You are currently viewing Kacukan Antara Baka-Baka Durian Memberi Kesan Sinifikan Terhadap Kadar Pembentukan Buah Dan Kualiti Buah

Kacukan Antara Baka-Baka Durian Memberi Kesan Sinifikan Terhadap Kadar Pembentukan Buah Dan Kualiti Buah

- - iklan - -


Union Harvest (M) Sdn Bhd
4th Floor, Block A, Menara PKNS - PJ, 17, Jalan Yong Shook Lin, 46050 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan,.Malaysia.
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com

Website : www.unionharvest.com

Pokok durian akan mula berbunga kemudian berbuah apabila mencapai peringkat matang melainkan pokok itu bermasalah dari segi pertumbuhan fisiologi atau gentik. Namun begitu, walaupun pokok durian boleh berbunga tetapi tidak bermaksud ia akan berbuah serta bakal memberi hasil buah yang boleh dipasarkan. Ini disebabkan banyak faktor didapati mempengaruhi pembentukan buah durian seperti cuaca, kelembapan tanah dan udara, status nutrien dalam tanah dan sebagainya. Begitu juga dengan kadar keberkesanan pendebungaan yang melibatkan aspek sumber bunga jantan (debunga) dan bunga betina turut memberi kesan signifikan.

Umpamanya, debunga berkualiti rendah akibat dirosakkan oleh kabus atau hujan lebat tidak akan menjayakan pendebungaan. Debunga dan bunga betina daripada baka durian yang sama juga tidak akan memberi kadar pembentukan buah yang tinggi. Contohnya durian D24 yang memiliki sifat pendebungaan ini didapati memberi kadar pembentukan buah lebih rendah daripada 5% manakala durian baka Chanee tidak berbuah langsung jika pendebungaan ini berlaku. Durian Monthong juga mengahdapi masalah seumpama ini.

Walaupun hasil kajian daripda beberapa pihak memberi keputusan yang berbeza dalam aspek ini, tetapi adalah menjadi fakta yang diterima umum bahawa pendebungaan antara debunga dan bunga betina sesama baka akan mengalami kadar pembentukan buah yang rendah berbanding pendebungaan silang.


Dalam hal ini, pendebungaan silang iaitu debunga daripada satu baka dikacukkan dengan bunga betina daripada baka durian lain adalah sifat semula jadi pokok durian secara umum. Pokok D24 didapati memperolehi kadar pembentukan buah sehingga 54 – 60% melalui pendebungaan silang. Sungguhpun begitu, sekiranya keserasian kedua-dua baka itu adalah rendah, ia tetap akan merendahkan kejayaan kacukan tersebut.

Oleh yang demikian, maka kacukan antara baka-baka durian adalah faktor yang mempengaruhi kadar pembentukan buah di samping juga mempengaruhi kualiti buah durian. Keadaan ini pernah dilaporkan dalam kajian yang dijalankan oleh penyelidik di Pusat Penyelidikan Buah-Buahan Tropika Indoseia. Kajian tersebut dijalankan antara Januari 2010 hingga Disember 2011.

 

Kaedah Kajian

Pokok induk durian berumur lebih kurang 15 tahun daripada pelbagai baka telah dipilih untuk menjalankan kajian tersebut. Debunga daripada pelbagai baka telah dikutip kemudian disapukan pada bunga betina di atas pokok. Untuk mengelakkan keadaan pendebungaan sesama baka berlaku, bunga jantan di atas pokok telah dibuang. Bunga betina yang sudah menerima debunga daripada baka lain dilindungi dengan beg serta dicatatkan tarikh pendebungaan serta butir baka pokok induk dan juga sumber baka debunga.

Sebanyak 10 baka durian telah dipilih dalam kajian tersebut dan kesemua baka itu tentulah baka tempatan Indonesia iaitu Matahari, Kani, Otong, Sitokong, Lai, Kim, Sunan, Bokor, Hortimart dan Tangkue. Semua debunga dan bunga betina daripada baka-baka ini didebungakan secara silang dan juga secara manual dan membentuk keseluruhan 26 kategori pendebungaan silang.

Hasil Kajian

Hasil kajian itu telah menunjukkan separuh daripada kesemua 26 kategori pendebungaan itu tidak menghasilkan buah langsung. Begitu juga hasil kajian menyatakan tiada pertalian dikesan di antara jumlah bunga yang telah menerima debunga dengan kadar pembentukan buah. Dengan kata lain, terdapat faktor lain yang telah menyebabkan bunga yang sudah didebungakan itu tidak menghasilkan buah pada akhirnya.

Dalam kesemua 26 kategori pendebungaan itu, baka Matahari dikacukkan dengan baka Sitokong memberi kadar pembentukan buah paling tinggi iaitu 20% diikuti oleh Kim x Sunan dan Kani X Otong yang masing-masing mencatatkan kadar 15% dan 14.29%. Melalui kaedah konversi secara formula, didapati bahawa kacukan atau pendebungaan di antara baka-baka memberi kesan signifikan terhadap kadar pembentukan buah durian. Misalnya, bunga betina baka Kim yang sudah dikacukkan mencatatkan kadar pembentukan buah paling tinggi diikuti oleh bunga betina baka Matahari. Pada konteks debunga pula, baka Sunan dan Sitokong kemudian diikuti oleh baka Otong dan Kim menghasilkan kadar pembentukan buah yang lebih tinggi daripada baka-baka lain.


Hasil analisis buah durian yang telah matang dalam kajian yang sama itu menunjukkan bahawa warna isi buah sebenarnya diwarisi daripada induk betina (bunga betina). Keadaan ini dapat disaksikan melalui warna isi buah yang sama-sama berwarna oren apabila bunga betina baka Lai dikacukkan masing-masing dengan debunga baka Sitokong, Matahari dan Otong. Durian baka Lai memang berisi oren. Menurut sumber, baka Lai lebih merupakan salah satu spesies durio yang tidak sama dengan spesies Durio ziberthines, Murr. Durian baka Lai umumnya dikenali sebagai durian liar dalam konteks Malaysia.

Selain itu, baka induk betina didapati memberi kesan signifikan terhadap buah durian dari segi berat buah, saiz buah, ketebalan kulit dan isi buah, bilangan biji benih dalam buah dan sebagainya. Begitu juga baka induk jantan (debunga) juga turut memberi kesan setimpal dalam aspek ini. Dengan kata lain, sumber debunga yang berpunca daripada mana-mana baka apabila dikacukkan dengan mana-mana bunga betina pokok durian akan sama-sama memberi kesan terhadap kualiti buah iaitu buah yang buah yang dihasilkan akan mewarisi ciri-ciri induk jantan dan juga betina secara bersama.


Kesimpulan

Sebagai akhir kata, berikutan hasil kajian ini, penanaman baka-baka durian yang berlainan serta berkualiti tinggi dalam kawasan yang sama adalah penting supaya buah durian yang dihasilkan tetap berkualiti tinggi. Jika baka inferior ditanamkan, pendebungaan terbuka oleh kelawar serta serangga akan menyebabkan pokok berbaka tinggi bakal menghasilkan buah durian yang lebih rendah mutu daripada sepatutnya kerana bunga betinanya telah menerima debunga daripada pokok yang berbaka inferior itu.

Namun demikian, disebabkan oleh setiap baka durian memiliki ciri isi buah tersendiri, pendebungaan silang mungkin akan menghasilkan isi buah durian yang unik dari segi cita rasa seperti mana pernah dilaporkan oleh sesetengah pekebun durian yang memiliki buah durian yang sangat unik rasanya iaitu berlainan daripada baka-baka umum.

 

Bahan rujukan :

Ni Luh Putu Indriyani et al., “Maternal and Paternal Effect on the Characters of Durian (Durio ziberthinus Murr.) Fruit From Cross-Pollination”, Journal of Fruit and Ornamental Plant Research, Vol. 20(2) 2012: 23-33.

 

 

Hantar blog ini kepada :