PPP Agricare Sdn Bhd
Tel : +6 012 237 6790 & +6 012 720 3301
E-mail :pppagricare@gmail.com
Website: www.pppagrotech.com
Negara kita kaya dengan pelbagai spesis tumbuhan dan kaedah pembiakan merupakan satu cabang botanik yang penting untuk mengekalkan kesinambungannya. Terutama tanaman landskap yang amnya dibiak dengan menggunakan biji benih, namun bagi sesetengah spesis bekalan biji benih sukar diperoleh, bermusim dan hanya terdapat di kawasan habitat asal.
Keratan batang merupakan kaedah pembiakan tampang yang paling popular digunakan. Namun begitu, keupayaan keratan mengeluarkan akar adalah berbeza antara spesis. Keperluan yang paling penting ialah bekalan kelembapan kepada keratan melalui medium dan kelembapan udara di sekitar keratan. Kaedah ini biasanya memerlukan kos
pembinaan yang tinggi dan hanya dapat dilakukan oleh pengusaha besar. Sistem pembiakan kapilari tertutup diperkenalkan sebagai pilihan kerana ia murah dan mudah.
Kaedah Sistem Kapilari
Sistem pembiakan kapilari tertutup menggunakan konsep kapilari. Air dari bahagian bawah takungan naik ke bahagian medium tempat keratan ditanam dengan tindakan kapilari. Apabila air sampai di permukaan medium, ia terpeluwap dan wap air terkumpul di ruang antara medium dengan penutup. Kandungan air di dalam medium sentiasa tetap, manakala kelembapan udara di sekitar keratan sentiasa tinggi dan berubah secara minimum. Ini amat sesuai untuk mengekalkan kesegaran keratan.
Saiz Sistem Yang Fleksibel
Pada asasnya, sistem pembiakan kapilari tertutup terdiri daripada sebuah takungan yang boleh dibuat menggunakan kotak stiroform. Bahagian paling bawah setebal 10 – 15 cm tinggi ialah takungan air. Bahagian ini dipenuhi dengan ketulan bahan yang kasar seperti batu kelikir atau ‘LECA’. Bahagian atasnya pula terdiri daripada medium penanaman berbentuk pasir, perlite,peat-moss atau campurannya setebal 10 – 12cm. Bagi memasukkan air ke dalam takungan, maka satu tiub perlu dipasang di bahagian tepinya. Di samping itu, tiub-tiub lain bagi menyalur keluar air berlebihan juga harus dipasang dan tiub-tiub ini juga bertindak sebagai penyelaras aras air takungan. Struktur sistem ini perlu ditutup dengan kepingan plastik atau kaca.

PPP Agricare Sdn Bhd
Tel : +6 012 237 6790 & +6 012 720 3301
E-mail :pppagricare@gmail.com
Website: www.pppagrotech.com
Sistem ini boleh dijalankan sama ada dengan skala kecil atau besar. Bagi skala yang kecil, kotak stirofom boleh digunakan. Saiznya yang kecil dan mudah alih membolehkannya dijalankan di tempat yang kecil seperti laman rumah atau di premis pejabat. Bagi skala sederhana, gentian kaca atau batu-batu yang dilapik dengan plastik boleh digunakan, manakala pada skala besar pula, konkrit batu- bata boleh dibina.
Â
Mengekalkan Kesegaran Keratan
Kelebihan pertama menggunakan sistem pembiakan kapilari tertutup ialah peningkatan kecekapan pengeluaran. Sistem ini memberikan persekitaran yang sesuai untuk keratan hidup dan berakar. Sistem ini membolehkan penggunaan keratan konvensional dengan peratusan yang agak tinggi (45% – 60%). Sistem ini juga membolehkan pembiakan dengan keratan mikro dilakukan. Keratan mikro sangat lembut, mudah layu, dan mudah dirosakkan oleh musuh. Namun begitu, ia boleh berakar dengan sangat cepat, iaitu 10 – 14 hari, serta peratus kejayaannya sangat tinggi. Penggunaan keratan mikro yang bersaiz kecil membolehkan keratan ditanam dengan kepadatan yang tinggi sehingga 400 keratan / m2. Oleh sebab itu, pengeluaran adalah sangat tinggi dan sesuai untuk pembiakan berskala besar.
Kelebihan kedua ialah pengurangan kos pengeluaran. Pembinaan sistem pembiakan ini mudah serta menggunakan bahan yang murah seperti stiroform. Bahan buangan juga boleh digunakan. Sistem ini tidak memerlukan kuasa elektrik walaupun dijalankan pada skala yang besar. Kos penyelenggaraan juga murah dan tidak memerlukan penyiraman. Aras air yang ada di dalamnya boleh bertahan selama 1 – 3 minggu dan keratan di situ hanya perlu diperiksa pada setiap 3 – 4 hari. Memandangkan penggunaan sistem ini membolehkan keratan berakar dengan cepat (keratan mikro) serta ditanam dengan rapat, maka kos pengeluaran bagi setiap keratan adalah sangat rendah.
Faedah-faedah sistem pembiakan ini yang lain ialah sistem ini boleh digunakan untuk semaian daripada biji benih. Selain itu, sistem ini mudah untuk dibawa ke mana-mana, jadi, ia sesuai untuk dibawa semasa kutipan spesis dijalankan di hutan. Pembiakan dengan sistem ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja seperti di rumah atau pejabat tanpa memerlukan tempat khas seperti tapak semaian. Ia juga boleh dijalankan oleh sesiapa sama ada sebagai hobi atau sebagai perusahaan memandangkan sistem ini sangat murah dan mudah.
Tuntasnya, sistem ini berupaya memberikan persekitaran yang sangat sesuai untuk keratan, serta peratusan keratan hidup dan berakar yang tinggi. Sistem ini juga mudah serta tidak memerlukan kos binaan dan operasi yang tinggi. Sistem ini amat berkesan sama ada untuk pembiakan bahan awal atau untuk pembiakan secara besar-besaran. Sistem pembiakan kapilari tertutup berpotensi menjadi pilihan sedia ada yang baik.
Sumber Maklumat :
Ab. Kahar Sandrang, Hanim Ahmad dan Zulhazmi Sayuti, “Sistem Pembiakan Kapilari Tertutup Untuk Keratan Batang”, Buletin Teknologi Tanaman, Bil. 6 (2009), MARDI.
Kimagri Corporation Sdn Bhd
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com