Applied Agricultural Resources Sdn. Bhd.
Tel : 03-61517924/25/26/27/28
Fax : 03-61517081
E-mail: sales@aarsb.com.my
Website: www.aarsb.com.my
Sistem pengairan renjisan dan titisan umumnya digunakan dalam penanaman di Malaysia. Di sektor tanaman durian, sistem pengairan semakin popular dipasang di kebun ekoran memahami kepentingan air terhadap tumbesaran pokok serta pengeluaran hasil. Pengairan titisan mempunyai kadar penggunaan air yang jauh lebih cekap berbanding renjisan. Ini adalah secara teori. Amalan amali juga telah membuktikan perkara ini.
Namun, kebelakangan ini seorang penanam durian ketika bersembang telah menyuarakan kelemahan yang ada pada sistem pengairan titisan ke atas tanaman durian di peringkat anak pokok. Katanya lubang titisan air mudah tersumbat dan menyebabkan tumbesaran anak pokok terjejas. Katanya, penanam jarang-jarang pergi meneliti bekalan air tersebut sama ada disalurkan secara lancar atau tidak kerana masalah kekurangan tenaga buruh semakin kritikal menyebabkan mereka lebih sibuk ke sini ke sana untuk menguruskan pelbagai perkara kebun.
Justeru, setelah melihat sesetengah anak pokok mula menunjukkan gejala kekurangan air baru sedar masalah bekalan air telah berlaku. Sudah terlewat sedikit setelah perkara ini terdedah kerana anak pokok mungkin akan mati akibat kekurangan air, kemungkinan juga anak pokok akan mengalami kekurangan nutrien ekoran tiada kelembapan untuk mencairkannya untuk pengambilan oleh akar pokok.
Demikian, beliau terpaksa menggunakan alat untuk membesarkan lubang titisan tersebut. Air memancut keluar selepas itu. Dengan kata lain, sistem tersebut sudah bukan sistem pengairan titisan lagi. Beliau kemudian memasang satu pelantar untuk menyekat pemancutan air ke arah langit, sebaliknya air yang terkena pelantar itu akan disusul ke sekitar bawah pokok. Kaedah ini juga bukan pengairan renjisan kerana tiada kepala pemutar untuk merenjiskan air ke semua arah. Air hanya disalurkan secara spesifik kepada setiap pokok. Dengan kata lain, ia merupakan satu sistem pengairan “titisan” berlubang besar supaya airnya mengalir pada kadar lebih banyak terhadap setiap pokok. Sistem ini juga lebih jimat berbanding sistem pengairan renjisan kerana tidak perlu memasang pemutar di kepala sistem pengairan tersebut.
Beliau akhirnya telah menyelesaikan masalahnya yang dibawakan oleh pengairan titisan. Pengubahsuaian ke atas sistem itu telah berjaya meningkatkan tumbesaran anak pokok ke aras optimum. Malangnya beliau tidak menjemput kami untuk melihat keadaan sebenar di kebunnya atas sebab-sebab tertentu.