FGV Fertiliser Sdn Bhd
Tel : +607-251 2801/2802/2803
Fax : +607-251 1810
E-mail : fertmarketing@fgvholdings.com
Website: www.fgvfertiliser.com.my
Sambungan dari : Jambu Batu Tanaman Berhasil Tinggi (Bahagian 1/2)
Varieti Jambu Batu
Beberapa varieti jambu batu telah diusahakan dalam negara dan ia terbahagi kepada varieti makan segar dan varieti untuk diproses. Varieti yang dimakan segar pada amnya mempunyai isi yang tebal, berbiji sedikit atau tanpa biji, rangup dan manis, manakala untuk tujuan prosesan, varieti yang dipilih adalah berisi merah jambu atau merah, beraroma serta mengandungi asid dan vitamin C yang tinggi.
Varieti Makan Segar
1. Kampuchea
Varieti ini popular sekali ditanam oleh petani kerana hasil yang tinggi serta mutu buah yang baik. la mula berbuah pada 6 – 8 bulan lepas tanam dan selepas pokok berumur 2 tahun, hasilnya mula meningkat sehingga 45 – 50 tan/ha/tahun pada peringkat umur 4 – 5 tahun.
Kulit buahnya adalah nipis, licin dan hijau serta berbentuk besar dan bulat panjang dengan berat purata antara 450 – 500g/biji walaupun sesekali boleh mencapai 1 kg/biji. Isinya pula adalah putih dan berbiji, tebal dan rangup ketika buahnya matang. Ia boleh dipetik apabila warna kulit bertukar daripada hijau kepada hijau kekuningan, iaitu antara 14 – 16 bulan selepas berbutik, varieti ini ada dua kemuncak pengeluaran hasil dalam setahun.
2. Taiwan
Varieti ini dapat memberi hasil sebanyak 50 tan/ha/tahun pada peringkat umur 4 – 5 tahun dan ia juga cepat berbuah antara 8 – 10 bulan lepas tanam. Bentuk buahnya berupa pir dan besar dengan berat purata 400 – 500g/biji. Buahnya berbiji tetapi hanya meliputi 2 – 3% sahaja daripada berat buah, iaitu menyerupai buah jambu Kampuchea. Selain itu, isinya adalah tebal dan berwarna putih, apabila matang memberi rasa rangup ketika diambil segar. Ada dua kemuncak pengeluaran hasil setahun untuk varieti ini.
3. Glom Toon Klau
Dari segi penghasilan, varieti ini adalah lebih rendah, iaitu di antara 25 – 30 tan/ha/tahun semasa berumur 4 – 5 tahun di ladang. Ia akan mula mengeluarkan buah pada 6 – 8 bulan lepas tanam dan buahnya hampir bulat dengan berat purata 330 – 350g/biji. Biji buah sangat kurang dalam varieti ini setakat 1% daripada berat buah. Kulitnya berggerutu sedikit dan nipis manakala isinya sederhana tebal dan berwarna putih serta rangup dan lebih manis sedikit.
4. Glom Sali
Buahnya berbiji dan sederhana besar antara 250 – 350g/biji secara purata dan agak menyerupai Glom Toon Klau dari segi rasa buah dan hasil (25 – 40 tan/ha/tahun). Ia mula berbuah pada 8 – 12 bulan lepas tanam dan juga manis rasanya kerana kandungan asid yang rendah. Ada dua kemuncak pengeluaran hasil/tahun bagi Glom Sali.
5. Thai Seedless
Varieti ini tidak mempunyai biji langsung di dalam buahnya dan ia hanya ada satu kemuncak pembuahan dalam setahun. Selain itu, la akan mula berbuah pada 14 – 18 bulan lepas tanam. Seperti varieti tanpa biji yang lain, ia mengeluarkan hasil yang agak rendah, iaitu dalam lingkungan 20 – 25 tan/ha/tahun semasa pokok berusia 4 – 5 tahun. Thai seedless mempunyai kadar keguguran bunga dan putik yang tinggi sehingga 50%.
Jambu batu Thai Seedless tidak mempunyai saiz yang seragam, berat purata pada 100 – 250g/biji, bahagian hujung buah melengkung ke dalam dan membentuk satu rongga coklat yang hampir 1/3 kepanjangan buah. Kulitnya nipis, licin dan hijau manakala isinya putih, rangup dan manis sedikit.
6. Bangkok Epal
Varieti tanpa biji langsung ini kecil saiznya, iaitu antara 100 – 250g/biji dan mampu memberi hasil 20 – 25 tan/ha/tahun. Pokoknya mula berbuah selepas 16 – 18 bulan ditanam dan hanya ada satu kemuncak pengeluran buah dalam setahun. Buahnya berbentuk epal dan hujungnya juga melekuk ke dalam tetapi rongga tersebut adalah kecil dan tidak kelihatan. Dari segi kulit dan isi adalah serupa dengan varieti yang lain serta juga manis sedikit.
Varieti Diproses
1. GU 5
Varieti ini sesuai diproses kerana mempunyai 2 – 3 kemuncak hasil setahun serta isinya yang sederhana tebal, berwarna merah jambu dan beraroma. Hasil tahunan adalah antara 30 – 35 tan/ha dan mula berbuah pada 10 – 12 bulan lepas tanam. Berat buah di antara 300 – 400g sebiji dan berbentuk bujur. Kulitnya licin dan berwarna kuning kehijauan apabila masak.
2. Beaumont
Varieti ini berhasil tinggi antara 35 – 40 tan/ha/tahun menjelang tahap pengeluaran optimumnya pada waktu 3 – 4 tahun lepas tanam di ladang. Ia akan mula berbuah pada 8 – 10 bulan sesudah ditanam di ladang. Buahnya adalah berat di antara 300 – 400g/biji dan berbentuk bujur manakala kulitnya licin serta berwarna kekuningan apabila masak. Isinya berwarna merah jambu dan tebal serta mempunyai aroma yang kuat. Ada dua kemuncak buah dalam setahun bagi varieti ini.
3. Burma Red
Lebih kurang 10 – 12 bulan lepas tanam, Burma Red akan mula berbuah dan pada peringkat umur 3 – 4 tahun lepas tanam, hasil optimumnya ialah 30 – 35 tan/ha/tahun. Jenis jambu ini mempunyai dua kemuncak pembuahan dalam setahun. Buah adalah seberat di antara 15 – 200g/biji dan berbentuk bujur. Kulitnya licin dan berwarna kuning apabila masak. Isi pula berwarna merah tua tetapi nipis serta membawa aroma yang agak kuat.
Penanaman Jambu Batu

Applied Agricultural Resources Sdn. Bhd.
Tel : 03-61517924/25/26/27/28
Fax : 03-61517081
E-mail: sales@aarsb.com.my
Website: www.aarsb.com.my
1. Keadaan Tanah
Walaupun jambu batu dianggap sebagai tanaman yang tahan kepada cuaca kering, namun kekurangan air akan menyebabkan buah tidak besar dan hasil juga rendah. Oleh itu, taburan hujan tahunan antara 2000 – 3000mm adalah sesuai untuk tanaman ini. Terutama di kawasan yang mempunyai musim kemarau selama 3 – 4 bulan atau taburan hujan bulanan kurang daripada 100mm, ia dikategorikan sebagai tempat tidak sesuai untuk tanaman ini. Jambu batu boleh tumbuh di atas pelbagai jenis tanah selagi tanah tersebut adalah subur dan tidak bertakung air. Bagi menanamnya di tanah bris atau gambut, pengubahsuaian tanah diperlukan. pH tanah di antara 4.5 – 8.2 dapat diterimai olehnya.
2. Corak Penamanan
Penanaman dengan sistem segiempat pada jarak 3m x 3m adalah dicadangkan supaya memudahkan pengurusan kelak. Pada jarak ini, satu hektar dapat memuatkan 1,085 pokok jambu batu. Lubang tanaman dicadangkan pada 30cm x 30cm X 30cm bagi kebanyakan tanah melainkan tanah liat memerlukan lubang tanaman yang besar sedikit.
3. Bahan Tanaman
Walaupun jambu batu boleh dibiak dengan biji benih tetapi kaedah ini tidak digalakkan kerana kualiti baka asal tidak dapat dijamin nanti. Ia lebih sesuai dikendalikan dengan cara tampang sama ada cantuman mata tunas atau tut.
Sebenarnya kadeah cantuman mata tunas mudah dijalankan. Kaedah ini juga mempunyai kadar kejayaan yang tinggi. la mempunyai kelebihan ke atas kaedah tut kerana bahan tanaman yang banyak dapat disediakan daripada satu pokok induk.
Cantuman Mata Tunas memerlukan penyediaan pokok penanti yang mana pokok-pokok ini boleh dihasilkan melalui semaian biji benih di dalam bekas polietilena berukuran 25cm x 30cm yang diisi dengan campuran tanah lapisan atas, baja organik dan pasir dengan nisbah 1:1:1. Dalam setiap bekas polietilena itu disemai 3 biji benih bagi menjamin sekurang-kurangnya satu pokok akan hidup dan kekal nanti. Apabila semaian membesar sehingga batangnya bersaiz seperti pensil, maka pokok-pokok penanti ini boleh dicantum.
3 a. Prosedur Mencantum
Kulit pokok penanti yang selebar 1.0cm x 3.0cm dituris dan ditanggalkan dengan berhati-hati. Kemudian sekeping kulit mata tunas daripada pokok baka terpilih yang sama ukuran ditampalkan ke tempat turisan tadi. Kepingan mata tunas baru ini selanjutnya diikat dengan pita cantuman.
Selepas 3 minggu cantuman dibuat, pita tersebut dibuka dan sekiranya mata tunas adalah hijau maka menandakan cantuman telah berjaya. Langkah seterusnya ialah apabila tunas mula keluar, bahagian atas pokok penanti berjarak kira-kira 4.0 – 5.0cm dari bahagian cantuman tersebut dicantaskan. Dengan cara ini, mata tunas akan membesar. 2 – 3 bulan kemudian, pokok cantuman boleh dipindah tanam ke ladang. Tunas-tunas lain yang tumbuh pada pokok penanti harus dibuang.
3 b. Prosedur Tut
Satu lingkaran sepanjang 2cm dikupaskan daripada dahan pokok sihat, kemudian dikikis perlahan-lahan. Bahan penggalak akar boleh disapu pada bahagian kikisan supaya akar mudah terbit nanti. Bahagian dikikis kemudian dibalut dengan menggunakan medium yang lembab dengan memakai lapisan plastik dan diikat. Tut yang berjaya akan menunjukkan akar di bahagian balutan pada 4 minggu kemudian. Tetapi bagi varieti tanpa biji, pengakaran amnya lebih lambat iaitu antara 60 – 80 hari lepas tut. Biasanya dahan yang ditut boleh dipotong selepas 40 – 50 hari, kemudian dimasukkan ke dalam bekas poilietilena. 2 bulan kemudian ia boleh dipindah tanam ke ladang.
4. Menanam
Baja organik kering seperti tahi ayam atau tahi lembu pada kadar 5kg berserta 100g baja penggalak akar (seperti rock phosphate) dan 250g kapur dicampur gaul ke dalam tanah lubang tanaman sebelum anak benih dipindah tanam ke dalamnya. Anak pokok kemudian ditimbus dengan tanah dan dimampatkan sehingga jadi satu busut kecil. Setiap anak pokok diikat pada satu kayu penyokong setinggi 1m kemudian disiram air jika tiada hujan. Penanaman seelok-eloknya dijalankan pada awal musim hujan demi mengelakkan kekurangan air kepada anak – anak pokok.
5. Pembajaan
Bagi menampung pembuahan yang banyak, pokok jambu batu memerlukan bekalan nutrien yang cukup. Bagi tujuan ini, jadual 2 berikut memberi cadangan pembajaan untuk rujukan.
Selain baja sebatian, baja organik juga penting dalam penanaman buah jambu batu bagi menjamin mutu buah. Maka itu disyorkan supaya menabur 5kg/pokok pada setiap 6 bulan, manakala ke atas tanah bris atau lombong, kadar 10kg/pokok pada setiap 6 bulan boleh diamalkan.
Kekerapan membaja pada dua bulan sekali adalah baik untuk tanaman buah ini. Namun begitu, sekiranya sistem pengairan ada disediakan di ladang, maka membaja pada setiap bulan malah mendatangkan kesan lebih menggalakkan terutama semasa pokok sedang berpucuk, berbunga dan berbuah. Bagi pokok matang, taburan baja boleh dibuat di sekeliling pokok atau di antara baris.
6. Pangkasan
Pangkasan adalah penting dalam penanaman jambu batu kerana ia akan memupuk pertumbuhan tunas-tunas baru diikuti oleh pengeluaran bunga. Ini kerana pembungaan jambu batu terjadi pada dahan dan ranting yang masih muda. Setelah dahan muda sudah mengeluarkan putik buah, hujung dahan dipotong bagi membesarkan buah. Jambu batu pada amnya akan mengeluarkan 1 – 3 putik dalam satu tangkai. Untuk mendapat buah yang besar, maka penjarangan perlu dijalankan sehingga meninggalkan satu putik sahaja. Amalan ini juga dapat mengelakkan ranting patah akibat buah yang lebih banyak dan berat.
Pangkasan dijalankan ke atas pokok dengan tujuan mengawal ketinggian dan percabangan pokok. Dari peringkat awal, apabila anak benih tut sudah mempunyai 2 – 3 dahan primer maka ia dipangkas pada ketinggian 0.5m demi menggalak percabangan baru dan mengekalkan 3 – 4 cabang sudah memadai.
Anak cantuman pula dipangkas setinggi 0.5m pada batang utamanya untuk menggalak percambahan 2 – 3 cabang sekunder. Cabang sekunder ini kemudian dipotong lagi untuk menggalak 2 – 3 cabang tertier. Jika mau mengawal ketinggian pokok, maka harus dibuat ke atas dahan sekundernya.
Dari segi prinsip, pangkasan dapat memupuk pertumbuhan tunas-tunas baru, diikuti oleh pembungaan, pengeluaran putik dan buah. Demikian, maka dahan tertier bagi pokok tua dan tidak produktif boleh dipotong supaya menggalak percambahan pucuk baru. Pangkasan yang membuangkan bahagian-bahagian pokok yang berlebihan juga dapat mengurangan kerimbunan pokok yang mengganggu tembusan cahaya matahari. Pangkasan berlebihan ke atas pokok tua khasnya ke atas dahan-dahan sekunder akan juga menyebabkan pertumbuhan vegetatif yang tinggi tetapi pada masa yang sama, dahan-dahan yang baru keluar ini juga gagal mengeluarkan bunga dan buah.
7. Pengairan
Sistem pengairan boleh dipasang di ladang jambu batu memandangkan kekurangan air akan menyebabkan pengurangan bunga, putik gugur dengan banyak serta penghasilan buah yang kecil. Sistem titisan, penyembur mikro atau sistem lain boleh digunakan selagi ia bersesuaian dengan keadaan dan kos serta dapat menambahkan hasil.
Kesimpulan
Sebagai tanaman yang kuno, jambu batu tetap menyerlah potensi yang besar pada masa kini bukan sahaja sebagai buah-buahan untuk makan segar bahkan digemari di sektor prosesan. Dari segi penghasilan, tanaman ini telah menunjukkan potensi berhasil tinggi selagi amalan kultur yang baik dapat diamalkan. Pendekata, bagi tujuan memperolehi keuntungan besar daripada tanaman ini, kos pengeluaran khususnya tenaga membalut buah harus diminimumkan melalui penerapan teknik kawalan perosak dan penyakit yang lebih cekap.
Sumber Maklumat :
1. Abd Rahman Milan, “Guava (Psidium guajava)” in Breeding Horticultural Crops @ MARDI, Editors Chan Ying Kwok et al, MARDI, 2008.
2. Abu Kasim Ali et al, Potensi dan Strategi Pemasaran Buah – buahan Tempatan, MARDI, 2010.
3. Y. Norlia (Editor), Penanaman Jambu Batu, MARDI, 1992.