Applied Agricultural Resources Sdn. Bhd.
Tel : 03-61517924/25/26/27/28
Fax : 03-61517081
E-mail: sales@aarsb.com.my
Website: www.aarsb.com.my
Tahun 2021 mencatatkan tanaman sawit adalah seluas 5.74 juta hektar di Malaysia. Keluasan ini merangkumi lebih 70% jumlah keluasan tanah pertanian dalam negara. Dari sini jelas kelihatan pengeluaran biojisim sawit adalah sangat tinggi. Sebahagian biojisim itu digunakan sebagai bahan sungkupan di ladang sawit, sebahagian pula digunakan dalam industri hiliran untuk menghasilkan pelbagai produk sampingan. Bakinya mungkin dimusnahkan memandangkan industri hiliran tidak mampu mengguna penuh biojisim tersebut.
Di antara biojisim tersebut, buah tandan kosong dan kek isirung sawit (palm kernel cake) didapati mempunyai kegunaan komersial dalam pembuatan pelbagai produk. Antaranya ialah dirumus menjadi makanan ternakan pedaging lembu yang sudah dibangunkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Teknologi rumusan makanan ternakan ruminan ini dipamerkan pada hari terbuka pemindahan teknologi 2022 yang berlangsung pada bulan Jun lalu. Teknologi tersebut menggunakan rangkuman 80% buah tandan kosong, kek isirung sawit dan sisa minyak sawit ditambah dengan 20% bahan bukan biojisim sawit untuk merumuskan makanan dalam bentuk pelet. Rumusan ini merupakan makanan seimbang kepada lembu pedaging dan ia setanding dengan produk makanan lain yang ada di pasaran.
Melalui analisis. Rumusan makanan pelet ini mengandungi 7.35% air, 3.73% abu, 17.30% protein, 14.40% serat dan kandungan tenaga 4769 kalori/g. Potensi rumusan makanan ini sangat baik di pasaran memandangkan produk makanan pedaging lembu yang sedia ada di pasaran jauh lebih mahal akibat kenaikan bahan mentah khususnya bijirin yang terpaksa diimport dari luar negara.
Analisis kewangan selanjutnya ke atas rumusan baru ini mendapati jika produk baru ini dijual pada harga RM1.20/kg, pengeluaran 1 tan/jam, bekerja 8 jam sehari serta bekerja 28 hari sebulan, ditambah penjualan meningkat saban tahun dari tahun pertama ke tahun ke-10, maka teknologi ini mempunyai NPV pada RM1,350,723.00, pulangan dalaman (IRR) 30.83%, pulangan modal pada 3.8 tahun dan nisbah B/C (Benefit: Cost) ialah 1.08:1.
Sumber maklumat :
Nur Atika Ibrahim et al., ‘Oil Palm-Based Beef Cattle Feed Pellet’, MPOB TT. NO. 680, June 2022.