Kumpulan FGV melalui anak syarikatnya, FGV Agri Services Sdn Bhd (FGVAS), telah berjaya mengkomersialkan bahan tanaman kelapa sawit berasaskan genetik tiga jenis baka yang dikenali dengan nama rasmi ‘Yangambi 3 Way’. Ia merupakan sejenis bahan tanaman hibrid DxP (Dura × Pisifera) berprestasi tinggi yang dianggap sebagai salah satu pencapaian penting dalam program pembiakbakaan kelapa sawit di Malaysia.
Istilah “3 Way Cross” atau “kacukan tiga penjuru” merujuk kepada gabungan tiga sumber genetik utama dalam pembentukan bahan tanaman ini, iaitu:
- Dura Nigerian (Nigerian Prospected Material)
- Dura Deli
- Pisifera Yangambi dari keluarga ML161
Struktur genetik lengkapnya boleh ditulis sebagai:
Deli _NPM × Yangambi

Gabungan ini menghimpunkan kelebihan genetik kelapa sawit dari Nigeria yang terkenal dengan kadar pengeluaran bilangan tandan yang tinggi serta pelepah yang pendek, bersama sifat unggul Yangambi dari keluarga ML161 yang terkenal dengan kadar perahan minyak yang tinggi.
Dalam tradisi industri kelapa sawit, Deli Dura telah lama digunakan sebagai induk betina kerana pertumbuhannya yang seragam dan daya penyesuaian yang baik terhadap pelbagai keadaan ladang. Walau bagaimanapun, baka ini mempunyai kelemahan tertentu seperti saiz tandan yang terlalu besar dan pola pengeluaran hasil yang lebih tertumpu pada musim tertentu (bermusim).
Sebaliknya, Nigerian Prospected Material (NPM) yang berasal dari Afrika Barat mempunyai ciri “tandan yang lebih kecil tetapi bilangan tandan yang banyak”. Ini bermakna setiap pokok boleh menghasilkan kira-kira 50 peratus lebih bilangan tandan berbanding baka Yangambi biasa, serta mengeluarkan tandan dengan lebih kerap sepanjang tahun. Ciri ini amat penting dalam sistem penanaman moden berkepadatan tinggi (High Density Planting / HDP) kerana ia membantu meningkatkan hasil lebih awal bagi setiap hektar yang ditanam, di samping mengurangkan tekanan fisiologi pada pokok terutamanya kegagalan jambak bunga akibat cuaca ekstrem.

FGVAS kemudiannya menjalankan proses introgresi (introgression) atau penggabungan genetik antara Nigerian Prospected Material (NPM) dan Deli Dura bagi menghasilkan asas induk betina baharu. Induk betina ini kemudiannya dikacukkan dengan baka Yangambi dari keluarga ML161 untuk menghasilkan bahan tanaman Yangambi 3 Way.
Kelebihan utama bahan tanaman ini terletak pada kombinasi bilangan tandan yang tinggi, kadar kenaikan tinggi pokok yang perlahan, dan hasil minyak yang tinggi. Dalam banyak keadaan, bahan tanaman sawit tradisional mungkin menghasilkan tandan yang besar tetapi jumlah tandan tahunan kurang konsisten. Sebaliknya, Yangambi 3 Way cenderung menghasilkan tandan yang lebih kecil tetapi dalam kuantiti yang lebih banyak, sekali gus meningkatkan jumlah pengeluaran Tandan Buah Segar (Fresh Fruit Bunches / FFB) tahunan.
Menurut FGVAS, bahan tanaman ini mempunyai beberapa ciri prestasi utama seperti berikut:
- Kenaikan tinggi tahunan yang perlahan (<0.5m)
- Panjang pelepah : 5.57m – 5.86m
- Mula mengeluarkan jambak 12 bulan selepas ditanam
- Bilangan tanda : 14-23 tandan/pokok/tahun
- Berat Tandan : 8-17kg
- Hasil potensi tahun ke-5 : 37.52 tan/ha
- Hasil minyak : 9.07 tan/ha
- Padar Perahan Minyak potensi: 26%
- Kepadatan optima : 160 pokok/ha
Dalam konteks pengurusan ladang moden yang semakin menekankan mekanisasi dan pengurangan kos buruh, tandan bersaiz kecil turut memberi kelebihan tambahan. Tandan yang lebih kecil adalah lebih mudah dituai, diangkut, dan dikendalikan, sekali gus membantu mengurangkan kebergantungan serta beban tenaga kerja di ladang.

Selain itu, pola pengeluaran tandan yang lebih sekata sepanjang tahun turut membantu kilang penapisan sawit memperoleh bek alan buah yang lebih stabil, sekali gus meningkatkan kecekapan operasi pemprosesan.
FGVAS juga mengesyorkan bahan tanaman ini ditanam menggunakan sistem kepadatan antara 148 hingga 160 pokok sehektar, iaitu lebih tinggi berbanding sistem penanaman konvensional.
Yangambi ML161 pula merupakan salah satu baka Pisifera paling terkenal dalam program pembiakbakaan FGV. Ia diiktiraf kerana mempunyai Daya Gabung Umum (General Combining Ability) yang baik apabila dikacukkan dengan mana-mana pokok induk betina, serta konsisten menghasilkan pengeluaran Tandan Buah Segar (FFB) yang tinggi dan kadar perahan minyak yang cemerlang. Yangambi ML161 telah memenangi pelbagai anugerah bahan tanaman sawit sebelum ini, termasuk Anugerah Jenama Terbaik Bahan Tanaman Sawit oleh The BrandLaureate Awards serta Pengeluaran Biji Benih Cambah DxP Terbanyak di Malaysia oleh Malaysia Book of Records.
Berbalik kepada baka Yangambi 3 Way, pembangunan genetik ini amat penting kerana ia membantu meluaskan asas genetik (genetic diversity) dalam industri kelapa sawit. Penggunaan berterusan bahan daripada induk Deli Dura secara meluas selama beberapa dekad telah menyebabkan asas genetik sawit komersial menjadi semakin sempit. Kemasukan genetik Deli Nigeria (NPM) membantu meningkatkan kepelbagaian genetik serta membuka ruang kepada pembangunan bahan tanaman generasi baharu yang lebih tahan lasak dan produktif pada masa hadapan.
Kajian oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) turut menunjukkan bahawa kombinasi:
(Nigeria × Deli) Dura × Yangambi Pisifera
mempunyai prestasi yang sangat baik dari segi pengeluaran bah tandan segar, hasil minyak, dan peratusan mesokarp. Beberapa kombinasi kacukan tiga hala ini dilaporkan mampu menghasilkan lebih daripada 260 kg buah tandan segar sepokok setahun serta melebihi 62 kg minyak sepokok setahun, iaitu lebih tinggi berbanding sebahagian besar bahan tanaman tradisional.

Dari sudut komersial, Yangambi 3 Way juga selari dengan hala tuju baharu industri kelapa sawit moden yang menumpukan kepada:
- Pengeluaran minyak sehektar yang lebih tinggi
- Kesesuaian untuk pelaksanaan mekanisasi
- Pengeluaran hasil yang lebih stabil sepanjang tahun
- Kecekapan sistem penanaman berkepadatan tinggi
Oleh itu, Yangambi 3 Way bukan sekadar satu bahan tanaman baharu, tetapi melambangkan peralihan pendekatan industri kelapa sawit daripada hanya mengejar “saiz tandan yang besar” kepada konsep “kecekapan hasil sehektar secara menyeluruh”.
Secara keseluruhannya, Yangambi 3 Way keluaran FGVAS merupakan antara bahan tanaman kelapa sawit moden yang paling berpotensi di Malaysia ketika ini. Melalui gabungan genetik Nigerian Dura, Deli Dura, dan Yangambi ML161 Pisifera, bahan tanaman ini berjaya menawarkan kombinasi kelebihan seperti hasil Buah Tandan Segar (FFB) yang tinggi, kadar pengeluaran minyak yang lebih baik, kesesuaian untuk penanaman padat serta pengurusan ladang yang lebih efisien.
Bahan tanaman ini dijangka memainkan peranan penting dalam pembangunan ladang kelapa sawit generasi baharu yang lebih produktif, mampan, dan berdaya saing pada masa hadapan. Yangambi 3 Way kini telah dikomersialkan dan boleh didapati di tapak-tapak semaian sawit berlesen di seluruh Malaysia. Maklumat lanjut sila hubungi FGV Agri Services Sdn Bhd di talian 03-2789 1000 / 0082.









