You are currently viewing Menanam Koko Secara Saintifik

Menanam Koko Secara Saintifik

- - iklan - -

Artikel ini merangkumi bahan-bahan mengenai kultur tanaman koko oleh Lembaga Koko Malaysia iaitu badan berkanun yang dipertanggungjawabkan untuk kelestarian dan kesinambungan tanaman koko di Malaysia. Oleh itu, tulisan yang terkandung di dalam artikel ini adalah sesuai untuk memanfaatkan penanam koko di negara ini. Baik dari segi klon koko mahupun cara-cara kultur yang lain, ia telah dipilih dan dianggap sebagai bahan tanaman yang paling sesuai dengan keadaan setempat di Malaysia agar memberi hasil lumayan.


Tanaman koko boleh ditanam sebagai tanaman baru ataupun pemulihan daripada tanaman koko matang yang tidak produktif. Tanaman koko perlu ditanam secara campuran 3 – 6 klon di kawasan penanaman yang sama untuk mengelakkan risiko serangan serangga perosak dan penyakit serta mengurangkan ketidakserasian klon demi pengeluaran hasil yang lebih baik. Rekomendasi klon telah disediakan kepada penanam dan rekomendasi ini hendaklah digunakan kerana klon-klon terpilih ini mempunyai adaptasi yang luas terhadap agro-iklim di Malaysia, kerintangan terhadap penyakit Mati Rosot Jejalur Vaskular (VSD) dan Buah Hitam (BP) di samping prestasi hasil dan kualiti buah yang memuaskan.

Klon Tanaman Koko

5 jenis klon koko telah digolongkan sebagai bahan tanaman komersial yang amat sesuai untuk ditanam di Malaysia. Klon-klon ini ialah KKM 22, QH 1003, MCBC 1, MCBC 8 dan PBC 123. Potensi pengeluaran hasil biji kering (kg/ha/tahun) untuk klon KKM 22 ialah 2,420 kg, QH 1003 2,030 kg, MCBC 1 – 3,590 kg, MCBC 83,510 kg dan PBC 123 – 2,550 kg. Kesemua klon ini adalah rintang terhadap penyakit VSD dan sederhana rintang terhdap penyakit BP. Begitu juga dengan keserasian, kesemua klon ini didapati tidak serasi dan oleh itu penanaman secara campuran klon diperlukan demi memupuk pendebungaan silang dan selanjutnya meningkatkan hasil. Jika hanya satu klon tunggal ditanam, pendebungaan diri (self-pollination) yang berlaku pada pokok tidak akan memberi hasil kerana bunga betina dan debunga dari klon yang sama tidak serasi. Terdapat juga klon lain yang dianggap sesuai untuk ditanam. Mereka ini ialah BR 25 dengan hasil biji kering (kg/ha/tahun) 2,690 kg, KKM 4 – 2,040 kg, KKM 25 – 2,440 kg, MCBC 9 – 3,760 kg dan QH 22 – 3,510kg di samping dengan rintangan yang baik terhadap serangga perosak dan penyakit utama koko. Di antara klon-klon ini, hanyalah klon BR 25 yang serasi.


Tanaman koko yang ditanam memerlukan lindungan daripada pancaran matahari. Oleh itu ia sesuai ditanam di kebun yang sedia ada dengan pokok durian atau dokong. Pokok-pokok saka ini akan memberi lindungan yang baik kepada tanaman koko. Sekiranya kawasan baru yang akan digunakan, maka penebangan pokok hutan hendaklah dijalankan secara selektif bagi mengekalkan pokok-pokok yang sesuai sebagai pelindung pancaran matahari kepada tanaman koko. selesai, Selepas pembersihan tanah pembarisan dan pemancangan dilakukan sebagai persediaan menanam koko. Kawasan lapang hendak juga menyediakan lokasi untuk menanam pokok pelindung seperti pisang dan betik. Lubang tanaman dibuat dengan ukuran 1.5 kaki dalam dan 1.5 kaki lebar.

Selepas lubang dikambus, GML 150 g ditaburkan di sekeliling anak pokok. Taburan GML hendaklah elak daripada terkena daun pokok. Anak pokok koko kemudian diikat pada pancang di tepinya bagi mengelak daripada rebah. Pelindung berbentuk pelepah kelapa kemudian diletakkan bagi melindungi anak pokok daripada pancaran matahari dan juga srangga perosak. Pelepah kelapa boleh bertahan selama 3-4 bulan. Plastik juga boleh digunakan sebagai pelindung sementara selama 5-6 bulan. Oleh itu, penanaman koko elok didahului dengan penanaman pelindung agar memberi perlindungan yang cukup kepada tanaman koko.

Untuk mendapatkan pokok penanti, biji benih yang sudah dirawat dengan thiram (bahan aktif 0.4%) pada kadar 5 g/liter dan telah bercambah selepas ditutupi dengan guni basah selama 24-48 jam dipilih untuk ditanam di polibeg. Apabila pokok penanti mencapai umur 3 – 5 bulan, ia sedia untuk dicantumkan secara baji atas iaitu dengan cara memotong bahagian atas pokok penanti kemudian diselitkan dengan kayau tunas klon koko. Tali rafia atau parafilem digunakan untuk mengikat tempat yang dicantumkan. Kayu tunas klon hendaklah diserkupi dengan plastik aiskrim lutsinar. Plastik ini hanya boleh dibuka selepas 3 minggu. Cantuman yang berjaya akan memperlihatkan pucuk daun baru tumbuh di batang klon. Dua bulan kemudian, anak benih cantuman ini sudah sedia untuk dipindah tanam di ladang.

Bagi memulihkan pokok koko dewasa yang kurang produktif, kaedah cantuman baji sisi boleh digunakan. Pokok-pokok dewasa ini biasanya terdiri daripada pokok hibrid yang kurang berhasil atau pokok yang sudah lama terbiar ataupun pokok yang diserangi penyakit. Pokok-pokok ini terlebih dahulu dicantas sehingga 70 80%. Pembersihan rumpai juga dijalankan. Pokok pelindung juga perlu dikurangkan untuk meningkatkan kemasukan cahaya matahari. Sebulan sebelum cantuman dijalankan, pokok hendaklah dibajakan. Sebulan sebelum pembajaan dijalankan pula, pengapuran hendaklah dilakukan.

Cantuman baji sisi dimaksudkan sebagai penyelitan pucuk klon atau sion pada sisi dahan pokok koko dewasa kemudian diikat ketat dengan tali rafia. Kayu mata tunas kemudian ditutupi dengan plastik lutsinar yang hanya boleh dibuka hari selepas 21-30 cantuman dijalankan. Pengeluaran pucuk baru di kayu tunas menandakan cantuman tersebut sudah berjaya. Apabila cantuman sudah berumur 3-4 minggu, cantasan 100% dijalankan ke atas pokok koko dewasa itu bagi mempercepatkan pertumbuhan cantuman.

Bagi pokok koko dewasa, pangkasan dijalankan untuk membentuk struktur pokok yang sihat serta mengawal ketinggian pokok pada 10 12 kaki. Pangkasan juga dijalankan ke atas dahan yang diserangi penyakit serta dahan yang tidak produktif. Apabila pokok cantuman sudah berumur 3-6 bulan selepas ditanam, pangkasan pokok boleh dimulakan dengan memangkas pucuk air serta dahan yang tumbuh keluar daripada dahan utama. Di peringkat ini, anak pokok dilatih supaya hanya dahan-dahan utama dikekalkan.

Ladang koko perlu ditaburi dengan GML bagi mengurangkan keasidan tanah tanah dengan kadar 2 tan/hektar pada setiap dua tahun secara taburan antara barisan tanaman. Baja sebatian yang biasa terdapat di pasaran boleh digunakan. Bagi anak pokok, baja hijau digunakan manakala bagi pokok yang baru matang, baja biru digunakan. Sebelum pangkasan pokok, baja juga perlu ditaburi demi memupuk pertumbuhan pokok dengan lebih cepat.

Penanaman koko boleh dijalankan secara tunggal atau integrasi dengan tanaman lain. Bagi tanaman tunggal, pokok koko ditanam dengan jarak 3m x 3m x 3m segitiga sama yang akan memuatkan 1,282 pokok/hektar. Dalam barisan pokok koko, pokok pelindung seperti Gliricidia boleh ditanam.

Jika sistem integrasi hendak digunakan, maka tanaman seperti durian, duku, dokong atau petai adalah sesuai dikendalikan. Dalam sistem ini (juga dikenali sistem pepagar satu baris), tanaman durian/duku/dokong/petai ditanam sebaris dengan jarak antara barisan 23 m dan dalam baris 10 m. Kokok ditanam dengan 6 baris antara barisan durian/duku/dokong/petai. Jarak tanaman koko adalah 3 m segitiga sama dan jarak antara baris koko dengan baris durian/duku/dokong/petai ialah 5 m. Sistem ini memberi kepdatan 870 pokok koko/hektar dan 43 pokok/hektar durian/duku/dokong/petai (gambarajah 1).


Tanaman koko dengan kelapa juga satu kombinasi yang baik. Amalan ini sudah dipraktikkan sejak dulu kala. Kelapa tinggi ditanam secara sistem pepagar 2 bsris dan di antara pepagar ditanam dengna 6 baris koko. Kelapa tinggi ditanam segitiga tiga sama 7m x 7m x 7m. Jarak antara pepagar kelapa ialah 23m. Koko ditanam pada jarak 3m segitiga sama. Jarak antara baris koko dan kelapa ialah 5m (rajah 2). Kepadatan yang diperolehi melalui jarak ini ialah koko 690 pokok/ha dan kelapa tinggi 99 pokok/ha.

Bagi kelapa rendah pula, kelapa ditanam secara pepagar dua baris dan di antara pepagar ditanam dengan 6 baris koko. Kelapa ditanam segitiga sama 5m x 5m x 5m. Jarak antara pepagar kelapa ialah 23m. Koko ditanam pada jarak 3m segitiga sama. Jarak antara baris koko dan kelapa ialah 5m (rajah 3). Kepadatan untuk jarak tanaman ini ialah koko 733 pokok/ha dan kelapa rendah 147 pokok/ha.

Integrasi antara koko dan kelapa sawit juga sesuai dijalankan. Kelapa sawit ditanam dua baris secara pepagar dan di antara pepagar ditanam dengan 6 baris koko. Kelapa sawit ditanam segitiga tidak sama iaiatu 9.1m x 9.1m x 6.5m dan antara baris sawit 8.5m bagi memudahkan kerja pungutan hasil sawit dan Jarak antara keperluan amalan agronomi. Jarak pepagar sawit ialah 23 m. Koko ditanam 3m segitiga sama. Jarak antara baris koko dan baris kelapa sawit ialah 5m. Kepadatan yang diperolehi di sini ialah koko 635 pokok/ha manakala kelapa sawit 98 pokok/ha (rajah 4).


Sumber maklumat :

Manual Teknologi Penanaman Koko, Lembaga Koko Melaysia, 2013.

Hantar blog ini kepada :