Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (NASH) yang mewakili 150,000 pekebun kecil dan perusahaan kecil, percaya subsidi diesel yang disasarkan tidak akan memberi kesan serta-merta kepada operasi mereka, termasuk dari segi kos.
Presiden NASH Adzmi Hassan berkata langkah kerajaan menyalurkan subsidi diesel kepada sektor tertentu akan membantu mengekalkan kos operasi dan meningkatkan pengeluaran.
Adzmi juga berkata pekebun kecil mengalu-alukan bantuan subsidi sebanyak RM200 sebulan melalui inisiatif pertanian komoditi di bawah program Budi Madani, kerana ia akan membantu mereka mengurangkan kos pengangkutan komoditi seperti sawit dan getah.
Bagaimanapun, beliau menyuarakan harapan agar kerajaan melihat semula syarat-syarat permohonan, salah satunya menurutnya tidak sesuai untuk pekebun kecil sawit atau getah.
Adzmi berkata tidak ramai pekebun kecil yang boleh mendapat jualan minimum RM50,000 hingga RM300,000 setahun.
“Kebanyakan pekebun kecil hanya mengusahakan tanah dengan keluasan antara 3.5ha dan 3.8ha. Untuk mencapai jualan minimum itu, seseorang biasanya memerlukan 6ha.
“Ini mungkin tidak menjadi isu di Sabah dan Sarawak kerana tanah yang ada, tetapi kebun di semenanjung kecil sahaja. Saya harap kerajaan dapat melihat semula perkara ini,” katanya kepada media.
Kementerian kewangan mengumumkan program Budi Madani kelmarin susulan perutusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim minggu lalu mengenai keputusan Kabinet untuk melaksanakan subsidi diesel bersasar di semenanjung.
Bagi menstabilkan kos operasi sektor perladangan, kerajaan juga bersetuju memberikan bantuan tunai bulanan RM200 di bawah inisiatif Budi Agri-Komoditi untuk pemilik kenderaan diesel persendirian, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.
Insentif itu adalah sebahagian daripada langkah mengekang kenaikan kos barangan dan perkhidmatan melalui pemberian subsidi diesel bagi 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi.
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana William Ng berkata beliau tidak menjangkakan subsidi diesel yang disasarkan akan memberi kesan serta-merta kepada kos operasi dan perniagaan sektor itu.
“Sesetengah pembekal dan penghantar barang tidak akan melaraskan kadar logistik mereka serta-merta,” katanya sambil menambah bahawa kos pengangkutan biasanya merangkumi 5% hingga 20% daripada operasi PKS.
Sumber maklumat :
FMT