You are currently viewing Arang Bio Sekam Padi Perapi Tanah Yang Unggul

Arang Bio Sekam Padi Perapi Tanah Yang Unggul

- - iklan - -


Union Harvest (M) Sdn Bhd
4th Floor, Block A, Menara PKNS - PJ, 17, Jalan Yong Shook Lin, 46050 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan,.Malaysia.
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com

Website : www.unionharvest.com

Tanah adalah ‘ibu’ kepada semua jenis tanaman serta memainkan peranan penting dalam membesarkan tanaman. Tanah yang sihat dan subur berdaya meningkatkan pengeluaran hasil tanaman dan begitu sebaliknya. Oleh itu kelestarian tanah perlu dijaga agar sentiasa memberi kesan hasil sewajarnya.

Namun, tanah yang sihat dan subur semakin berkurangan di masa kini kerana penanaman yang dilakukan berpanjangan telah merosotkan kesuburan asal malah hilang keseimbangan dari segi nilai pH, porositi, konduktiviti elektrik dan sebagainya sehingga mewujudkan pengaruh negatif terhadap pengeluaran hasil tanaman. Justeru itu, tanah perlu dipulihara dan dipelihara untuk kesinambungan penanaman. Arang bio sekam padi yang berfungsi sebagai perapi tanah (soil conditioner) merupakan salah satu bahan organik yang boleh digunakan untuk tujuan pemuliharaan ini.

Arang bio berasal daripada sekam padi (rice husk) yang boleh didapati dalam kuantiti yang banyak dan murah di Malaysia. Ia adalah hasil sampingan pembakaran sekam padi pada suhu rendah dengan oksigen terkawal bertujuan untuk menjana tenaga elektrik dan haba bagi kegunaan kilang pemprosesan padi. Bahan ini kini boleh dimanfaatkan ke dalam penanaman apa jua tanaman di ladang kerana ia memiliki sifat kimia-fizik yang sesuai digunakan sebagai perapi tanah serta bahan tambahan organik dalam baja.

MARDI telah menjalankan kajian ke atas kesan arang bio sekam padi terhadap tanaman tomato, timun dan kubis yang diusahakan di ladang organik MARDI Serdang dan tanaman jagung serta padi di MARDI Bachok. Tujuan kajian tersebut untuk menilai keberkesanan arang bio sekam padi sebagai tanah perapi untuk menyuburkan serta memulihara tanah.

Keputusan kajian itu menyatakan ciri-ciri kimia-fizik arang bio sekam padi seperti nilai pH yang tinggi, keupayaan peneutralan asid, keupayaan pegangan air adalah faktor utama yang menjadikan arang bio sekam padi sebagai perapi tanah yang sesuai. Kelebihan arang bio sekam padi juga termasuk ruang rongga mikro dan kadar keluasan yang tinggi membolehkannya menyerap air dan nutrien dengan efisyen. Bagi tanah lom berpasir, peningkatan hasil tanaman sangat berkadaran dengan peningkatan pH, KPK dan porositi tanah. Peningkatan hasil sebanyak 10 – 25% dicapai dengan penambahan arang bio sekam padi pada kadar antara 3 – 10 tan/ha bagi tanaman kubis, timun dan tomato. Bagi tanah bermasalah seperti tanah asid sulfat, kadar arang bio sekam padi yang lebih tinggi diperlukan iaitu 19 tan/ha bagi padi dan 9 tan/ha untuk tanaman jagung.

 

Bagi tanah pasir bris, keupayaan pegangan air tanah merupakan faktor penting untuk peningkatan hasil tanaman. Penambahan arang bio sekam padi pada 9 tan/ha mampu menaikkan keupayaan pegangan air tanah daripada 7.2 – 10.1% kepada 12.5 – 20.2% selepas dua musim penanaman. Bagi tanah asid sulfat, nilai pH meningkat daripada 3.3 kepada 4.2 untuk tanaman padi dan pH 4.5 untuk tanaman jagung. Kajian ini menunjukkan peningkatan pH tanah menjadi faktor utama dalam peningkatan hasil tanaman selepas dua musim penanaman.

Penambahan arang bio sekam padi juga meningkatkan porositi tanah untuk semua jenis tanah dengan kesan paling ketara berlaku ke atas tanah asid sulfat yang telah dibekalkan dengan 19 tan/ha.

Pembekalan arang bio sekam padi juga berpotensi meningkatkan kesuburan tanah selanjutnya menambah hasil pengeluaran tanaman. Dalam jangka masa panjang, penggunaan arang bio sekam padi sebagai perapi tanah mampu mengurangkan jumlah aplikasi baja tanpa menjejaskan keberkesanan tanah sebagai medium tanaman.

 

Sumber maklumat :

Theeba Manickam et al., “Teknologi Perapi Tanah Arang Bio Sekam Padi Bagi Pengurusan Tanah Bermasalah Dan Pengeluaran Tanaman Yang Lestari”, Buletin Teknologi MARDI Bil. 18 (2020): 111-116, MARDI.

Hantar blog ini kepada :