Kebun sawit dengan keluasan kurang daripada 100 ekar tidak perlu bersusah payah untuk menangani rumpai dengan racun kimia. Ia boleh dilakukan secara manual di samping memberi manfaat lebih besar. Ini kerana pemotongan rumput dijalankan oleh pekerja mengikut zon. Setiap zon akan dipotong rumput sekali lagi dalam tempoh masa 2 bulan. Dengan kata lain, seseorang pekerja yang dikhususkan memotong rumput di kebun sememangnya mempunyai masa yang cukup untuk mengendalikan kerja ini dengan sempurna.
Inilah satu pandangan diperolehi ketika melawati sebuah kebun sawit seluas 80 ekar di Bahau, Negeri Sembilan. Rumput dikawal secara manual tanpa penggunaan racun kimia. Lama-kelamaan, tanah telah membentuk satu lapisan bahan organik yang lembut seperti kusion. Lapisan ini akan berfungsi memelihara kelembapan tanah dan selanjutnya melestarikan tanaman sawit yang ditanami di situ.
Tanaman sawit baka FELDA Yangambi ML 161 dibeli daripada pengeluar semenjak penanaman dimulakan. Pokok yang ditanami mula berbuah apabila berumur 21 bulan selepas tanam. Sehingga kini pokok sudah berumur 37 bulan sedangkan pungutan hasil telah dilakukan sebanyak 16 kali. Di kebun ini juga, pokok sawit ditanam dengan jarak yang agak renggang. Pokok kelihatan tidak akan bersentuhan sesama sendiri walaupun sudah matang nanti. Inilah gambaran terpampang untuk menyatakan betapa luasnya jarak tanaman tersebut.
Seperti dilihat, 90% pokok sawit sudah berhasil 2-3 pusaran. Pungutan hasil dijangka akan berterusan tanpa berhenti. Jarak tanaman yang renggang ini menyebabkan pokok tidak besaing untuk mendapatkan pancaran cahaya matahari. Oleh yang demikian, ketinggian pokok juga lebih lambat daripada pokok sawit biasa. Perkara ini membawa berita baik selanjutnya, iaitu pokok di sini berkemungkinan besar dapat melanjutkan hayat ekonomi kepada 40 tahun. Dengan erti kata lain, pokok di sini kelihatan hanya akan ditanam semula apabila berumur 40 tahun iaitu 15 tahun lebih lambat berbanding hayat ekonomi pokok sawit biasa.
Salah satu kelebihan merumput secara manual ialah mencipta suasana sekitaran yang seimbang kerana pemotongan rumput bukan bermaksud membunuhnya sama sekali tetapi mengawalnya dari semasa ke semasa. Lama-kelamaan, rumput itu seolah bertumbuh dalam keadaan yang lebih teratur akibat diurus mengikut kekerapan yang ditetapkan. Kebun yang masih ditutupi oleh rumput pendek ini akan menarik kedatangan serangga bermanfaat serta kedatangan burung. Keadaan ini akan membentuk habitat persekitaran yang bukan sahaja seimbang malahan dapat menyamankan suhu udara di kebun. Kelihatan pokok sawit di sini tumbuh dengan cergas dan menghijau sepenuhnya.
Kebun ini mengamalkan pemotongan rumput secara manual apabila tanah di sini didapati tidak sesuai untuk penanaman sawit akibat kemerosotan kualiti tanah yang serius. Kebun ini kepunyaan sebuah syarikat perladangan terkenal di Malaysia sebelum ini. Semasa kebun ini dijual kepada orang tempatan, di dapati tanah di kebun sudah kehilangan kesuburan sepenuhnya dan menampil menampil warna tanah keputihan. Melalui amalan pemotongan rumput, kesuburan tanah mula ditingkatkan tahap demi tahap.
Pada masa ini, semburan mikrob ke atas tanah turut dijalankan satu kali pada setiap bulan. Apabila biojisim di sini sudah kelihatan mereput, semburan mikrob ditukar kepada 2 bulan sekali. Dengan cara ini, tahap kesuburan tanah sudah diperbaiki dan selanjutnya memanfaatkan tanaman sawit di sini. Walaupun begitu, baja sebatian tetap ditaburkan untuk memenuhi keperluan tanaman sawit. Setiap 6 bulan, setiap pokok akan ditaburi 2kg baja 15/15/15 serta 4 kg baja organik dalam setahun. Berbanding dengan keadaan normal yang memerlukan 10 -12 kg baja sebatian setahun, kebun ini kelihatan amat menjimat penggunaan baja ekoran banyak nutrien dari rumput telah dikitar semula melalui pemotongan secara manual.
Kimagri Corporation Sdn Bhd
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com