You are currently viewing Kaedah Meningkatkan Hasil Pisang Mas

Kaedah Meningkatkan Hasil Pisang Mas

Sesetengah penanam suka mengusahakan tanaman yang mereka lebih mahir kerana mendapati amalan ini lebih memberi jaminan. Ini kerana “tabiat” tanaman itu telah dikenali justeru memudahkan pengurusan. Seorang penanam pisang Mas bernama Encik Ng di Ayer Tawar, Perak juga berpendapat demikian walaupun pisang lain seperti Gavendish dan Berangan lebih banyak ditanami orang kerana saiz tandan dan buah yang lebih besar dan berat justeru boleh mendapat hasil yang lebih berat dan mendapat pulangan yang lebih tinggi.

Ketika menjalankan lawatan kerja di kebun beliau, kami dapati tanaman pisang Mas seluas 6 ekar ini sebenarnya diusahakan di atas tanah tanam semula kelapa sawit. Oleh yang demikian, penggunaan tanah kosong di perantaraan anak pokok sawit telah diusahakan oleh tanaman selingan ini.


Selain berusaha tanaman pisang Mas di tempat ini, beliau juga menguruskan tanaman yang sama di beberapa tempat sekitaran dengan keseluruhan keluasn meningkat kepada berpuluh ekar. Yang anehnya ialah kesemua kawasan ini 100% adalah tanaman pisang Mas.

Apabila kami meneliti amalannya, didapati setiap rumpun tanaman pisang Mas ditumbuhi 5 batang pokok yang tidak sama tinggi. Keadaan ini berlainan daripada penanam lain yang biasanya hanya menanam satu satu pokok utama kemudian diiringi dengan satu batang ratun. Dengan kata lain, penanam lain amnya mengekalkan sebatang sulur dan begitu setersnya. Dalam keadaan Encik Ng, serumpun pokok pisang Mas ini biasa menghasilkan 3 tandan pisang yang boleh dikutip pada masa yang hampir sama dengan berat purata 9 kg/tandan. Amalan ini kelihatan merupakan resipi kejayaan beliau dalam penanaman pisang Mas.


Encik Ng menanam 2,400 pokok pisang Mas dalam keluasan 6 ekar ini. Setiap minggu beliau mengutip hasil 2 kali dengan jumlah tandan diperolehi sebanyak 150 tandan dengan berat di lingkungan 8-16kg/tandan. Pengeluaran hasil berganda ini juga tertakluk kepada keadaan tanah dan cuaca stempat di situ yang mana kawasan Ayer Tawar kelihatan sesuai untuk tanaman ini kerana tanah yang subur dengan taburan hujan yang agak mencukupi. Tanah berwarna kuning dan berpasir ini adalah subur serta mempunyai kapasiti pengaliran air yang baik justeru membolehkan pengeluaran hasil berganda diperolehi.

Selain faktor tanah dan cauca, pembajaan juga penting. Encik Ng memahami hakikat ini dan justeru itu beliau menggunakan 3 jenis baja kompaun kimia yang dikeluarkan oleh sebuah syarikat tempatan iaitu bermula dengan penaburan baja rumusan 16/16/16 + TE di peringkat pembesaran tanaman bagi membekal dengan nutrien yang seimbang. Amalan ini penting bagi melestarikan tumbesaran pokok ke peringkat matang.

Pisang Mas akan berbunga seawal 4 bulan selepas tanam kemudian hasil boleh dikutip dua bulan selepas itu. Untuk merangsang pembungaan yang lancar, beliau menggunakan rumusan baja 12/12/18/2 + TE dan rumusan baja 13/8/21/3 + TE di peringkat pembuahan demi menggalakan pengeluaran hasil yang baik. Dalam keluasan 6 ekar ini, kekerapan dan kadar baja yang digunakan ialah membaja 2 kali sebulan, setiap kali menggunakan 1 bag baja untuk keluasan satu ekar iaitu keseluruhan 6 bag baja untuk 6 ekar/kali. Setiap beg mengandungi 50 kg baja. Demi menyokong pembuahan yang tinggi, beliau turut menokok tambah 25 kg/ekar dengan baja kimia tersebut. Amalan ini berjaya menggandakan hasil pisang Mas.

Pisang Mas menunjukkan kesan positif terhadap pembajaan dengan kadar yang cepat. Seperti dilihat, tanaman pisang Mas tumbuh dengan subur serta berdaun hijau menandakan tanaman telah memperolehi nutrien yang mencukupi. Yang penting ialah kawasan tanaman pisangnya mengalami kadar jangkitan penyakit yang amat rendah. Mengikut katanya, dalam keluasan 6 ekar, pokok berpenyakit tidak sampai 10 batang iaitu amat berbebza dengan keadaan sebelumnya yang berpenyakit sekitar 40% di kawasan yang sama.


Dari segi kawalan serangga perosak, beliau dapati ulat penggulung daun lebih kritikal di kebun. Bagaimanapun, beliau mengamalkan langkah menghapuskan serangan ulat di peringkat awal serangan secara manual iaitu menyingkirkannya daripada daun pokok ketika membuat pantauan di kebun. Dengan cara ini, kebun beliau ini bukan sahaja tinggi dari segi pengeluaran hasil, malahan juga wujud sebagai sebuah kebun pisang yang lestari tanpa menggunakan racun serangga perosak kerana kerana baginya, racun hendaklah dikurangkan kerana racun akan memberi kesan negatif terhadap pekerja kebun serta juga tidak mesra alam.

Hantar blog ini kepada :