Palm King Marketing Sdn Bhd
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd
Website: www.klspalmking.com
Manggis (Garcinia mangostana Lin.) digelar ‘ratu buah tropika’ menyatakan ia adalah buah-buahan digemari oleh semua lapisan masyarakat di dunia. Manggis dipercayai berasal dari Malaysia kemudian tersebar ke negara-negara jiran serta Australia dan Amerika Tengah. Manggis dilaporkan mempunyai satu kultivar sahaja. Ia tergolong dalam famili Guttiferae. Buah yang boleh dimakan dalam famili yang sama ini ialah asam kandis, asam gelugur dan cerapu. Bagaimanapun, manggislah buah yang paling sedap dimakan di dalam famili ini.
Pokok manggis yang ditanam melalui biji benih mengambil masa 8 tahun untuk berbuah. Namun, di bawah kultur yang baik, pokok juga boleh berbuah dalam 5 – 6 tahun. Jika pokok cantuman digunakan, tempoh pembuahan boleh dipendekkan sehingga 3 – 4 tahun. Daripada kajian didapati pertumbuhan pokok cantuman kurang memuaskan kerana sistem akar yang lemah, mudah rosak dan tumbuh dengan lambat. Akarnya terdiri daripada akar tunjang yang panjang, akar sisi yang tidak begitu banyak serta ketiadaan rerambut sepanjang peringkat awal pertumbuhan. Pokok manggis berbuah sekali atau dua dalam setahun iaitu di antara bulan Jun – Ogos dan Disember – Januari iaitu bersamaan dengan musim durian.
Pokok manggis mengeluarkan bunga betina dan jantan pada pokok berlainan. Kebanyakan pokok adalah betina dan jarang-jarang ditemui pokok jantan. Bunga betina manggis sangat unik kerana ia boleh berbuah tanpa persenyawaan. Justeru itu pokok jantan yang mengeluarkan bunga jantan boleh dikatakan tidak memainkan sebarang fungsi.
Pokok manggis berasal dari Malaysia justeru iklim di sini amat sesuai untuk tumbesarannya. Sungguhpun begitu, di kawasan utara Semenanjung Malaysia yang amnya lebih panas dan bermusim kering yang lebih panjang adalah kurang sesuai untuk tanaman ini kerana keadaan cuaca ini mudah mengakibatkan tumbesaran di peringkat awal terencat melainkan sistem pengairan disediakan. Penjagaan rapi perlu diberikan kepada anak pokok di ladang khususnya dalam tempoh tahun pertama penanaman melalui penyediaan naungan agar anak pokok tidak mati.
Bahan tanaman yang digunakan oleh penanam biasanya berasal dari biji benih kerana beberapa kelebihan yang ada, iaitu pokok biji lebih mantap dan tidak memerlukan penjagaan yang rapi berbanding pokok cantuman. Selain itu pokok biji juga mempunyai sudur pokok yang lebih tegap dan banyak cabang justeru boleh mengeluarkan lebih banyak buah. Pokok berasal dari biji walaupun mempunyai tempoh kematangan yang panjang sehingga 8 – 12 tahun, tetapi penjagaan yang rapi termasuk pembajaan yang lebih teratur dapat memendekkan tempoh tersebut kepada 5 – 6 tahun. Biji besar daripada buah dipilih untuk direndamkan ke dalam air untuk membuang testanya. Peratus percambahan juga akan meningkat melebihi 80% melalui teknik ini serta menghasilkan anak pokok yang lebih seragam. Sebulan selepas cambah, anak benih dipindahkan daripada tapak semaian ke dalam polibeg kemudian diletakkan di tempat yang mempunyai naungan 50%. Kawalan perosak serangga perlu diadakan melalui semburan racun seperti Rogor setiap bulan. Baja 15/15/15 sebanyak 30g per pokok juga diberikan. Anak pokok manggis tumbuh dengan lambat, justeru itu lebih elok dialihkan ke ladang apabila berada di tapak semaian selama 2 tahun. Ketika itu ketinggian anak pokok lebih kurang 0.3m.
Jika anak pokok cantuman ingin digunakan, maka pokok penanti berumur 2 tahun boleh disediakan kemudian cantuman baji dijalankan. Tunas untuk dicantumkan dengan pokok penanti hendaklah diambil daripada pokok matang serta mempunyai dua helai daun. Cantuman celapuk pula menggunakan pokok penanti kira-kira 5 bulan kemudian dicantum mengikut kaedah yang sama dalam cantuman baji. Selain itu cantuman sisi dan sandingan juga boleh digunakan untuk menghasilkan anak pokok manggis.
Anak pokok yang sudah dipindah ke ladang kemudian ditanam pada jarak 7m x 7m. Kayu penyokong perlu dipacak dan diikat pada anak pokok. Semua anak pokok ini hendaklah diberikan naugan dalam tahun penanaman pertama bagi mengelekkan daunnya lecur akibat pancaran matahari.
Dalam proses pembesaran, pokok manggis tidak perlu dicantas kerana kadar pertumbuhan yang lambat tetapi perlu singkirkan dahan atau ranting-ranting yang layu dan berpenyakit demi menjaga kesihatan pokok. Anak pokok akan hidup dalam keadaan yang tidak terlalu kering dan juga tidak terlalu lembap. Kedua-dua keadaan ini jika menjadi ekstrim akan merencatkan kadar hidup pokok.
Pembajaan adalah penting untuk pokok manggis. Dalam aspek ini, pokok belum matang antara 1 – 4 tahun penanaman pertama diberikan baja 15/15/15 + Mg dengan kadar antara 600 g 1,200 g se pokok setahun dipecahkan kepada 3 kali dalam setahun. Mulai tahun penanaman ke-5 dan seterusnya, baja 12/12/17 + unsur pekit di antara 3kg – 6kg se pokok setahun dipecahkan kepada 3 kali penaburan adalah perlu untuk melestarikan tumbesaran dan memupuk pengeluaran hasil kelak.
Dari segi perosak dan penyakit, manggis boleh dikatakan kurang menghadapi masalah tersebut melainkan pemakan daun, pelombong daun dan pengorek buah yang sama-sama dapat dikawal dengan semburan racun serrangga. Penyakit pula terdiri daripada Cerana Zignoela yang boleh menyebabkan dahan atau batang pokok manggis bengkak dan bercerana kemudian daun akan luruh dan pokok akan mati. Pokok yang diserangi penyakit ini hendaklah ditumbangkan kemudian disingkirkan daripada ladang. Penyakit Cendawan Angin juga satu masalah kepada pokok manggis kerana apabila pokok dijangkiti, dahan atau batang pokok akan berwarna merah samar dan diselaputi bebenang. Daun di bahagian diserang akan gugur dan pokok akhirnya akan mati. Penyakit ini boleh dikawal melalui membaiki pengudaraan di keliling pokok untuk mengurangkan kelembapan yang menjadi punca utama kepada penyakit ini.
Buah manggis yang rosak akan mengeluarkan sejenis gam berwana kuning. Buah seumpama ini biasanya keras dan berasa pahit. Keadaan ini berlaku apabila dahan atau buah tercedera. Oleh yang demikian, penjagaan buah dan dahan pokok adalah perlu supaya tidak rosak. Buah perlu dipetik secara manual dan tidak dibiarkan jatuh ke atas tanah. Galah pemetik yang mempunyai jaring penyambut di hujungnya biasa digunakan jika pokok adalah tinggi manakala pokok rendah sekadar petik
dengan tangan.
Pengeluaran hasil pokok manggis mengambil masa 5 – 6 bulan bermula daripada putik hingga buah matang. Pokok yang mula-mula matang pada umur 8 – 10 tahun mengeluarkan buah 50 biji se pokok setahun kemudian meningkat saban tahun sehingga 1800 biji sepokok setahun apabila berumur di antara 23 – 25 tahun. Jika satu hektar ditanami 204 pokok, maka jumlah hasil ialah 367,200 biji. Pendapatan kasar justeru itu boleh dihitung berdasarkan harga kebun yang diperolehi. Di kota raya, satu kg manggis dijual runcit dengan harga RM6.00. Pokok manggis dijangka dapat hidup melebihi 50 tahun.
Manggis mempunyai daya maju yang cerah memandangkan ia sejenis buah-buahan tropikal berkhasiat tinggi. Kandungan antioksida yang ada dalam manggis mendahului banyak jenis buah-buahan lain sehingga ia menjadi tumpuan pencarian ramai pengilang untuk mendapatkannya secara kuantiti besar untuk dirumus kepada produk minuman yang memanfaatkan kesihatan manusia. Manggis juga buah-buahan yang digemari oleh ramai penduduk di setiap pelosok dunia termasuk Eropah, Asia Barat, Amerika Syarikat, Taiwan, Belanda dan negara-negara lain.
Setakat tahun 2017, keluasan tanaman manggis di Malaysia dianggarkan pada 3,842 hektar berbanding 4,979 hektar pada tahun 2010. Taburannya hanya tertumpu di 3 kawasan iaitu Pasir Mas di Kelantan (1,666 hektar), Batang Padang di Perak (1,357 hektar) dan Bentong di Pahang (910 hektar) menurut perangkaan tahun 2016. Pada tahun yang sama, nilai keseluruhan manggis yang dikeluarkan di Malaysia mencapai RM73.40 juta iaitu tidak jauh berbeza dengan nilai dagangan cempedak dan langsat dan mendahului mangga dan nangka yang berada di sekitar RM56 juta sahaja.
Sumber maklumat :
1.M.Z. Mohd Khalid dan A. Rukayah (Penyunting), Penanaman Manggis, MARDI, 1993.
2.Malaysia Agribusiness Directory 2018-2019.
Simple Farm Sdn Bhd
E-mail : mrbanana@simple-farm.com