Ada orang kampung bergurau, pokok durian ini bukan sekadar “raja buah”, tapi juga “raja makan baja”. Sebab itu ada penanam menyifatkannya sebagai “penghisap darah” — bukan kerana pokok itu jahat, tetapi kos menjaganya memang boleh membuat poket berdarah kalau tidak pandai mengurus.
Hakikatnya, pokok durian terutama varieti premium seperti Musang King memang kuat makan baja. Dari kecil sampai matang, pokok perlukan nitrogen, fosforus, kalium, magnesium, kalsium dan pelbagai unsur mikro. Bila pokok mula berbuah, seleranya makin besar. Ada pekebun kata, “Sekali musim baja, rasa macam bayar ansuran kereta.”
Ini belum masuk kos racun, pengairan, rumput, buruh dan sistem saliran. Sebab itu ramai yang masuk kebun durian dengan mimpi cepat kaya akhirnya terkejut melihat bil baja setiap bulan. Pokok durian bukan seperti tanam pisang atau betik yang cepat dapat hasil. Durian perlukan kesabaran panjang. Ada yang tunggu enam hingga tujuh tahun sebelum merasa hasil sebenar.
Hextar Fert Sdn. Bhd.
No. 64, Jalan Bayu Laut 4/KS09, Kota Bayuemas, 41200 Klang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336Website: www.hextar.com
Tetapi adakah kerana ia “penghisap darah”, maka orang tidak patut ceburi tanaman ini?
Tidak semestinya begitu. Masalah sebenarnya bukan pada durian, tetapi pada cara sesetengah orang masuk industri ini. Ramai nampak harga durian mahal lalu terus beli anak pokok tanpa kaji ilmu tanah, air, pembajaan dan pasaran. Mereka fikir tanam sahaja, nanti duit datang sendiri. Akhirnya bila pokok mula menunjukkan simptom daun kuning, pertumbuhan perlahan atau serangan penyakit, kos mula melambung.
Penanam berpengalaman pula melihat durian secara berbeza. Mereka tahu durian memang “kuat makan baja”, tetapi jika dijaga betul, pokok itu juga boleh “membayar balik” dengan lumayan. Sebatang pokok matang kadang-kadang mampu menghasilkan ratusan kilogram buah dalam satu musim. Sebab itu walaupun kos tinggi, ramai masih sanggup bertahan.
Apa yang penting ialah pengurusan. Contohnya, ada pekebun mengurangkan kos dengan menggunakan baja organik, kompos, najis ayam proses atau tanaman penutup bumi seperti Mucuna untuk memperbaiki tanah. Ada juga yang menggunakan sistem fertigasi atau sensor kelembapan supaya baja tidak dibazirkan. Pokok durian sebenarnya tidak suka pembajaan secara “main tabur”. Kalau salah teknik, banyak baja hilang begitu sahaja.
Hextar Fert Sdn. Bhd.
No. 64, Jalan Bayu Laut 4/KS09, Kota Bayuemas, 41200 Klang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336Website: www.hextar.com
Selain itu, faktor tanah sangat penting. Tanah yang subur dan kaya bahan organik biasanya memerlukan input kimia lebih rendah berbanding tanah yang sudah “mati”. Sebab itu pekebun lama selalu pesan — jaga tanah dulu, baru pokok.
Tanaman durian bukan skim cepat kaya. Ia lebih seperti maraton panjang. Memang ada risiko, memang makan modal, dan memang kadang-kadang boleh buat kepala pening. Tetapi bagi mereka yang ada ilmu, disiplin dan modal sabar, “penghisap darah” ini juga boleh menjadi “mesin duit”.
Jadi, jangan takut dengan cerita orang. Tak semua yang makan kuat itu rugi. Lembu makan banyak pun masih boleh jadi aset. Pokok durian pun sama — kuat makan, tetapi kalau kena caranya, hasilnya juga boleh buat orang tersenyum lebar.
Sumber : Platform Profesional
Nota : Untuk Rujukan Sahaja









