You are currently viewing Teknik Penanaman Rumput Napier Untuk Ternakan Ruminan

Teknik Penanaman Rumput Napier Untuk Ternakan Ruminan

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Kimagri Corporation Sdn Bhd
PT 23081, Kawasan Perindustrian Tungzen, 31300 Kampung Kepayang, Perak Darul Ridzuan, Malaysia.
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com

Website: www.kimagri.com

Rumput napier juga dikenali sebagai rumput gajah, merupakan rumput berasal dari benua Afrika dan Pulau Bioko yang beriklim tropika. Rumput ini telah diperkenalkan ke Malaysia pada tahun 1940-an, kemudian secara perlahan-lahannya digunakan secara meluas di kalangan penternak ruminan sama ada tenusu atau pedaging seperti fidlot. Terdapat beberapa varieti bagi rumput ini seperti King Grass, Common Napier, Red Napier, Uganda, Dwarf Mott dan Dwarf Australian. Kebanyakan penternak di Malaysia menggunakan varieti Taiwan Napier, Indian Napier dan Dwarf Napier. Varieti Dwarf adalah jenis yang rendah dan kurang berbatang. Tinggi pokok kurang daripada 1.6 m dan menghasilkan lebih banyak daun berbanding dengan batang.

Terdapat juga varieti rumput napier yang dikacukkan dengan pelbagai tanaman lain untuk meningkatkan hasil yang diperoleh di samping menambah ciri-ciri morfologinya. Antara hibrid yang terkenal dan diguna pakai di seluruh dunia termasuklah varieti hibrid CO yang diberikan kod nombor tertentu mengikut generasi dan ciri-ciri penghasilannya. Hibrid lain yang terkenal ialah Napier Pakchong Thailand yang mampu menghasilkan 450 – 600 t/ha setahun serta mempunyai kandungan protein yang lebih tinggi berbanding dengan rumput Napier biasa.

Teknik penanaman, penjagaan dan pengurusan rumput Napier yang betul memainkan peranan penting terhadap penghasilan dan kualiti yang optimum selain turut memanjangkan jangka hayat rumput berkenaan. Sebagai contoh, Napier di Afrika ditanami dengan teknik Tumbukiza iaitu teknik penggalian lubang bulat atau segi empat yang besar dengan kedalaman 60 90 cm dan dimasukkan campuran tanah topsoil (satu bahagian) dengan dua bahagian tinja haiwan. Benih Napier kemudian disusun di dalam lubang sebelum ditimbus dan disiram. Kaedah penanaman ini berjaya membantu penternak di situ mengatasi masalah pertumbuhan yang disebabkan oleh musim kemarau ekoran adanya nutrien di dalam lubang untuk pengambilan oleh akar tanaman.

Di Malaysia, Napier ditanam dengan menggunakan keratan batang beranggaran 3 – 4 ruas. Sebanyak 35 kg keratan Napier digunakan untuk ditanam pada tanah yang sudah dibajak piring dan bajak sikat pada keluasan 100 m2. keratan ditanam pada jarak 100 cm di antara baris dan 60 cm dalam baris untuk teknik secara tampang dan rumpun. Selepas tanam, keratan tersebut disiram dan dibiarkan tumbuh 90 hari atau 3 bulan sebelum tuaian pertama dilakukan dengan menggunakan parang. Untuk tujuan analisis kandungan nutrisi, hasil yang diperolehi dalam potongan pertama ditimbang dan diambil sampel sebelum dikeringkan.

Pemotongan kali kedua, ketiga dan keempat dilakukan selang 60 hari atau dua bulan selepas pemotongan pertama. Bagi rumput yang rumput yang tumbuh selepas pemotongan pertama dan pemotongan seterusnya, baja NPK diberikan pada kadar 150 kg/ha pada usia rumput dua minggu dan baja urea pada kadar 50 kg/ha pada usia 6 minggu.

Hasil tuaian pertama berada di antara 19 t – 24 t/ha bergantung kepada teknik penanaman yang digunakan. Hasil rumput Napier akan terus meningkat selepas beberapa kali pemotongan tanpa mengira teknik penanaman yang digunakan.

Dalam pada itu, rumput hibrid Napier Pakchong dari Thailand juga sangat berpotensi untuk ditanami kerana pengeluaran hasil yang sangat tinggi berbanding varieti Napier yang lain. Ia adalah hasil kacukan rumput Napier (Pennisetum purpureum) dan milet nutiara (Pennisetum glaucum). Berbanding dengan rumut Napier jenis lain, rumput Napier Pakchong mampu menghasilkan sehingga 200% bekalan makanan haiwan kepada penternak. Malahan kandungan protein kasar Napier pakchong jug lebih tinggi daripada Napier asli dalam lingkungan 16 – 18%. Faktor ini sangat penting khususnya untuk ternakan tenusu yang perlu lebih banyak protein untuk pengeluaran susu yang lebih banyak. Selain itu, rumput Napier Pakchong juga dilaporkan berpotensi tumbuh lebih tinggi daripada Napier asli.

Penanaman rumput Napier Pakchong dijalankan dengan menyediakan keratan batang beranggaran 3 – 4 ruas kemudian dicucuk ke dalam batas pada kedalaman 15 – 20 cm secara menyerong 45 darjah berjarak 3 kaki antara keratan. Parit dibuat di antara batas yang berjarak 2 kaki untuk tujuan pengairan. Namun keperluan sistem peparitan adalah bergantung kepada keadaan sekitaran sama ada tanah itu rata atau condong sedikit (yang memerlukan peparitan).

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Simple Farm Sdn Bhd
Tel : 011-10709708 / 012-7699702
E-mail : mrbanana@simple-farm.com

Website: www.mrbanana.com.my

Selepas Napier Pakchong tumbuh 2 bulan, pemotongan kali pertama dijalankan. Semasa hasil dituai, batang pokok Napier Pakchong dipotong hampir dengan aras tanah. Selepas dua minggu hasil dituai, baja asas iaitu 50kg N, 50 kg P dan 50 kg K biru ditabur bagi setiap hektar.

Secara keseluruhannya, didapati bahawa kualiti nutrien tertinggi rumput Napier Pakchong iaitu purata jumlah protein kasar dan nisbah daun kepada batang yang tertinggi diperoleh pada peringkat awal pertumbuhan, iaitu minggu keempat. Namun begitu, kuantiti hasil berat kering yang dihasilkan di peringkat masa itu terlalu rendah. Dari segi ekonomi, ia tidak akan memberi hasil perolehan yang memadai jika rumput dipotong terlalu awal. Secara umumnya, dengan kematangan rumput, terdapat pengurangan kandungan sel, terutama protein kasar yang disebabkan oleh pengumpulan karbohidrat dalam bentuk serat seperti selulosa, pektin, fruktan dan hemiselulosa yang lebih sukar untuk dicernakan.

Hasil kajian ini menunjukkan bahawa apabila rumput napier Pakchong dipotong pada minggu keenam, peratus protein kasar daun mencapai 17.9%, manakala pada minggu ketujuh, peratus protein kasar daun mencapai 16.4%. Manakala untuk batang pula, peratus protein kasar ialah 9.7% pada minggu keenam dan 8% pada minggu ketujuh. Maka purata peratus protein kasar ialah 13.3% untuk minggu keenam dan 11.4% untuk minggu ketujuh.

Seperti yang dinyatakan, makanan pemula anak lembu harus mengandungi protein kasar minimum 16%. Maka bahagian daun rumput Napier Pakchong yang dipotong pada minggu keenam dan ketujuh mampu memenuhi kriteria ini. Manakala untuk hasil Napier Pakchong pada umur lapan minggu boleh diberikan pada lembu jantan dewasa dan lembu betina yang tidak bunting kerana kandungan protein kasarnya hampir 10%.

Daripada hasil kajian ini, didapati hasil berat kering pada minggu ketujuh ialah 5,000 kg/ha, iaitu lebih kurang 30% lebih tinggi daripada hasil berat kering rumput yang dituai pada minggu keenam yang hanya sebanyak 3,800 kg/ha. Dari segi ekonomi dan keperluan nutrien ruminan, kajian ini menunjukkan bahawa tuaian pada minggu ketujuh adalah paling optimum untuk semua ternakan ruminan.

 

Sumber maklumat :

1. Thayalini Kathiraser et al., “Rumput Napier Sebagai Sumber Protein Ternakan Ruminan”, Buletin Teknologi MARDI bil. 16 (2019).
2. Muhammad Hazwan Mustaffer, “Teknik Penanaman Rumput Napier Untuk Peningkatan Hasil Optimum”, Buletin Teknologi MARDI Bil. 16 (2019).

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


FGV Agri Services Sdn Bhd
Level 9 West, Wisma FGV, Jalan Raja Laut, 50350 Kuala Lumpur, Malaysia
Tel : +603-2789 1000
Fax : +603-2789 0111
E-mail : fassbmarketing@fgvholdings.com

Sila kongsi kepada kawan :