Ada 3 varieti markisa yang umumnya ditanam secara komersial. Varieti pertama berkulit kuning (Passiflora edulis forma flavicarpa) sesuai ditanam di kawasan tropika dan dataran rendah. Varieti kedua berkulit ungu (Passiflora edulis forma edulis) pula sesuai untuk dikultur di kawasan sub – tropika atau dataran tinggi manakala varieti ketiga mempunyai saiz buah yang lebih besar dan dikenali dengan nama saintifik Passiflora quadrangulanis.
Kelebihan varieti kulit kuning ialah ia lebih merintang terhadap kulat tanah, berhasil lebih tinggi, saiz buah lebih besar daripada varieti kulit ungu serta kandungan lendir isi yang lebih banyak. Namun begitu, cita rasa untuk varieti kulit ungu dianggap lebih baik dan lebih manis daripada varieti kulit kuning.
Buah varieti kulit ungu bersaiz lebih bulat atau bersaiz seperti telur dan panjangnya lebih kurang 5cm dan beratnya 30 – 45g. Warna kulitnya ungu atau hampir hitam. Buah varieti kulit kuning bersaiz lebih kurang sama dengan varieti kulit ungu tetapi lebih panjang sedikit (6cm) dan berat buah adalah sehingga 60 – 90g iaitu 2 kali ganda lebih berat daripada varieti kulit ungu. Varieti markisa yang bersaiz besar mempunyai buah seberat 225 – 450g atau lebih serta lebih panjang iaitu 10 – 20cm. Varieti ini mempunyai kulit yang tebal dan boleh dimakan. Kesemua varieti markisa mengandungi isi buah yang diselaputi oleh lendir beraorma. Ia dimakan secara segar dan sangat berkhasiat kerana kaya dengan bahan galian dan vitamin terutama A dan C.
Negara pengeluar terbesar buah markisa di dunia ialah Brazil merangkumi jumlah pengeluaran 90% dan yang baki dihasilkan oleh Peru, Venezuela, Afrika Selatan, Sri Lanka dan Australia. Brazil menghasilkan 478,000 tan setahun dan produktiviti ialah 13.8 tan/hektar. Jumlah keluaran ini kebanyakan dihasilkan oleh kawasan Utara atau Timur Laut di negara tersebut yang merangkumi lebih 80% daripada jumlah pengeluaran negara itu. Buah markisa dieksport secara segar atau diproseskan menjadi minuman. Lebih 90% eksport berbentuk minuman ditujukan ke Eropah. Negara pengimport yang berpotensi ialah Amerka Syarikat, Canada dan Jepun.
India juga mengeluarkan buah markisa tetapi negara ini umumnya menanam varieti kulit ungu sehingga puluhan tahun yang lepas, kelebihan varieti kulit kuning baru ditemui. Pada masa itu varieti kulit kuning ini diimport dari Sri Lanka dan ditanami di dataran rendah seperti Chennai dan Kerala, India. Disebabkan varieti kulit kuning ini memberi hasil lebih tinggi serta berhasil dalam masa kurang daripada 1 tahun selepas ditanam, ia mendapat perhatian berat daripada pihak berkuasa justeru diluluskan untuk ditanam secara komersial. Varieit kulit kuning ini kini menjadi sumber pendapatan utama kepada ramai pekebun kecil (1.0 – 4.0 hektar) di daerah tersebut.
Buah markisa amat sensitif terhadap agro-iklim yang mana suhu yang tidak tepat akan mempengaruhi segala aspek penghasilan buah. Suhu optimum ialah 23°C – 25°C walaupun tanaman ini sudah berjaya diusahakan dalam suasana bersuhu di antara 18°C – 35°C. Suhu yang rendah menyebabkan tumbesaran lambat, kadar serapan nutrien lemah dan pengeluaran hasil buah menurun. Dalam suhu optimum iaitu di antara 23°C – 28°C, buah akan matang dalam masa 60 hari. Jika suhu adalah rendah atau lebih tinggi maka kematangan buah akan berlanjutan ke 75 hari. Hari panas dianggap lebih baik untuk memupuk percambahan biji benih jika dibandingkan dengan hari sejuk.
Di Afrika Selatan, hayat ekonomi markisa yang ditanami 1,200 – 1,400 m dari aras laut adalah sepanjang 8 tahun tetapi hayat ini menjadi pendek jika diusahakan di tanah rendah. Didapati buah – buahan ini paling sesuai ditanami di dataran – 1,000m tinggi berparas laut 100 dengan kelembapan suhu di sekitar 60%. Jika kadar kelembapan ini meningkat maka pokok akan mengalami kadar penyakit yang lebih tinggi, keadaan sebaliknya pula akan menyebabkan tanaman mudah kering dan menjejaskan tumbesaran.
Markisa memerlukan pancaran matahari yang mencukupi baru boleh tumbuh dengan optimum. Di kawasan separa kering di Brazil, tanaman markisa yang ditanami di bawah pancaran matahari selama 11 jam sehari berjaya mengeluarkan hasil sepanjang tahun, tetapi dengan syarat pengairan mesti diberikan secukupnya. Bunga bagi varieti kulit kuning akan berkembang pada tengahari 12.00 pm dan menutup pada 3.00 pm, jika pancaran matahari tidak mencukupi, bunga akan menutup setengah jam lebih awal. Oleh yang demikian, pancaran matahari yang mencukupi amat penting kepada tanaman ini kerana dapat memupuk pengeluaran bunga secara optimum serta juga bermanfaat terhadap pengeluaran hasil.
Dari segi taburan hujan, didapati taburan hujan tahunan yang optimum bagi tanaman markisa ialah di antara 800 – 1750mm. Walaupun tanaman ini mampu bertahan terhadap musim kering tetapi jika musim tersebut berlanjutan, ia akan menjejaskan tumbesaran pokok dan daun akan gugur serta saiz buah menjadi kecil. Hujan lebat pula akan menjejaskan pendebungaan dan pengeluaran hasil.
Bagi tanaman ini, ia seelok – eloknya dapat diusahakan di tanah lom berpasir yang tiada batu – bata di bawah permukaan tanah supaya sistem akar dapat berkembang dengan baik. Sistem akar tanaman markisa bersifat cetek, 60% akarnya tumbuh di antara 30cm dari permukaan tanah atau 85% bertumpu di antara 0cm – 45cm dari permukaan tanah. Tanah yang kaya dengan bahan organik amat baik kepada tanaman ini serta nilai pH optimum adalah di antara 6.5 – 7.5. Jika tanah selalu banjir air, ia berkemungkinan akan menyebabkan tanaman ini layu dan mati.
Di seluruh dunia, terdapat 600 spesies markisa tetapi hanya 3 varieti sahaja yang ditanami secara komersial seperti diterangkan di atas. Varieti markisa yang bersaiz besar jarang – jarang ditanami oleh pekebun dengan sebab yang kurang jelas. Varieti kulit ungu sebenarnya berasal dari Brazil Selatan. Varieti kulit kuning pula adalah satu – satu varieti yang berkembang daripada varieti kulit ungu. Tanaman varieti kulit ungu ini yang diusahakan di Malaysia amnya dibiak dengan keratan batang. Terdapat sejenis varieti kulit kuning yang boleh menjalankan pendebungaan diri tetapi buahnya lebih kecil daripada varieti kulit kuning dari Hawaii yang dihasilkan secara kacukan silang.
Kaedah pembiakan markisa adalah melalui biji benih, keratan batang atau cantuman. Apabila biji benih sudah bercambah ke peringkat 3 lai daun maka ia boleh dipindah tanam ke dalam polibeg. Apabila pertumbuhan anak pokok sudah mencapai ketinggian 25 – 40cm, ia boleh dipindah tanam pula di ladang. Selama 6 – 8 minggu diperlukan dari peringkat semaian sehingga pindah tanam di ladang.
Pembiakan keratan batang pula perlu memilih keratan yang sihat dan bebas penyakit serta mempunyai 2 – 3 ruas. Dengan kata lain satu batang keratan sepanjang 2 kaki boleh dikerat kepada 4 pokok untuk ditanam. Oleh kerana varieti kulit kuning lebih rintang terhadap kulat tanah, maka varieti ini sering digunakan sebagai pokok penanti untuk mencamtumkan sion dari varieti kulit ungu.

Applied Agricultural Resources Sdn. Bhd.
Tel : 03-61517924/25/26/27/28
Fax : 03-61517081
E-mail: sales@aarsb.com.my
Website: www.aarsb.com.my
9 bulan selepas ditanam di ladang, pokok markisa akan mula berbuah. Buah akan matang pada bulan ke-11 atau ke-12. Tumbesaran pokok kebiasaannya lambat di peringkat awal sehingga bulan ke-7 kemudian baru tumbuh dengan cepat. Di peringkat pertumbuhan awal ini, keperluan nutrien adalah kecil sahaja. Mulai bulan ke-8 atau ke-9 selepas ditanam, keperluan nutrien bertambah untuk menampung pembuahan. Pada masa ini sistem akar akan membesar dengan cepat juga menjelang masa pembuahan. Nutrien nitrogen, kalium, kalsium, mangan dan besi amat diperlukan dalam masa ini. Pendek kata, tumbesaran pokok sebelum matang umumnya lambat kemudian menjadi cepat apabila pokok berada di peringkat mula berbuah.
Pokok markisa sejenis tanaman menjalar, oleh itu struktur penyokong perlu disediakan untuk pokok memanjat. Satu struktur berukuran panjang 20 kaki dan lebar 3 kaki dijangka dapat menampung keberatan pokok markisa sehingga 150kg. Setiap batang penyokong hendaklah setinggi 10 kaki kemudian dipacak sedalam 3 kaki ke dalam tanah baru dapat menampung keberatan tanaman. Struktur ini mestilah kukuh supaya boleh digunakan dengan lama. Inilah perbelanjaan utama dalam penanaman markisa. Jarak tanaman markisa pula adalah berbeza – beza mengikut keadaan setempat, namun 4.5 – 6.0m antara baris dan 3 – 4.5m dalam baris sering digunakan. Jarak yang renggang akan memudahkan operasi ladang dan begitu sebaliknya. Melalui amalan agronomi yang baik, hayat ekonomi markisa boleh lanjut sehingga 4 – 6 tahun kemudian perlu ditanam semula kerana pokok sudah tua dan produktiviti pun sudah merosot.
Pembajaan tanaman markisa boleh dilihat di jadual 1. la berdasarkan rekomendasi Di India Selatan untuk varieti kulit kuning dan Timu Laut India untuk Varieti kulit ungu. Kaedah taburan baja disyorkan di gambarajah 1.
Kawasan penanaman yang tidak mempunyai taburan hujan yang mencukupi perlu dipasang dengan sistem pengairan. Menurut satu laporan, satu kawasan yang ditanami markisa yang hanya menerima taburan hujan tahunan 826 mm telah melalui bekalan pengairan di antara 474 – 644mm berjaya meningkatkan hasil ke paras 40 tan/ha. Keadaan ini menunjukkan kepentingan air terhadap tanaman markisa. Pembekalan air dapat menjamin pengeluaran bunga dan buah sepanjang tahun. Permintaan terhadap air akan bertambah tinggi di peringkat pembuahan. Didapati jika bekalan air tidak cukup maka buah akan kering mengecut serta gugur sebelum matang. NPK juga boleh disalurkan kepada tanaman melalui pengairan titisan dan membawa kesan positif.
Pokok markisa akan berbuah di pucuk muda, oleh itu kerja memangkas pucuk lama yang tidak produktif, pucuk berpenyakit serta pucuk berlebihan adalah perlu untuk memupuk pengeluaran pucuk baru dan meningkatkan hasil. Tambahan, melalui pangkasan maka kadar jangkitan penyakit pada pokok akan berkurangan kerana kadar perudaraan dan pancaran cahaya matahari telah diperbaiki melalui pangkasan pokok. Namun begitu, terdapat segelintir pekebun yang tidak setuju akan amalan pangkasan ke atas pokok markisa kerana mungkin merasakan ini adalah kerja yang membazir masa.
Proses pendebungaan pokok markisa dijalankan oleh serangga khususnya lebah carpenter atau lebah mellifera (lebah Itali). Pendebungaan juga boleh dibuat secara manual. Lebah carpenter berbadan besar dan merupakan agen pendebungaan yang penting bagi pokok markisa. Untuk menarik kedatangan lebah ini maka boleh meletak beberapa tongkol kayu di ladang sebagai tempat penginapan lebah. Sarang buatan juga boleh di letakkan di ladang untuk lebah mellifera.
Seperti dikatakan tadi, varieti markisa berkulit ungu kurang rintang terhadap penyakit akar yang disebabkan oleh kulat tanah, maka varieti ini hendaklah dicantumkan dengan varieti kuning yang digunakan sebagai pokok penanti. Namun begitu, kaedah ini tidak 100% menjamin varieti ini bebas daripada jangkitan penyakit. Pernah ada laporan yang menunjukkan perosak seperti nematod, cerana dan layu fusarium pernah ditemui pada pokok yang hampir mati.
Tanaman markisa juga adalah perumah kepada sebilangan perosak serangga. Oleh itu semburan racun serangga perlu dilakukan setiap 2 minggu. Varieti kulit kuning kurang diserangi nematod dan sering digunakan sebagai pokok penanti kepada varieti kulit ungu.
Dari segi pengeluaran hasil, buah markisa boleh dipetik di peringkat 70 – 80 hari selepas pendebungaan. Buah dipetik 2 – 3 kali seminggu dan jumlah hasil adalah di antara 7 – 10 tan/ha. Hasil 40 tan/ha juga pernah dilaporkan. Hasil tahun pertama dari pokok yang ditanam melalui keratan batang umumnya lebih tinggi daripada pokok yang dibiak melalui biji benih tetapi tahap kecergasan pokok dari biji benih adalah lebih tinggi di sebaliknya. Musim pembuahan markisa amnya jatuh pada bulan Jun – Ogos dan Nov – Jan setiap tahun. Namun begitu, tempoh musim pembuahan pertama mungkin juga lebih panjang dari bulan Mei – Oct.
Akhir kata, tanaman markisa adalah buah-buahan yang semakin popular di negara ini. la mempunyai pelbagai kegunaan seperti makan segar, pembuatan minuman, pes roti, ais krim malah boleh digunakan sebagai bahan perubatan justeru dianggap sebagai satu-satu buah-buahan yang unik dan berpotensi untuk dikembangkan di Malaysia.
Bahan rujukan :
Dr. P.P. Joy, Passion Fruit Production Technology (Adhoc), Pineapple Research Station, Kerala Agricultural University, India.