Aroma durian hanya dihayati oleh penduduk Asia sahaja sebaliknya bagi Orang Putih mereka berasa aneh malah benci terhadap aroma ini sehingga ramai enggan untuk mencubanya. Untuk membuka pasaran di negara-negara Orang Putih, kajian ke atas durian tidak beraroma telah giat dijalankan di Thailand. Namun sebelum itu, sudah terdapat satu baka durian tidak beraroma ditemui di Sumatera Utara, Indonesia pada tahun 1981. Baka ini dikenali Durio macrantha.
Baka durian ini mula ditanami oleh Kosterman di Sumatera Utara apabila beliau menemuinya buat kali pertama di situ. Malangnya pada tahun 1994 Kosterman sakit tenat dan menelifon Zappallas di Australia memintanya untuk membawa baka ini supaya ditanam di negaranya sebagai tujuan konservasi. Zappallas kemudian menghubungi kawannya John Marshall yang kebetulan sedang mengunjung di Bali untuk membawa baka ini balik. Disebabkan oleh baka ini tidak berbau, maka John menyimpannya dalam beg dan berjaya membawanya ke Australia.
Di kebun Zappallas sudah ditanam 1,000 baka durian yang dikumpul dari merata-rata tempat termasuk Udang Merah, D24, Musang King, Monthong dan sebagainya. Dalam kebun ini juga ditanami 15 pokok Durio macrantha yang dipercayai hanya wujud secara tunggal di situ. Durio macrantha lebih kurang sama dengan baka durian tempatan (Durio zibethinus Murr.), misalnya berduri tajam, warna buah, isi buah, saiz buah dan sebagainya hampir menyerupai durian tempatan, cuma tidak beraroma langsung.
Cita rasa Durio macrantha kononnya kalah kepada durian tempatan. Ia membawa kepahitan, isi tebal dan halus dan dikira unik juga. Menurut pengkaji durian terkenal Dr. Salma Idris (2011), Durio macrantha dipercayai adalah baka liar daripada keluarga durian tempatan kerana bentuk daun, bunga dan bentuk buah hampir sama dengan durian tempatan. Justeru itu, kini Durio macrantha juga dianggap sebagai salah satu baka durian tempatan yang khusus iaitu tidak beraoroma. Jika di kebun anda terdapat durian yang tidak berbau maka mungkin adalah baka Durio macrantha. Melalui pengurusan seperti membaja dan amalan kultur lain dipercayai kualiti buah baka ini boleh ditingkatkan dan dipasarkan sebagai durian unik.