Jambu Batu mampu memberi keuntungan yang baik jika beberapa aspek berkaitan dapat diberi perhatian yang sewajarnya. Ini termasuk mengambil langkah meningkatkan hasil melalui amalan kultur yang baik khasnya pembajaan yang secukupnya serta pengurusan perosak dan penyakit yang lebih cekap. Penting sekali ialah menanam varieti yang mempunyai harga pasaran yang baik bagi menggandakan pendapatan.
Senario Global dan Tempatan
Jambu batu (Psidium guajava, L.) merupakan buah-buahan tropika yang berasal dari benua Amerika Tengah dan Selatan. Ia dibawa masuk ke Asia Tenggara oleh penjajah Sepanyol dan Portugis kemudian tersebar ke India. Kini, negara pengeluar utama jambu batu di dunia ialah India, Brazil dan Mexico. Malaysia walaupun tidak mempunyai keluasan tanaman tersebut yang setanding, namun juga turut tersenarai sebagai negara pengeluar jambu batu sejak tahun 1987, iaitu berikutan negara-negara pengeluar penting yang lain seperti Afrika Selatan, Jamaica, Kenya, Cuba, Republic Dominican, Venezuela, Puerta Rico, Guyana, Colombia, Amerika Syarikat, Taiwan, Mesir dan Filipina.
Dalam negara, keluasan tanaman jambu batu telah merosot tahun demi tahun. Pada tahun 2008, jumlah keluasan adalah setakat 1,375 ha berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya di antara 1,7000 ha – 2,300 ha. Antaranya, Negeri Johor, Perak dan Melaka merupakan kawasan yang paling banyak menghasilkan buah jambu batu berbanding dengan negeri-negeri lain kerana keluasan tanaman yang lebih besar.
Setakat tahun 2007, jumlah eksport jambu batu mencatatkan 2,430 tan bernilai RM2.6 juta dan pasaran eksport utama melebihi 90% daripada jumlah keseluruhan, adalah Negara Singapura, Brunei dan Indonesia.
Potensi Pasaran
Menurut kajian yang pernah dijalankan oleh MARDI di pasaran Timur Tengah seperti Dubai dan Jeddah, jambu batu mempunyai pasaran yang menggalakkan di situ. Jambu batu dari pelbagai negara seperti Thailand, Pakistan, Mesir dan Sri Lanka telah berjaya menembusi pasaraya dan pasar mini di daerah tersebut dengan harga jualan antara RM8 – RM23/kg. Memandangkan tahap penerimaan yang baik oleh orang-orang Timur Tengah serta dapat dijual dengan harga yang baik, maka ia merupakaan satu destinasi yang sesuai untuk jambu batu Malaysia dieksportkan ke situ bagi mendapatkan pendapatan asing yang lumayan.
Di samping itu, jambu batu juga merupakan buah-buahan boleh diproses menjadi pelbagai produk hiliran termasuk jus, jem, kordial, halwa, jeruk dan sebagainya. Kelebihan ini menambahkan nilai jambu batu serta memperluaskan potensi pasarannya.
Namun begitu, pengeluaran jambu batu yang setakat 20,770 tan pada tahun 2008 belum lagi dapat menampung penggunaan tempatan atau domestik yang keseluruhannya dianggar sebanyak 196,379 tan (tahun 2008) bagi sektor pengguna akhir, institusi dan kilang. Pada tahu 2008, Malaysia terpaksa mengimport sejumlah 143,298 tan jambu batu dari luar negara yang mana kebanyakan adalah dari Negara Thailand (140,298 tan) manakala yang lain dari Negara Taiwan (3,247 tan) serta negara-negara lain.
Julat yang besar antara permintaan dan pengeluaran dalam negara menyatakan bahawa jambu batu adalah buah-buahan berpotensi untuk diusahakan bagi menampung permintaan domestik. Potensi jambu batu dalam pasaran domestik sebenarnya tidak begitu penting di sektor isi rumah atau makan segar memandangkan pertumbuhannya setakat 2% sahaja ekoran saingan daripada buah- buahan iklim sejuk seperti epal, oren,dan anggur.

Kimagri Corporation Sdn Bhd
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com
Website: www.kimagri.com
Pada tahun 2008, sektor isi rumah hanya makan segar jambu batu sebanyak 15,500 tan berbanding dengan sektor pengilangan yang mengguna sebanyak 94,800 tan yang mana ia diproses menjadi jus (28%), jem (5%), cordial (16%), jeruk (22%), halwa (7%) dan diproses minimum (22%). Pengilangan jambu batu kepada jus mengalami kadar pertumbuhan yang paling pesat, iaitu sebanyak 12% setahun.
Dari segi harga, jambu batu boleh dikatakan berada di tahap yang agak selesa. Menurut kajian MARDI tahun 2008, harga jambu batu berbiji adalah di sekitar RM1.20/kg (harga ladang), RM1.60/kg (harga borong) dan RMRM3.00/kg (harga runcit) (sila lihat rajah 1) manakala bagi jambu batu tanpa biji adalah di sekitar RM2.40/kg (harga ladang), RM3.20/kg (harga borong) dan RM4.50/kg (harga runcit) (sila lihat rajah 2).
Penghasilan Jambu Batu
Penghasilan jambu batu adalah berbeza mengikut varieti yang ditanam. Umpamanya bagi varieti Kampuchea (GU8), pengeluaran hasil tahun demi tahun adalah seperti disenaraikan di jadual 1.
Menurut jadual 1, jambu batu akan mula mengeluarkan hasil pada tahun kedua lepas tanam. Hasil terus meningkat tahun demi tahun sehingga tahun keenam kemudian mulai menurun. Namun begitu, pada tahun kesepuluh lepas tanam, hasil kutipan masih tegar di sekitar 21 tan/ha/tahun. Berdasarkan harga ladang pada RM1.07/kg dan kiraan yang telah dibuat dalam kajian MARDI, didapati pendapatan bersih adalah RM127,755 bagi tempoh 10 tahun untuk keluasan 5 ha. Ini bermakna pulangan bersih hanya setakat RM12,775.50 setahun bagi keluasan 5 ha atau RM2555.10/ha. Kos terbesar yang meragut keuntungan daripada penanaman jambu batu adalah tenaga buruh membalut buah dan membina junjung yang merangkumi 46% atau RM434,000 daripada keseluruhan kos pengeluaran pada RM937,768 untuk tempoh 10 tahun bagi keluasan 5 ha.
Berdasarkan keadaan ini, demi mendapatkan keuntungan bersih yang baik maka kos membalut buah dan membina junjung harus dikurangkan. Ini merupakan satu cabaran bagi petani tanaman jambu batu. Namun begitu, sekiranya cabaran ini dapat ditangani dengan suatu solusi yang membabitkan penggunaan tenaga kerja secara minimum, maka tanaman yang berhasil tinggi ini sebenarnya menyediakan ruang keuntungan yang selesa kepada mereka yang berminat untuk menceburi ke sektor tersebut. Solusi ini termasuk cara kawalan perosak yang lebih kos efektif terutamanya terhadap lalat buah.
Selain itu, dengan menanam jenis jambu batu yang mempunyai harga ladang lebih tinggi seperti Jambu Batu Lohan yang mampu mendapat harga ladang pada RM3.00/kg, ia akan dapat meningkatkan keuntungan dengan ketara jika dibandingkan dengan varieti yang hanya mempunyai harga ladang di lingkungan seringgit sekilo. Keuntungan bersih ini dijangka dapat ditingkatkan lagi sekiranya teknik kawalan perosak dapat diterapkan supaya mengurangkan kos pembalutan buah jambu batu yang terang-terang meragut sebahagian besar kos pengeluaran jambu batu. Namun begitu, kiraan kos dan keuntungan ini hanya untuk rujukan semata-mata kerana ia akan berbeza mengikut agro-iklim serta amalan pertanian yang digunakan oleh pengusaha tanaman masing-masing.
Ancaman perosak buah sebenarnya adalah penyebab utama yang mendesak pengusaha tanaman membalutkan buah jambu batu supaya mengelakkan kerosakan pada buah jambu batu. Sekiranya serangan berkenaan dapat diminimumkan dan buah jambu batu justeru itu tidak perlu dibalut lagi, maka kos pengeluaran yang terjimat itu akan sebaliknya menjadi keuntungan tambahan kepada petani jambu batu.
Sambungan ke : Jambu Batu Tanaman Berhasil Tinggi (Bahagian 2/2)
Sumber Maklumat :
1. Abd Rahman Milan, “Guava (Psidium guajava)” in Breeding Horticultural Crops @ MARDI, Editors Chan Ying Kwok et al, MARDI, 2008.
2. Abu Kasim Ali et al, Potensi dan Strategi Pemasaran Buah- buahan Tempatan, MARDI, 2010.
3. Y. Norlia (Editor), Penanaman Jambu Batu, MARDI, 1992.
Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350