandingan min skor menunjukkan responden menerima baik produk ini di mana nilai min melebihi 3 (neutral) dan menghampiri 4 (suka). Seramai 50% responden menyukai attribut keseluruhan. Atribut kelikatan menunjukkan skor tertinggi (3.64) dan atribut rasa menunjukkan skor terendah (3.20). Berdasarkan maklum balas pengguna, faktor rasa perlu ditingkatkan kerana ia kurang disukai oleh responden. Justeru, cadangan penambahbaikan adalah dengan menambah sedikit rasa manis atau masam daripada bahan campuran asli seperti stevia, asam jawa atau lemon.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


TK Tani Enterprise Sdn Bhd
No. 6, Jalan SS2/39, 47300 Petaling Jaya, Selangor. Malaysia.
Tel : +603-7877 7366 / +603-7877 7466
    +6019-337 5570 / +6017-640 8982
Email : tktuntan@gmail.com
          inaiutamasb@gmail.com

Kesanggupan Untuk Membeli di kalangan Pengguna

Responden telah ditunjukkan dan diterangkan berkaitan produk minuman kesihatan yang dijangka akan dijual di pasaran. Cadangan harga bida atau harga tawaran bagi sekotak minuman kesihatan di peringkat runcit adalah bernilai RM75 (mengandungi 15 sachet berat 20 g sekotak). Setiap sachet mengandungi cecair terung asam mengikut formulasi yang dikaji. Harga jualan kilang (ex-factory) adalah bernilai RM50 sekotak dengan kos pengeluaran sekotak bernilai RM40.60. Rajah 2 menunjukkan majoriti responden (76.9%) bersetuju dan mempunyai kesanggupan yang tinggi untuk membayar produk terung asam jika dijual dengan harga RM75 sekotak di pasaran runcit. Manakala selebihnya 23.1% tidak sanggup menerima dan membeli kerana tidak menyukai rasanya dan menganggap harga bida terlalu tinggi.

Kesimpulan

Terung asam mempunyai potensi komersil sebagai produk bernilai tinggi kerana mempunyai kemampuan sebagai anti-obesiti dan anti-inflamotari yang bertindak bagi pengawalan berat badan. Statistik dari Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan Malaysia merupakan antara negara utama mempunyai kadar obesiti yang tinggi dikalangan rakyatnya di antara negara ASEAN yang lain. Kajian terperinci menunjukkan di mana seorang dalam dua orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan (Kementerian Kesihatan Malaysia 2019). Justeru, di samping mengamalkan gaya hidup sihat dan mengambil makanan seimbang, pengambilan produk yang selamat berasaskan terung asam berdasarkan kajian saintifik dapat membantu pengguna mengekalkan berat badan ideal. Diharapkan di masa akan datang lebih banyak produk yang dihasilkan dari penyelidikan MARDI yang dapat digunapakai pengguna tanpa sebarang keraguan.

 

Sumber maklumat :

1.Kementerian Kesihatan Malaysia. (2019). Malaysia negara obesiti. Diperoleh pada 2 November 2019 dari https://www.sinarharian.com.my/article/24891/LIFESTYLE/Sinar-Aktif/Isuobesiti-Malaysia

2.Hwong, C. S., Koh, C. C. dan Hii, S. L. (2019). Nutritional composition of unripe and ripe freeze-dried terung asam from Sarawak. e-Bangi, 16(3)

3.Razili, R.M., Umar, S., & Sallehuddin, R. (2015). Quality product from terung asam (Solanum Lasiocarpum Dunal): A popular indigenous fruit vegetable of Sarawak, Malaysia. Acta Hortic. 1088, 569-572. DOI:10.17660/ActaHortic.2015.1088.104

4.Shariah., U. (2011). Sarawak Dabai and Terung Asam get Geographical Indications (GI) protection. Diperoleh pada pada 24 Februari 2020 dari https://doa.sarawak.gov.my/modules/web/pages.php?mod=news&sub=news_view &nid=24

5.Soon, A. T. K., & Ding, P. (2021). A Review on Wild Indigenous Eggplant, Terung Asam Sarawak (Solanum lasiocarpum Dunal.). Sains Malaysiana, 50(3), 595-603.

6.Suhana, S. Rozita, M.Y., Zawiyah, P. Zuraida, A.R., Waznul Adly, M.Z., Ayu Nazreena, O., Muhammad Hakimi, H. (2019). Kajian pembangunan produk minuman kesihatan berasaskan terung asam. Laporan Kajian Sosioekonomi 2019. MARDI. Serdang, Selangor

7.Syarpin, S., Wahyu, N., & Sari, R. (2018). Uji Fitokimia dan Antioksidan Ekstrak Etanol Buah Terung Asam (Solanum Ferox L). Acta Pharmaciae Indonesia, vol. 6, no. 2, 2018, pp. 46-50, doi:10.5281/zenodo.3707211.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Union Harvest (M) Sdn Bhd
4th Floor, Block A, Menara PKNS - PJ, 17, Jalan Yong Shook Lin, 46050 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan,.Malaysia.
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com

Website : www.unionharvest.com

Sila kongsi kepada kawan :