Ramai orang sangka pokok sawit paling takut musim hujan sebab banjir, akar lemas dan jalan ladang rosak. Tapi sebenarnya, kalau ditanya pekebun lama, mereka akan cakap satu perkara yang lebih “senyap” tetapi bahaya — musim kering panjang.
Hakikatnya, kedua-dua musim ada kesan negatif terhadap sawit. Cuma cara dia “menyerang” berbeza.
Musim hujan biasanya bagi masalah cepat nampak. Buah susah keluar sebab jalan becak, lori tak boleh masuk, baja hanyut dan kawasan rendah boleh ditenggelami air. Kalau air bertakung terlalu lama, akar sawit kurang oksigen lalu jadi stres. Dalam keadaan terlalu lembap pula, penyakit seperti Ganoderma lebih mudah merebak. Pekerja ladang pun susah bergerak bila hujan terlalu kerap.
Tetapi kebanyakan kesan musim hujan ini selalunya bersifat sementara. Bila cuaca kembali baik, pokok boleh pulih semula.
Musim kering pula lain cerita.
Kesan dia lambat nampak, tetapi tempiasnya boleh dirasai sampai dua tahun. Sawit sebenarnya sangat perlukan air yang konsisten. Bila kemarau panjang berlaku, pokok mula “jimat tenaga”. Pelepah baru jadi kecil, bunga betina berkurang, dan banyak bunga gugur sebelum sempat jadi buah tandan segar.
Yang paling sakit hati, kesan kemarau hari ini bukan terus nampak esok. Dalam sawit, proses pembentukan tandan mengambil masa berbulan-bulan. Sebab itu bila kemarau berlaku sekarang, hasil mungkin jatuh 6 hingga 18 bulan kemudian. Pekebun kadang-kadang pelik kenapa baja cukup, tetapi hasil te4tap merosot — rupanya kesan cuaca lama masih menghantui pokok.
Di Malaysia, fenomena seperti El Niño memang sangat digeruni industri sawit. Bila kemarau melampau datang, hasil boleh jatuh teruk terutama di tanah cetek atau kawasan berbukit yang cepat hilang kelembapan. Anak pokok paling terkesan kerana akar belum dalam.
Musim kering juga menyebabkan tekanan tambahan kepada pokok. Serangan ulat bungkus dan perosak tertentu kadang-kadang meningkat apabila pokok berada dalam keadaan stres air. Tanah pula jadi keras, aktiviti mikroorganisme menurun dan baja kurang efektif kerana kelembapan tak cukup untuk melarutkan nutrien.
Namun begitu, ini tidak bermaksud musim hujan boleh dipandang ringan. Jika sistem perparitan gagal, kerosakan akibat banjir juga boleh menjadi sangat mahal. Ada ladang yang kehilangan pokok terus akibat akar reput selepas banjir berpanjangan.
Jadi, mana satu lebih buruk?
Secara umum, musim kering panjang biasanya memberi kesan lebih besar terhadap pengeluaran hasil sawit berbanding musim hujan biasa. Hujan berlebihan memang menyusahkan operasi ladang, tetapi kemarau panjang boleh “mengurangkan kilang buah” di dalam pokok itu sendiri.
Sebab itu ramai pengurus ladang moden sekarang lebih fokus kepada simpanan air, tanaman penutup bumi, sungkupan pelepah dan pengurusan kelembapan tanah. Dalam dunia sawit hari ini, air bukan sekadar keperluan — ia ialah “nyawa” kepada hasil ladang.
Sumber : Platform Profesional
Nota : Untuk Rujukan Sahaja









