Biji benih cambah sawit diperlukan oleh penanaman baru dan penanaman semula. Memandangkan kerajaan sudah memutuskan tidak akan memberi kebenaran untuk penanaman baru sawit menyebabkan pengeluar biji benih hanya boleh memasarkan produk mereka kepada penanaman semula sama ada melalui tapak semaian sawit swasta ataupun tapak semaian anak benih estet.
Sumber daripada MPOB menunjukkan sejak tahun 2010 2020, peningkatan keluasan baru tanaman sawit adalah di sekitar 191,000 – 296,000 ha setahun. Mulai tahun 2010, peningkatan keluasan telah berkurangan daripada 240,000 ha kepada 191,000 ha pada tahun 2020. Dalam tempoh masa yang sama, keluasan penanaman semula berpurata 228,000 ha setahun. Keadaan ini menyatakan para pengeluar biji benih dalam negara kini akan lebih bergantung kepada penanaman semula untuk pemasaran produk mereka.
Dalam tempoh masa 10 tahun itu, pengeluaran purata tahunan biji benih sawit adalah berjumlah 89 juta biji manakala keperluan dalam negara hanya di antara 38 juta 59 juta biji setahun dengan lebihan berpurata 43.3 juta biji setahun. Perkara ini menandakan bekalan biji benih cambah sawit dalam negara adalah lebih daripada mencukupi dan biji benih lebihan boleh dieksport ke luar negara.
Biji benih cambah sawit di Malaysia bermutu tinggi dan justeru itu semakin mendapat sambutan baik daripada pemain sawit di luar negara. Di Afrika dan Amerika, keluasan tanaman sawit terus berkembang kerana tanaman ini mampu membasmi kemiskinan rakyat dan memajukan sosio-ekonomi negara mereka. India juga dalam cadangan membesarkan keluasan tanaman sawit mereka untuk menampung permintaan minyak masak oleh rakyatnya. Maka itu, ini peluang baik kepada para pengeluar biji benih cambah sawit di Malaysia untuk membesarkan pasaran mereka. Umpamanya Kumpulan FGV sudah memasarkan 1 juta biji benih kepada India pada tahun 2020 dan diikuti oleh 1.5 juta biji lagi pada tahun 2021. Sebelum itu Kumpulan FGV juga telah memasarkan 1.5 juta biji kepada Indonesia, 560,000 biji kepada Thailand, 320,000 biji kepada Papua New Guinea dan 250,000 biji kepada Sri Lanka. Kesemua ini adalah biji benih sawit Yangmabi ML 161.
Rujukan :
Ahmad Kushairi Din et al., (Penyunting), Oil Palm replanting-Little Steps To A Giant Leap, MPOB, 2018, pp. 56.