Sepanjang masa yang lepas, permintaan daging ruminan sebagai sumber protein utama adalah lebih tinggi daripada pembekalan tempatan. Ruminan kecil (kambing dan bebiri) hanya dapat menampung 10.41% kadar sara diri negara iaitu pengeluaran daging 4,572 tan pada tahun 2018 berbanding permintaan sebanyak 43,903 tan pada tahun yang sama. Pembekalan daging ruminan besar (lembu dan kerbau) juga setakat 47,956 tan pada tahun 2016 berbanding permintaan sebanyak 208,154 tan pada tahun yang sama iaitu bersamaan kadar sara diri negara 23.04%. Dalam keadaan ini, kerajaan terpaksa mengimport banyak ternakan ruminan ke dalam negara dan senario ini merupakan satu kerugian wang asing negara.
Usaha sudah dijalankan oleh pihak berkuasa untuk meningkatkan kadar sara diri negara tersebut. Antaranya ialah mengimport baka lembu Bali dari negara jiran Indonesia sebagai lembu pedaging. Baka ini mempunyai daya ketahanan suasana persekitaran yang tinggi dan didapati sesuai untuk diternak di Malaysia. Namun begitu, usaha seumpama ini masih di peringkat pembangunan kerana sehingga hari ini, lembu tempatan iaitu Kedah-Kelantan (KK) dan kacukannya masih merangkumi 85% populasi ternakan lembu di Malaysia.
Baka KK walaupun tahap lasak terhadap persekitaran, parasit dan penyakit serta tahap kesuburan yang baik, tetapi kadar pertumbuhannya adalah rendah. Oleh itu, penternak lebih berminat untuk melakukan kacukan dengan baka eksotik seperti Limousin, Charolais dan Droughtmaster melalui kaedah permanian beradas. Kacukan berulang-ulang membawa risiko kehilangan ciri-ciri adaptasi persekitaran dan penyakit yang ada pada lembu KK.
Sejak tahun 1971, kerja pengimportan lembu untuk tujuan meningkatkan bilangan dan produktiviti lembu pedaging tempatan telah bermula. Antara baka lembu diimport itu termasuk Droughtmaster, lembu Chinese Yellow dan lembu Brahman. Di antara 3 baka ini, hanya lembu Brahman menunjukkan daya maju sehingga hari ini manakala 2 baka lain didapati kurang sesuai atas sebab daya adaptasi persekitaran tempatan atau daya ketahanan penyakit Kaki dan Mulut yang lemah.
Lembu Brahman menunjukkan prestasi yang baik sebagai baka lembu pedaging di seluruh dunia. Baka ini didapati mampu beradaptasi dengan pelbagai keadaan persekitaran menjadikannya sesuai untuk dijadikan baka tulen, baka kacukan dan sebagai asas untuk membangunkan baka komposit. Kajian dari MARDI mendapati kacukan Brahman-KK mempunyai prestasi yang lebih baik berbanding kacukan lain dari aspek pembiakan tetapi kelemahannya ialah prestasi pertumbuhannya tidak sebaik kacukan lain seperti Hereford-KK dan Frissian-KK. Satu baka lembu baru iaitu Brakmas telah dihasilkan melalui kacukan awal pejantan Brahman dan induk betina KK yang berpotensi untuk dimajukan secara komersial di Malaysia terutama untuk diternak secara integrasi di ladang sawit. Lembu Bali adalah antara alternatif lain yang telah dibawa masuk ke Malaysia sejak tahun 2000 khususnya untuk ternakan di bawah tanaman sawit secara integrasi.
Lembu Bali dikatakan baka lembu liar yang paling cantik jika dibandingkan dengan lembu-lembu liar yang lain. Bahagian kakinya berwarna putih bagaikan memakai stokin yang panjang. Baka lembu ini sangat sesuai dengan persekitaran Malaysia kerana mempunyai daya ketahanan terhadap persekitaran tropika. Ia juga mempunyai kadar kesuburan yang tinggi, tahan terhadap parasit dan mampu untuk mengekalkan skor badan optimum walaupun setelah digunakan untuk kerja berat. Lembu Bali juga mampu hidup dengan makanan berkualiti rendah dan kesediaan makanan yang minimum. Lembu ini dijadikan pilihan yang digemari oleh penternak di Indonesia kerana kadar produktiviti yang tinggi, cepat matang dan digunakan untuk kerja-kerja membajak di sawah. Deging lembu Bali juga berkualiti tinggi dan mempunyai marbling score yang tinggi.
Berat badan lembu Bali ketika lahir, sapih, umur setahun dan berat matang masing-masing ialah 16.8kg, 82.9kg, 127.5kg dan 303.3kg. Ia juga mempunyai kadar kelahiran yang tinggi serta kadar kematian yang rendah masing-masing pada 83% dan 7%. Justeru itu, lembu Bali kelihatan berpotensi sebagai lembu pedaging untuk diternak di Malaysia.
Sumber maklumat :
Mohd. Hafiz Abd Wahab et al., “Lembu Bali Sebagai Baka Lembu Pedaging Alternatif Di Malaysia”, Buletin Teknologi MARDI Bil. 18 (2020): 11-18, MARDI.