You are currently viewing Ceri Terengganu : Pokok Nadir Berpotensi Untuk Dipulihara

Ceri Terengganu : Pokok Nadir Berpotensi Untuk Dipulihara

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
No.5, Jalan TP2, Taman Perindustrian Sime UEP, 47600 Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350

Website: www.behnmeyer.com

Ceri Terengganu atau nama saintifiknya Lepisanthes alata merupakan sejenis pokok rendang yang sederhana tinggi dan boleh mencapai ketinggian sehingga 10 meter. Pokok ini berasal dari Asia Tenggara dan taburannya meluas di Semenanjung Malaysia, Jawa, Borneo dan Filipina. Pokok Ceri Terengganu kebiasaan dijadikan sebagai pokok hiasan landskap di taman. Pokok Ceri Terengganu juga dikenali sebagai pokok johor atau pokok perupok. Di Jawa, pokok ini dikenali sebagai belimbing cina.

Pokok Ceri Terengganu merupakan pilihan ideal untuk hiasan taman kerana mayang daunnya yang terurai cantik. Daun muda atau pucuknya berwarna ungu muda dan kelihatan sangat menarik dengan bunganya yang juga berwarna ungu. Daun ketika matang berwarna hijau, runcing dan mempunyai 8 – 12 helai anak daun (leaflets) pada satu mayang yang boleh mencapai kepanjangan sehingga 50 cm. Pokok ini jarang ditanam dan boleh dikategorikan sebagai pokok buah-buahan nadir.

 

Musim berbunga dan berbuahnya tidak menentu tetapi boleh berlaku pada bila-bila masa di sepanjang tahun. Buahnya tersusun bergugusan pada tangkai yang panjang dan setiap tangkai mempunyai sehingga 20 biji buah berwarna merah gelap dan berkilat. Saiz buahnya antara 2 cm hingga 3 cm, berbentuk bulat dan tajam di bahagian hujungnya dan setiap buah mempunyai satu hingga tiga biji. Isi buahnya manis dan sedikit kelat. Walaupun buahnya boleh dimakan, pokok ini biasanya ditanam untuk tujuan hiasan.

Buah Ceri Terengganu digemari oleh burung, termasuk kelawar yang amat suka terhadap buahnya. Tupai juga gemari terhadapnya. Lepisanthes alata digolongkan dalam famili Sapindaceae tetapi status pemuliharaannya masih belum diketahui. Genus Lepisanthes mempunyai 24 – 25 spesies. Memandangkan ia sejenis buah-buahan nadir berpotensi, MARDI telah mengambil langkah untuk memulihara tanaman ini melalui koleksi dan menanam semula spesies ini di bank gen MARDI bagi mengekalkan sumber gentik tanaman buah nadir ini.

Pokok Ceri Terengganu mudah dibiak dengan menggunakan biji benih dan mampu mendapat kadar percambahan sehingga 80 – 90%. Biji benih akan bercambah selepas 5 – 7 hari disemai. Selepas 3 minggu, anak semaian boleh dipindahkan ke polibeg kemudian diletakkan di bawah 50% naungan cahaya matahari. Anak semaian ketika berumur 3 bulan boleh dipindah tanam di kebun. Biji benih yang besar sudah terbukti memberi prestasi tumbesaran yang lebih baik serta dengan kadar percambahan 29% lebih tinggi daripada biji benih kecil. Teknologi kiub gambut membolehkan anak benih mencapai kadar hidup 100% berbanding sekadar menggunakan gambut pasir dan gambut yang masing-masing hanya mencapai kadar hidup 65% dan 62%. Kiub gambut memudahkan pemindahan tanaman ke kebun serta dapat mengurangkan kejutan pemindahan tersebut justeru mendatangkan manfaat besar terhadap prestasi tumbesaran.

Jarak tanaman yang disyorkan untuk pokok Ceri Terengganu ialah 5m x 5m sama ada ditanam secara segi tiga sama (460 pokok/ha) atau segi empat sama (400 pokok/ha). Kedua-dua cara penanaman ini akan memudahkan operasi kebun kelak.


Seperti kebiasaan, lubang tanaman berukuran 60cm x 60cm x 60cm dibuat empat minggu sebelum menanam kemudian digaul dengan 5 – 10 kg baja organik seperti tahi ayam diproses atau tahi kambing seminggu sebelum ditanam. CIRP dengan kadar 200g/lubang juga ditabur di sekeliling lubang manakala kapur GML pada kadar 500g dibekalkan jika pH tanah lebih rendah daripada 4.5. Siraman air dua kali sehari diperlukan dan anak pokok disokong dengan kayu pancang supaya tidak tumbang.

Pembajaan dengan rumusan 15/15/15 diberikan selepas tahun pertama hingga tahun kedua dengan dipecahkan kepada 4 pusingan/tahun. Pada tahun ketiga dan ke atas, baja 12/12/17/2 pula digunakan sebanyak 4 kali setahun. Pokok Ceri Terengganu memerlukan 18 liter air sehari seperti pokok rambutan terutama semasa awal penanaman. Pemasangan sistem pengairan titisan adalah digalakkan. Pokok dipangkas di awal pertumbuhan dan seterusnya bagi membentuk kanopi pokok yang seimbang. Ini termasuk pemotongan dahan tidak produktif, ranting berlebihan serta pucuk air daripada pokok.

Pokok Ceri Terengganu mula berbuah pada umur 3 tahun dan boleh mengeluarkan buah hampir 1,000kg/ha setahun. Buahnya akan masak dalam tempoh 6 minggu selepas bunga kembang (anthesis). Salah satu kelebihan Ceri Terengganu ialah buah pada setiap tangka akan masak hampir serentak iaitu semasa penuaian, hampir 90% buah setangkai menghasilkan buah berwarna merah.

 

Sumber maklumat :

1. Buah Ceri Terengganu Yang Masak Ranum, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
2. Nurhazwani Mustaffer et al., “Kaedah Penanaman Ceri Terengganu”, Buletin Teknologi MARDI Bil. 21(2020) Khas Agrobiodiversiti : 181-188.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Hextar Fert Sdn. Bhd.
No. 64, Jalan Bayu Laut 4/KS09, Kota Bayuemas, 41200 Klang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336

Website: www.hextar.com

Sila kongsi kepada kawan :