Hextar Fert Sdn. Bhd.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336
Website: www.hextar.com
Apakah yang dimaksudkan dengan kepadatan amat tinggi ini ? Tanaman jambu batu jika ditanam pada jarak 3.5m X 3.5m akan memuatkan 817 pokok/ha iaitu bersamaan dengan 330 pokok/ekar sudah dianggap satu kepadatan yang agak tinggi. Apa kata jika jarak tanaman disyorkan 1m X 2m untuk menampung 5,000 pokok/ha ataupun 2,026 pokok/ekar ?
India adalah negara pengeluar jambu batu yang penting di dunia. Jambu batu dikaji sepanjang masa dan berjaya menghasilkan pelbagai jarak tanaman dan baka untuk memanfaatkan petani di negaranya. Penanaman 5,000 pokok/ha merupakan salah satu kajian yang sudah berjaya dieksperimenkan.
Pengamatan daripada gambar foto mengenai eksperimen ini menunjukkan tanah di kebun mencapai peringkat guna penuh. Hasil eksperimen ini juga menunjukka pengeluaran hasil pada tahun pertama adalah di sekitar 12.5 tan. Apabila umur pokok mencapai 6 – 7 tahun, hasil buah mencapai 55 tan/ha. Baka jambu batu Lalit berisi merah telah digunakan dalam eksperimen ini dan menunjukkan kesan yang baik terhadap kepadatan yang amat tinggi ini. Dengan kata lain, baka Lalit dapat tumbuh baik dalam keadaan ini. Maka implikasi di sini ialah banyak baka lain juga boleh ditanam dengan kepadatan ini.
Kepadatan amat tinggi ini juga bermaksud jumlah pokok yang ditanam melebihi 6 kali ganda berbanding kepadatan tinggi yang biasa dipraktikkan. Jumlah pokok yang amat tinggi ini memerlukan banyak tenaga buruh dalam pengurusan. Daripada sudut ekonomi, tanggapan ini barang kali kurang tepat kerana jumlah pokok yang banyak telah menghasilkan kesan ekonomi berskala yang turut akan meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga buruh. Begitu juga dengan penggunaan baja dan air yang sama-sama mendapat manfaat dalam situasi tersebut.
Kejayaan eksperimen ini telah menghambat hati ramai petani di negara itu dan teknologi ini mulai diaplikasikan oleh banyak daerah yang menanam jambu batu di India. Untuk menanam 5,000 pokok/ha, mengawal ketinggian pokok serta kerap memangkas pokok menjadi tugas terpenting. Jika dilihat melalui gambar foto, didapati pokok dewasa yang sering dipangkas tidak melebihi ketinggian seseorang. Ketinggian seperti ini memudahkan pengurusan pokok termasuk kutipan hasil. Petani mini yang memunyai keluasan tanah yang kecil, umpamanya 2 atau 3 ekar, boleh menggunakan teknik penanaman ini kerana jumlah pokok yang banyak ditambah dengan pengurusan yang baik dapat mendatangkan pendapatan berganda berbanding dengan keadaan penanaman yang biasa.
Menurut teknologi ini, 2 bulan selepas anak pokok ditanam, pokok mulai dipangkas untuk menggalak pertumbuhan lebih banyak pucuk. 3 – 4 bulan kemudian, pangkasan dijalankan sekali lagi. Pangkasan kali ini hendaklah memangkas 50% hujung dahan melintang supaya menggalak percabangan. Dengan kata lain, setiap dahan melintang ini ada dua cabang pucuk-pucuk. Pokok dibirakan tumbuh selanjutnya sehingga mencapai tumbesaran yang seimbang. Pembungaan akan mula selepas itu.
Jambu batu mempunyai sifat pembawaan bunga pada setiap pemucukan baru. Oleh yang demikian, rajin memangkas akan memupuk pengeluaran hasil yang lebih tinggi. Umumnya selepas kutipan hasil, pokok akan dipangkas, pemucukan baru akan berlaku dikuti oleh pembungaan kemudian putik buah terbentuk. Kelestarian tumbesaran perlu dipupuk melalui pembajaan dan pengairan secukupnya. Tanpa kedua-duanya, tumbesaran dan hasil pokok akan terjejas. Pokok akan menjadi lemah jika baja tidak dibekal dan mudah menyebabkan kejadian penyakit.
Hasil buah dalam penanaman berkepadatan amat tinggi ini melebih 2 – 3 kali ganda berbanding hasil buah dalam penanaman biasa yang setakat 12 20 tan/ha. Namun begitu, bekalan baja tidak perlu ditingkatkan 2 – 3 kali ganda kerana aplikasi baja boleh dikongsi sama oleh pokok-pokok yang ditanam. Petani akan mendapat penjimatan baja dalam penanaman ini. Jika sistem pengairan titisan dipasang, dijangka hasil buah boleh mencapai tahap yang memberangsangkan. Oleh kerana ketinggian pokok sudah dikawal serta adanya pangkasan yang kerap, kadar pengudaraan dan kemasukan cahaya ke dalam pokok juga bertambah baik dan keadaan ini ini akan mengurangkan kejadian penyakit. Pokok juga lebih sihat dan berhasil tinggi selepas mendapat pancaran matahari yang cukup untuk menjana makanan.
Sumber maklumat :
Nakul Rao Rangare, High Density Planting System, 2020
Hextar Fert Sdn. Bhd.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336