Hextar Fert Sdn. Bhd.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336
Website: www.hextar.com
Pisang Tanduk walaupun boleh dimakan segar tetapi fungsi utamanya ialah pembuatan kerepek pisang dalam pelbagai perisa mengikut kegemaran pasaran dan pengguna. Pada hakikat, pasaran domestik dan eksport untuk pisang makan segar adalah jauh lebih besar daripada pisang untuk kegunaan industri hiliran tetapi memandangkan permintaan yang makin meningkat terhadap kerepek pisang dan juga kerepek ubi, pisang Tanduk turut mendapat perhatian berat oleh pengusaha tanaman yang amnya juga pengusaha industri proses kerepek pisang ataupun mereka yang terlibat secara tidak langsung dengan industri tersebut iaitu sebagai pembekal kontrak pisang Tanduk.
Di antara semua jenis pisang di pasaran domestik, dilaporkan bahawa pisang Tanduk mendapat harga ladang paling tinggi iaitu di antara RM2.00 – RM2.50/kg. Pada paras harga ini, kos pengeluaran kerepek pisang menjadi tinggi jika dibandingkan dengan kerepek ubi. Ini kerana harga ladang untuk ubi segar hanya di sekitar RM0.60/kg sebelum ini. Justeru itu, satu kilogram kerepek pisang terpaksa dijual pada harga RM12.00 sedangkan satu kilogram kerepek ubi hanya RM5.00. Harga yang jauh lebih kompetitif ini menjadikan kerepek ubi lebih digemari di pasaran.
Walaupun begitu, keadaan ini tidak menimbulkan masalah permintaan terhadap pisang Tanduk, malahan permintaan daripada pengeluar kerepek pisang kelihatan semakin tinggi ekoran pasaran domestik dan Singapura yang kekal tinggi. Permintaan ini selanjutnya merangsang potensi pasaran untuk industri huluan iaitu bidang penanaman jenis pisang ini.
Kelebihan utama tanaman pisang Tanduk ialah daya rintangan yang lebih tinggi terhadap pelbagai penyakit tanaman pisang seperti moko, fusarium, sigatoka dan sebagainya. Selain itu ia juga didapati lebih mudah ditanam dan dijaga. Begitu juga pertumbuhan sulur bagi pokok induk pisang Tanduk jauh lebih rendah berbanding jenis pisang lain sekali gus menurunkan kos operasi ladang dan juga kos pengeluaran.
Dengan adanya daya rintangan penyakit yang lebih tinggi, pengeluaran hasil menjadi lebih terjamin kerana risiko kematian pokok akibat serangan penyakit yang boleh tercetus pada bila-bila masa dapat diminimumkan. Kelebihan ini sering dianggap sebagai pengganti kelemahan pisang Tanduk di aspek berat tandan yang amnya tidak melebihi 15kg iaitu lebih rendah daripada pisang Berangan atau Cavendish yang mampu mencecah 25kg/tandan.
Dengan kata lain, hasil pisang jika dilihat dari segi jumlah berat, maka pisang Tanduk kelihatan tidak dapat menandingi pisang makan segar dalam negara. Keadaan ini disebabkan oleh penghasilan satu sikat atau dua sikat pisang sahaja pada satu tandan pisang Tanduk sehingga jumlah berat berada di lingkungan 5 15kg sahaja walaupun ada kala juga terdapat tandan yang lebih berat daripada itu iaitu 16 – 17kg/tandan. Hasil purata pisang Tanduk kebiasaan pada 7 tan/ekar menurut keadaan agro-iklim semasa.
Hextar Fert Sdn. Bhd.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336
Website: www.hextar.com
Penceburan penanaman pisang Tanduk justeru itu lebih dikaitkan dengan potensi hasil yang lebih terjamin ekoran lebih merintang terhadap serangan penyakit. Aspek ini juga dapat mengurangkan kos semburan racun kulat dalam pencegahan penyakit.
Untuk melestarikan pengeluaran hasil pisang Tanduk, kaedah penanaman juga aspek yang perlu diberatkan. Morfologi pisang Tanduk yang tumbuh menegak serta daun berpelepah panjang mudah mengalami ancaman tiupan angin. Oleh yang demikian, zon tiupan angin kencang tidak sesuai diusahakan dengan tanaman ini. Terdapat pengusaha tanaman yang mengamalkan hala penanaman ke arah timur utara kerana didapati tiupan angin monsun ini bermanfaat terhadap pisang Tanduk berbanding angin monsun barat selatan.
Bagaimanakah tiupan angin dapat dimanfaatkan untuk kelestarian pokok adalah satu teknik yang penting supaya pokok-pokok tidak wujud sebagai penentang terhadap tiupan angin sebaliknya disambutnya melalui jarak dan kepadatan pokok yang bersesuaian untuk aliran angin. di perantaraan pokok-pokok.
Salah satu kaedah yang diambil oleh pengusaha tanaman berpengalaman supaya memanfaatkan tiupan angin ke atas tanaman pisang Tanduk ialah amalan sistem penanaman dua baris berukuran 3 kaki antara pokok dalam baris dan 4 kaki antara baris, kemudian meluangkan 8 kaki lebar di antara setiap dua baris pisang Tanduk yang ditanam. Dengan cara ini sebanyak 1,100 pokok dapat ditanam dalam kawasan satu ekar.
Begitu juga semasa pokok masih kecil, semburan racun serangga untuk mencegah serangan perosak daripada habitat tanah serta semburan racun pencegah ulat makan daun adalah amalan penting dalam melestarikan tumbesaran dan pengeluaran hasil pokok. Amalkan kesihatan pokok dengan cara pencegahan gangguan mikroorganisme tanah terhadap akar pokok serta menjaga kesempurnaan daun bagi memupuk kadar fotosintesis adalah petua yang penting untuk melestarikan pengeluaran hasil.
Pisang Tanduk boleh ditanam dengan sulur pokok ataupun anak benih kultur tisu. Sulur pokok mengambil masa 9 bulan untuk menghasilkan tandan pisang yang boleh dituai manakala bahan tanaman kultur tisu hanya memerlukan 7 bulan sahaja. Namun, kos sulur adalah jauh lebih murah berbanding bahan tanaman kultur tisu tetapi sulur daripada pokok sakit tidak harus digunakan kerana ia akan membawa penyakit.
Kesimpulan, pisang Tanduk boleh diusahakan kerana permintaan yang tinggi di sektor pemprosesan kerepek pisang. Jenis makanan ringan ini digemari oleh semua golongan masyarakat berbilang kaum termasuk juga pengguna daripada negara jiran khususnya Singapura. Daya rintangan yang lebih tinggi terhadap penyakit akan menjamin pengeluaran hasil tidak terjejas oleh serangan penyakit. Tambahan tanaman ini kelihatan lebih mudah dijaga selanjutnya menurunkan kos pengeluaran. Kesemua aspek ini adalah kelebihan yang jarang terdapat pada tanaman pisang lain. Bagi golongan pengusaha yang berminat menceburi bidang prosesan kerepek pisang, pisang Tanduk adalah pilihan sesuai untuk diusahakan.
Kimagri Corporation Sdn Bhd
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com