You are currently viewing Buah Nona-Tanaman Buah-Buahan Tempatan Yang Jimat Tenaga Buruh

Buah Nona-Tanaman Buah-Buahan Tempatan Yang Jimat Tenaga Buruh

Buah Nona (Annona squamosa) jarang ditanam secara skala besar di Malaysia sebaliknya lebih tertumpu di dusun yang juga ditanami dengan tanaman lain. Memandangkan buah-buahan ini telah biasa dinikmati oleh pengguna tempatan, bekalannya di pasaran yang tidak begitu banyak telah memberi kesan dalam penstabilan harga. Dari segi potensi pasaran, cita rasa buah Nona yang manis dan sedap adalah kelebihan utama tetapi tampilan luaran buah yang sering dihinggapi koya (Mealy bug) telah menurunkan nilainya kerana kurang seronok dilihat apatah lagi buah Nona adalah untuk dimakan segar.

Walaupun begitu, ia tetap sejenis buah-buahan yang diminati dan keadaan serangan koya boleh dikurangkan dengan penyemburan racun serangga dan kulat seminggu sekali yang juga amalan untuk mencegah serangan perosak serangga yang lain. Lalat buah adalah antara perosak bagi buah Nona, namun kulit buah yang tebal dan tidak rata itu wujud sebagai penebat terhadap serangan tersebut. Kutipan buah sebelum mencapai kemasakan 70% adalah antara kaedah yang digunakan oleh sesetengah pekebun untuk mengurangkan serangan lalat buah.

Kaedah ini juga berbantu dalam pengelakan serangan oleh burung terhadap buah masak memandangkan burung amat gemar terhadap buah Nona yang masak atau hampir masak. Buah Nona mempunyai kemansisan optimum di peringkat kemasakan 80%. Oleh yang demikian, kutipan hasil untuk tanaman ini yang dijalankan di peringkat kematangan yang sesuai dapat meningkatkan kualiti dan cita rasa buah.

Kelebihan tanaman Nona juga termasuk ketidakperluan membalut buah. Ini akan menjimat tenaga buruh di kebun. Dalam senario semasa yang mana sekotr pertanian sedang mengadapi masalah kekurangan tenaga buruh, maka buah-bahan yang tidak usah dibalut akan kekal sebagai tanaman untuk terus diusahakan. Banyak tanaman yang buahnya perlu dibalut untuk mencegah serangan perosak serangga seperti jambu batu, jambu air dan sebagainya sudah mengalami peminggiran kerana kekurangan tenaga buruh untuk mengerjakannya di kebun.

Begitu pada aspek pemangkasan ranting dan pucuk tua yang amnya dijalankan sebagai langkah memupuk pertumbuhan pucuk baru, pembungaan dan seterusnya pembuahan, pokok Nona sebenarnya tidak perlu amalan ini kerana ranting dan pucuk tua tanpa dipangkas juga boleh mengeluarkan pucuk baru diikuti oleh pengeluaran bunga kemudian pembentukan buah. Namun begitu, oleh kerana tanaman ini sering berhasil tinggi menyebabkan penjarangan buah iaitu pembuangan sesetangah buah kecil perlu dijalankan supaya menghasilkan saiz buah yang digemari oleh pasaran dan pengguna.

Berbanding dengan tanaman jambu batu, baik kaltivar berbiji benih ataupun tanpa biji benih, keperluan tenaga buruh di kebun untuk tanaman Nona jauh lebih rendah daripadanya, iaitu tidak perlu membalut buah dan tidak perlu memangkas ranting dan pucuk tua sudah cukup untuk meminimumkan beban urusan ladang. Lagipun bagi jambu batu, jika buah tidak dibalut dua lapis, ia tetap akan mengalami penurunan kualiti akibat pancaran cahaya matahari terik.

Dari peringkat bunga sehingga buah Nona boleh dikutip hasil, masa diperlukan lebih kurang 4 bulan. Memandangkan tidak ramai pekebun mengusahakan tanaman ini, maka harga kebunnya berada di lingkungan RM3.50 RM4.50/kg iaitu paras yang agak memuaskan. Ini kerana buah Nona mempunyai berat purata 300 – 400g/buah dan buah yang dihasilkan di peringkat awal musim amnya lebih besar daripada buah di akhir musim. Pokok Nona akan mula mengeluarkan hasil setahun selepas ditanam iaitu salah satu jenis buah-buahan tempatan yang berhasil awal.

Jika tanaman ini dirancangkan sebagai tanaman tunggal, maka jarak tanaman disyorkan pada 12 x 15 kaki. Pada jarak ini pokok dapat berkembang secara mendatar dengan lebih baik. Jarak yang rapat umpamanya 12 x 12 kaki akan menyebabkan pokok tumbuh meninggi dan akan menyukarkan kutipan hasil nanti. Pengusaha tanaman Nona hendaklah awasi penyakit akar putih yang menunjukkan simptom kereputan akar utama serta dipenuhi dengan kulat putih. Penyakit ini mempunyai keserupaan dengan penyakit akar tanaman Durian Belanda dan tanaman getah yang mana pokok sakit akhirnya akan mati. Walaupun begitu, menurut pengalaman pekebun tanaman Nona, kadar jangkitan penyakit akar putih adalah jauh lebih rendah daripada tanaman Durian Belanda.

Demi mendapat hasil dan kualiti buah yang baik, pembajaan amat penting dan ia boleh dijalankan dengan 3 pusingan membaja dengan baja kompaun serta 3 pusingan pembajaan dengan baja organik seperti najis ayam yang sudah difermentasikan dalam masa setahun. Pembajaan dengan baja kompaun dan baja organik sejumlah 6 pusingan setahun ini dapat menjamin pengeluaran hasil dan kualiti buah yang tinggi.

Hantar blog ini kepada :