You are currently viewing Teknologi Penanaman Cili Secara Konvensional

Teknologi Penanaman Cili Secara Konvensional

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


FGV Agri Services Sdn Bhd
Level 9 West, Wisma FGV, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur, Malaysia
Tel : +603-2789 1000
Fax : +603-2789 0111
E-mail : fassbmarketing@fgvholdings.com

Buah cili semasa matang menampilkan warna merah yang canggih. Lagipun tempoh matang pokok yang singkat iaitu selepas 60 – 75 hari ditanam, ia mula berbunga, 30 – 35 hari kemudian, buah boleh dikutip. Tempoh tuaian buah boleh dijalankan selama 3 – 4 bulan, malah ada varieti yang menjangkau sehingga 6 bulan. Jika pengurusan baik diterapkan, kutipan hasil selama satu tahun pun ada. Namun begitu, memandangkan hasil buah mulai menurun selepas 6 bulan kutipan, ia biasanya ditanam semula sahaja selepas itu. Kutipan hasil dijalankan 3 – 4 hari sekali. Hasilnya mudah dipasarkan. Permintaan pasaran yang tinggi menjadikannya salah sejenis sayuran yang paling digemari oleh petani.

Varieti cili di dunia memanglah banyak dan tidak terkira. Tanaman ini sesuai ditanam di kawasan beriklim tropika dan sederhana sejuk, suhu optimum untuk kadar pertumbuhan yang baik ialah dalam lingkungan 20 – 30°C serta taburan hujan tahunan di antara 1,500 – 2,000mm. Selagi ada bekalan air yang cukup, tanaman ini juga boleh ditanam di kawasan kering serta memberi hasil yang agak baik.

Antara kelebihan tanaman cili ialah ia bukanlah tanaman cerewet kerana ia sesuai ditanam di atas pelbagai jenis tanah termasuk tanah bris dan tanah gambut. Nilai pH yang sesuai bagi tanaman ini ialah di sekitar 5.5 – 6.8.

Tanah di Malaysia umumnya lebih masam, justeru itu pengapuran perlu dilakukan sebelum menanam tanaman ini. Di tanah yang nilai pH lebih rendah daripada 4.2, ion hidrogen dalam tanah menjadi pekat dan akan menghalang penyerapan ion positif oleh sistem akar. Tumbesaran pokok akan terjejas dalam keadaan ini. Tambahan, tanah masam juga menyebabkan tanaman menjadi toksik akibat kehadiran ion aluminium dan mangan dalam tanah di samping juga menyekat pengambilan nutrien surih, kalsium dan magnesium oleh tanaman. Keadaan sedemikian merumitkan tanaman cili tumbuh dengan baik.

Memandangkan nilai pH tanah adalah aspek penting dalam penanaman cili, maka kerja pengapuran hendaklah dijalankan dengan baik. Pengapuran amnya dijalankan semasa penyediaan tanah, 1 -2 minggu kemudian baru anak benih cili ditanam. Kebiasaan batu kapur dalam kuantiti 3 – 5 tan/ha sudah memadai untuk tanah biasa. Bagi tanah gambut, dos pengapuran yang tinggi diperlukan sehingga 20 – 25 tan/ha, manakala tanah pasir 2 – 3 tan dan tanah mineral 3 – 4 tan sudah mencukupi untuk meneutralkan tanah ke tahap yang sesuai untuk penanaman cili. 3 Perkara penting hendaklah diambil berat dalam program menanam cili, seperti berikut :

1. Penyediaan tanah.
2. Kualiti Bahan tanaman (Biji Benih).
3. Amalan agronomi.

Penyediaan tanah yang sempurna termasuk pembersihan tanah jika dijalankan dengan baik dapat mengelak tanah diserangi rumpai. Oleh itu, sebagai permulaan, tanah mula-mula dibajak piring dan bajak putar sedalam 15 – 22cm kemudian membuat batas selebar 1.2 meter, tinggi batas 20 – 30cm dan jarak tengah batas dengan batas lain diberikan kepada 150cm. Selepas itu baja asas digaul masuk ke dalam tanah. Sungkupan berkilau dipasangkan pada batas selepas itu dan langkah ini dapat mengawal rumpai dan serangan kutu afid. Lubang kemudian dibuat di atas batas dengan alat pengorek khas pada jarak 90cm antara lubang dalam baris yang sama.

Kualiti bahan tanaman juga aspek penting kerana biji benih akan tumbuh menjadi pokok yang bakal berhasil. Sekiranya biji benih kurang berkualiti, tumbesaran dan pengeluaran hasil pokok akan terjejas. Tambahan biji benih perlu dibasmi kuman dengan racun thiram pada kadar 3g/kg biji benih. Merendam biji benih ke dalam larutan TSP 10% (Tri Sodium Phosphate) selama 30 minit juga mampu membunuh kuman di dalam. Masa menyemai biji benih di tapak semaian mengambil masa 6 minggu sebelum ia boleh dipindah tanam ke kebun. Tapak semaian ini seelok-eloknya dijaringkan supaya kalis serangga bagi mengelak serangan serangga ke atasnya.

Ada 3 cara untuk mendidik biji benih. Yang pertamanya ialah menggunakan tapak semaian. Batas dalam tapak semaian dibuat pada jarak 1m di antara satu sama lain manakala panjang batas adalah bergantung kepada kesesuaian peribadi. Batas ini setinggi 15cm. Tanah batas terdiri daripada campuran tanah, baja organik dan pasir dalam nisbah 7:3:2 kemudian menggali lubang di atas batas pada kedalaman 0.5cm serta berjarak 5cm. Selepas menyemai biji benih ke dalam lubang tersebut, tanah dikambus bagi menutupi biji benih tersebut. Air siramanan diberikan dan biji benih dilindungi dengan sungkupan plastik lutsinar. Rangka untuk tapak semaian ini boleh dibuat dengan ketinggian 20 inci. 10 14 hari kemudian, anak benih yang sudah cambah ditetapkan pada jarak 5cm di antara satu sama lain, anak benih selebihnya dijarangkan (dibuang).

Cara kedua ialah menyemai biji benih terus ke dalam beg plastik bersaiz 10 x 15cm. Setiap beg disemai 2 – 3 biji benih. Apabila anak benih sudah cambah ke peringkat 2 – 3 helai daun, penjarangan dilakukan dan mengekalkan hanya satu anak benih yang sihat. Beg ini juga hendaklah dimasukkan ke dalam jaring kalis serangga bagi mengelak serangan serangga. 6 – 8 minggu kemudian, anak benih baru dipindah tanam ke kebun.

Cara ketiga adalah amalan paling lumrah digunakan untuk menyemai biji benih. Ia terdiri daripada kotak plastik berpetak 82 atau 104. Petak-petak ini dimasukkan tanah dan sekam padi pada nisbah 1:1. Pada 3 – 6 minggu kemudian, anak benih sudah boleh dipindah tanam di kebun. Diingatkan supaya meletak kotak plastik berpetak yang sudah disemai biji benih ini ke dalam jaring kalis serangga untuk tujuan mengelak serangan serangga. Air disiram setiap hari serta diletakkan dalam suasana tidak panas.

Sekalipun jaring kalis serangga sudah dipasang untuk melindungi anak benih dari serangan serangga, semburan racun amitraz dan imidacloprid pada setiap 7 hari juga wajib sebagai langkah kawalan serangan penyakit ke atas anak benih di situ.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


TK Tani Enterprise Sdn Bhd
No. 6, Jalan SS2/39, 47300 Petaling Jaya, Selangor. Malaysia.
Tel : +603-7877 7366 / +603-7877 7466
    +6019-337 5570 / +6017-640 8982
Email : tktuntan@gmail.com
          inaiutamasb@gmail.com

Petani di Malaysia suka menanam varieti cili MC 11, MC 12, Bangi, Kulai serta varieti import. Setiap satu mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing, namun melalui pengurusan yang setimpal, hasil lumayan dipercayai boleh diperolehi. Ini kerana varieti cili kini kebanyakan adalah berkualiti tinggi, sebab itu pengeluaran hasil lebih bergantung pada amalan agronomi dan kawalan perosak dan penyakit cili daripada kualiti cili.

 

Penanaman Di kebun

Kebiasaannya, anak benih berumur 6 minggu sudah sesuai dipindah tanam di kebun. Sebelum anak benih diubah ke kebun, ia hendaklah melalui proses pengerasan (hardening) iaitu membiasakan anak benih terhadap pancaran cahaya matahari. Untuk tujuan ini, anak benih hanya dikeluarkan pada hari mendung atau lewat petang kemudian disiram air. Langkah ini dapat memastikan sistem akarnya tidak cedera semasa diubah di kebun. Setiap batas ditanami dengan sebaris anak benih. Bagi mengelakkan serangan serangga, tanaman cili hendaklah mengelak ditanam di kawasan yang sebelum ini diusahakan dengan tanaman seperti terung dan tomato kerana tanaman sesama keluarga akan membangkitkan kadar serangan perosak yang lebih tinggi. Seminggu selepas menanam anak benih di batas, pantauan hendaklah dijalankan bagi menyingkirkan anak benih mati atau yang lemah kemudian disulam dengan anak benih sihat. Sebulan selepas itu, kayu penyokong tanaman dipasang di sekeliling pokok untuk mengelaknya daripada tumbang.

 

Pembajaan

Buah cili akan matang selepas 3 – 4 bulan ditanam. Pembajaan untuk tanaman ini agak mudah, setakat menabur baja ke dalam lubang dalam batas yang disungkupi plastik berkilau sudah memadai. Semasa penyediaan batas, baja asas berbentuk tinja ayam yang sudah difermentasi digaul ke dalam tanah pada kadar 3.5 tan/ha. Di peringkat umur pokok 2, 8 dan 14 minggu, baja 12/12/17/2 ditabur pada kadar 1.5 tan/ha. Tanah berpasir memerlukan baja asas (tinja tahi ayam) pada kadar 10- 20 tan/ha, kemudian pada peringkat masa yang sama seperti disebutkan tadi, menabur rumusan baja 12/12/17/2 pada kadar 2 – 3 tan/ha. Di tanah organik, baja asas sebenarnya tidak perlu digunakan tetapi di peringkat masa tersebut tadi, menaburlah baja 12/12/17/2 pada kadar 1.2 tan/ha. Aplikasi baja foliar yang bersesuaian dengan peringkat tumbesaran tumbesaran pokok juga digalakkan bagi menguatkan pokok dan meningkatkan hasil.

 

Pengairan

Setiap pokok cili dewasa memerlukan 3.5 liter air sehari. Pengairan dibekal melalui sistem pengairan renjisan. Semburan airnya akan merentas kawasan bergaris pusat 25- 30 meter serta mencapai kecekapan penggunaan air sehingga 65 – 75%. Sistem peparitan di kebun juga penting. Parit di kebun dapat menyimpan air hujan. Di tanah gambut pula, parit akan menyalur air bawah tanah yang tinggi keluar daripada kebun. Dengan cara ini, sistem akar pokok cili akan bebas daripada risiko terendam dalam air bawah tanah yang tinggi itu yang mampu menyebabkan pokok mati. Saiz parit itu adalah berbeza mengikut jenis tanah, lakarannya boleh dilihat di rajah 1, 2 dan 3.

 

Sumber maklumat :

PAKEJ TEKNOLOGI CILI, JABATAN PERTANIAN, 2007.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


FGV Agri Services Sdn Bhd
Level 9 West, Wisma FGV, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur, Malaysia
Tel : +603-2789 1000
Fax : +603-2789 0111
E-mail : fassbmarketing@fgvholdings.com

Sila kongsi kepada kawan :