You are currently viewing Penanaman Ubi Keledek Ungu Anggun

Penanaman Ubi Keledek Ungu Anggun

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Kimagri Corporation Sdn Bhd
PT 23081, Kawasan Perindustrian Tungzen, 31300 Kampung Kepayang, Perak Darul Ridzuan, Malaysia.
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com

Website: www.kimagri.com

MARDI telah menjalankan penyelidikan selama hampir 10 tahun sebelum ubi keledek anggun berjaya diperkenalkan pada 24 September 2017. Ubi keledek anggun 1, 2 dan 3 bersama-sama merupakan ubi keledek ungu tetapi mempunyai ciri daun dan ciri bentuk ubi yang berbeza. Dalam penyelidikan tersebut, baka ubi keledek ungu yang berhasil tinggi dan dapat beradaptasi kepada pelbagai sekitaran telah dipilih dan diekepserimen, akhirnya tiga varieti itu telah dibangunkan.

Secara umum, ubi keledek ungu mempunyai kandungan vitamin B, C, E, zat mineral, beta karotena, protein, kanji serta antosianin yang berwarna ungu. Antosianin ini mempunyai banyak kelebihan termasuk antioksida yang penting untuk kesihatan dalaman dan luaran serta menghindari penyakit kronik seperti barah. Ubi keledek ungu juga mampu menghindari penyakit kardiovaskular seperti serangan jantung, strok, asma dan sebagainya. Oleh yang demikian, ubi keledek ungu merupakan produk yang berpotensi untuk dibangunkan sama ada untuk dimakan segar ataupun diproses kepada banyak produk siap yang membawa khasiat.

Pemilihan Kawasan Penanaman

Kebun ubi keledek anggun hendaklah mempunyai jalan selebar 2 meter untuk memudahkan pergerakan traktor. Sumber air hendak juga ada berdekatan dengan kawasan penanaman. Sekiranya sumber air terletak jauh daripada kawasan penanaman, maka 4 telaga tiub berjarak 40 kaki antara satu sama lain perlu disediakan bagi satu rumah pam yang dibina untuk menyampaikan air kepada tanaman. Bagi penyiraman tanaman, pengairan renjisan berputar atau titisan adalah disyorkan.

Bagi kawasan yang cerun melebihi 6 darjah ataupun bertanah liat, ubi keledek anggun tidak sesuai ditanam. Tanah yang mempunyai nilai pH antara 5.5 – 6.5 adalah sesuai untuk tanaman ini. Tanah asid sulfat biarpun tidak sesuai untuk tanaman lain tetapi ia boleh digunakan untuk penanaman ubi keledek anggun. Selain itu tanah gambut bersaliran baik juga di antara pilihan yang seuai tetapi tanah berpasir atau tanah bris amat sesuai untuk tanaman ini.

Di kawasan yang sering mengalami hujan lebat, kawasan itu dikira tidak sesuai kerana khuatir air akan bertakung selanjutnya merosakkan ubi di dalam tanah.


Bahan Tanaman

Ubi keledek anggun ditanam menggunakan keratan pucuk. Bagi kawasan seluas satu hektar dengan jarak tanaman 1 meter di antara batas dan 0.25 meter di antara pokok, maka keratan pucuk yang diperlukan ialah 40,000 keratan/hektar. Bagaimanapun, jika jarak antara batas ialah 1.5 meter, maka hanya 26,666 keratan diperlukan untuk kawasan sehektar.

Untuk mendapatkan keratan pucuk yang mencukupi, maka plot bahan tanaman perlu disediakan iaitu plot yang ditanami ubi keledek anggun untuk tujuan membekalkan bahan tanaman sahaja. Bahan tanaman perlu diambil mengikut kriteria yang betul. Yang penting ialah keratan pucuk adalah keratan terbaik untuk bertanam kerana berupaya mengeluarkan hasil yang tinggi berbanding dengan keratan tengah dan bawah. Keratan bawah tidak disyorkan kerana kerana cenderung membawa telur kumbang perosak ubi.

Apabila pokok telah mencapai umur 2 – 3 bulan, keratan pucuknya boleh digunakan kerana di peringkat masa ini, keratan pucuk adalah cergas bertumbuh manakala jika umur pokok melebihi 4 bulan, pucuknya akan mengalami tumbesaran yang lambat akibat tenaga lebih banyak digunakan untuk pengeluaran ubi dan bukannya pertumbuhan vegetatif. Bagi varieti ubi keledek anggun 1, 2 dan 3, panjang keratan 30 cm adalah memadai. Hanya keratan daripada pokok induk yang sihat digunakan demi mengelakkan jangkitan penyakit.

Keratan pucuk yang telah diambil daripada pokok induk boleh ditanam pada hari yang sama ataupun melalui proses pengerasan (hardening) iaitu dengan meletakkan di bawah pokok atau pondok selama 2-3 hari sebelum ditanam. Proses pengerasan bertujuan menggalak pertumbuhan akar pada nod-nod keratan. Kaedah ini lebih menjaminkan tumbesaran yang lebih kuat di plot baru nanti. Sebelum keratan ditanam, ia harus dirawat dengan campuran racun kulat seperti benomyl, chlorotalonil atau mancozeb dan racun serangga seperti carbaryl atau diazinon yang telah dicairkan seperti tercatat dalam label racun secara rendaman sepenuhnya selama 20 minit.

Penanaman

Keratan pucuk yang sudah sedia kemudian ditanam pada batas berukuran 30 – 60 cm ketinggian mengikut jenis tanah. Jarak tengah di antara baris ialah 1.2 meter bagi sistem tanaman sebaris dan 1.5 meter bagi sistem tanaman dua baris. Batas yang lebih tinggi akan memberi hasil lebih tinggi sebanyak 30%. Kelebihan batas juga memastikan kemudahan penuaian nanti di samping akan memudahkan pengurusan rumpai dan pembajaan.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


TK Tani Enterprise Sdn Bhd
No. 6, Jalan SS2/39, 47300 Petaling Jaya, Selangor. Malaysia.
Tel : +603-7877 7366 / +603-7877 7466
    +6019-337 5570 / +6017-640 8982
Email : tktuntan@gmail.com
          inaiutamasb@gmail.com

Jarak tanaman yang disyorkan ialah 0.25 meter di dalam baris dan 1.2 meter di antara baris bagi sistem tanaman sebaris dan 0.25 meter di dalam baris dan 1.5 meter di antara baris bagi sistem tanaman dua baris. Dengan jarak ini, sistem tanaman sebaris memerlukan jumlah bahan bahan tanaman sebanyak 33,333 keratan sehektar manakala bagi sistem tanaman dua baris pula memerlukan jumlah bahan tanaman sebanyak 26,666 keratan sehektar. Bagi kedua-dua sistem tanaman ini, alat penanaman mekanikal boleh digunakan. Bagi menyiapkan kerja penanaman sebaris, sebanyak 9 – 11 jam diperlukan untuk kawasan satu hektar.

Seperti sedia maklum, pengairan amat penting kepada tanaman ini, justeru pemasangan sistem pengairan renjisan atau titisan adalah perlu bagi menjamin kelestarian tanaman. Begitu juga dengan pembajaan yang dibahagikan kepada servis sebelum penanaman dan selepas penanaman. Baja sebelum penanaman merupakan baja asas yang umumnya merupakan tinja tahi ayam yang telah diproses manakala baja selepas penamaman ialah baja sebatian 12/12/17/2 + TE (21, 35 dan 56 hari selepas tanam) dan baja semburan kalsium-boron (15:2) (22, 36, 49 dan 57 hari selepas tanam). Bagi tanah berpasir, baja organik yang diperlukan adalah 10 tan/ha sedangkan bagi tanah mineral, gambut dan tanah asid sulfat ialah 5 tan/ha.

Kadar baja sebatian yang disyorkan bagi tanah bris dan tanah gambut ialah 600 kg/ha untuk semusim atau 200 kg/ha untuk setiap kali pembajaan. Kadar baja sebatian yang disyorkan bagi tanah mineral dan tanah asid sulfat ialah 300 kg/ha untuk semusim penanaman atau 100 kg/ha untuk setiap kali pembajaan. Bagi kaslisum-boron pula, semburan diberikan pada kadar 1.5 liter/ha yang dibancuhkan ke dalam air 450 liter untuk setiap kali pembajaan. Kadar ini adalah sama untuk semua jenis tanah.


Pengurusan Rumpai

Pada usia pokok melebihi 60 hari, serangan rumpai akan berkurangan kerana litupan tanaman ubi keledek anggun yang telah menyeluruh menutupi permukaan tanah. Sebelum itu, rumpai perlu dikawal seelok-eloknya disemburi dengan glifosat 14 hari sebelum membajak tanah. Sehari sebelum penanaman, racun pracambah (S-metolachlor) pada kadar 1.8 liter/ha boleh digunakan. Kesan racun pracambah boleh tahan selama 2 -3 bulan di dalam tanah yang mana ia berupaya membunuh semua bank biji benih di dalam tanah setelah penyediaan batas dilakukan. Bagi kawasan tanah gambut, kadar raucn rumpai yang lebih tinggi diperlukan iaitu 4.2 liter/ha (S-metolachlor). Bagi peringkat pertumbuhan seterusnya, rumpai boleh dikawal dengan menyembur racun jenis “graminicide” iaitu racun rumpai selektif terhadap pokok daun tirus seperti fluazifop dan clethodim. Racun rumpai ini adalah selamat terhadap tanaman ubi keledek dari 21 – 60 hari selepas tanam.

Penuaian Hasil

Ubi keledek anggun boleh dituai pada umur pokok 15-16 minggu selepas tanam. Di peringkat umur ini, ubi yang dihasilkan berada pada tahap kematangan maksimum dan kandungan antosianin pada tahap optimum iaitu 185 – 316 mg/liter dengan potensi hasil antara 20 – 30 tan/ha. Pungutan hasil yang lebih lewat daripada 16 minggu selepas tanam akan menyebabkan ubi keledek anggun bertunas semula serta ubi mudah diserangi tikus dan juga kumbang belalai.

Penuaian boleh dibuat secara manual atau menggunakan mesin. Sebelum menuai ubi keledek, sulur pokok perlu dipotong dan dibuang terlebih dahulu kemudian baru mengutip ubi keledek di dalam tanah. Untuk keluasan melebihi satu hektar, mesin kutipan hasil ubi adalah disyorkan.

Potensi Komersial

Ubi keledek anggun berpotensi tinggi kerana kandungan khasiat yang tinggi untuk kesihatan badan manusia. Ia boleh digunakan untuk menghasilkan puri dan minuman terus. Begitu juga serbuk ubi keledek anggun boleh dihasilkan yang mana ia mudah berlarut dalam air minuman. Ia juga boleh menghasilkan perata iaitu sejenis roti nipis yang digemari ramai. Sapuan kaya juga telah dibangunkan oleh MARDI menggunakan ubi keledek anggun. Bagi peminat aiskrim, terdapat aiskrim berasaskan ubi keledek anggun. Selain itu, sos keledek anggun, kerepek keledek anggun, bar keledek anggun, jejari keledek anggun dan kandi adalah antara produk lain bagi ubi keledek anggun.

Sumber maklumat :

Rosnani Abd Ghani et al, Teknologi Pengeluaran Ubi keledek Ungu Anggun, MARDI, 2017.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Hextar Fert Sdn. Bhd.
No. 64, Jalan Bayu Laut 4/KS09, Kota Bayuemas, 41200 Klang, Selangor Darul Ehsan, Malaysia.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336

Website: www.hextar.com

Sila kongsi kepada kawan :