You are currently viewing Menanam Cendawan

Menanam Cendawan

Pemilihan spesies cendawan untuk ditanam adalah bergantung kepada beberapa faktor seperti kandungan nilai pemakanan yang tinggi, berguna dalam pengurusan sisa dan juga ketersediaan media pertumbuhan.

Cendawan tiram ialah cendawan kategori boleh dimakan yang tersenarai pada tempat ketiga yang paling banyak ditanam di dunia. Cendawan tiram adalah paling mudah untuk tumbuh kerana ia boleh tumbuh pada banyak substrat. Walau bagaimanapun, penanaman cendawan ini juga mempunyai satu kelemahan kerana sesetengah orang alah kepada spora.

 

Dalam kes ini, peralatan atau alat pernafasan pembersihan udara diperlukan untuk berfungsi dengan selamat di tempat penanaman. Disebabkan jangka hayat yang singkat, spesies cendawan tiram ini menawarkan kelebihan istimewa kepada pengusaha cendawan tempatan yang boleh memasarkan produk segar dan berkualiti mereka kepada pengguna secara berterusan. 

Cendawan tiram kelabu atau secara saintifiknya dikenali sebagai pleurotus pulmanious semakin mendapat tempat di Malaysia. Cendawan lain yang dilaporkan sesuai ditanam di Malaysia adalah seperti cendawan kukur atau kulat sisir, cendawan ganoderma, cendawan chiitake, cendawan volvariella dan beberapa jenis lagi.  

Ilmu menanam cendawan ini semakin berkembang atas usaha Jabatan Pertanian dan syarikat-syarikat persendirian juga penglibatan agropreneur yang terus memajukan industri ini sebagai salah satu bidang potensi tanaman baharu di Malaysia. Cendawan tiram mempunyai beberapa kelebihan berbanding dengan cendawan lain (dari jenis yang boleh dimakan) jika ditinjau daripada beberapa aspek. Pertama adalah cendawan tiram ini boleh tumbuh pada pelbagai sisa atau substrat hasil dari buangan hasil pertanian yang sejak sekian lama banyak terdapat di Malaysia. Contohnya, termasuk jenis hampa padi, batang padi, lalang, serabut kelapa, serabut kelapa sawit, habuk papan (lembut), kertas, dan kapas buangan. Pada masa kini di Malaysia, habuk papan menjadi substrat pilihan utama untuk digunakan secara komersial. 

Melalui kerjasama dengan pihak LPNM, projek pembangunan cendawan nanas iaitu penanaman cendawan dengan menggunakan sisa nanas atau dipanggil pinepeat telah dijalankan. Melalui kerjasama ini, kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) telah dilakukan di dalam makmal sebelum kajian lapangan dilaksanakan. Hasil dari kajian didapati bahawa cendawan tiram berjaya dihasilkan dalam kadar yang setara dengan penghasilan menggunakan substrat pertumbuhan komersial iaitu habuk kayu.

Hasil kajian lanjut juga mendapati bahawa kadar protein dan karbohidrat yang tinggi telah diperoleh melalui hasil cendawan nanas. Ini menjadi petunjuk bahawa cendawan nanas yang dihasilkan ini berkualiti.

Dipetik daripada artikel :

Dr. Aizi Nor Mazila Bt. Ramli, Prof Madya Universiti Malaysia Pahang, 2022.

Hantar blog ini kepada :