You are currently viewing Durian Lipan : Pembuka Selera

Durian Lipan : Pembuka Selera

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


All Cosmos Industries Sdn. Bhd.
PLO 650, Jalan Keluli 7, Pasir Gudang Industrial Estate, 81700 Pasir Gudang, Johor, Malaysia.
Tel : +607-2523788
Fax : +607-2512588
E-mail : sales_marketing@allcosmos.com

Website: www.allcosmos.com

Penamaan baka durian ada kalanya berdasarkan ciri-ciri tertentu baka tersebut supaya mudah dikenali orang ramai. Lebih 200 jenis durian telah didaftarkan setakat ini di Jabatan Pertanian dan masih banyak jenis belum didaftarkan. Umpamanya durian Lipan yang berasal dari Pulau Pinang adalah satu contoh yang baik dalam penamaan.

Lipan adalah satu makhluk berbisa. Kombinasi makhluk ini dengan durian sekali gus
“menghilangkan bisanya” dan menjadi sesuatu yang cukup sedap untuk dimakan segar. Durian Hor Lor dan Udang Merah juga dua jenis durian yang mana penamaannya berasal dari bentuk “labu” dan “udang” memandangkan isi buah yang menyerupainya. Bagi durian Duri Hitam, hujung buahnya tumbuh satu benang hitam dan menjadi namanya. Dilihat dari perspektif ini, penamaan durian Lipan boleh difahami mengikut logik serupa.

Durian Lipan juga dikenali sebagai “Ya Kang” iaitu loghat bahasa Cina yang bermaksud lipan. Kebiasaan apabila orang menyebut mengenai durian Lipan, ia merujuk kepada durian Lipan Putih walaupun juga ada durian Lipan Merah tetapi kurang dikenali orang ramai. Perkara ini mungkin disebabkan oleh kualiti yang kurang setimpal. Durian Lipan Putih berisi kuning cetek manakala durian Lipan Merah berisi lebih pekat.

Namun, buah durian Lipan kelihatan tidak mempunyai bentuk seperti lipan, sebaliknya penamaannya lebih berkaitan dengan adanya lipan yang banyak di bawah pokok induk baka durian ini. Lama-kelamaan, ia menjadi kata mulut orang ramai. Satu pendapat lain berkaitan penamaannya ini ialah duri buahnya yang membengkuk semacam lipan.

Baka durian ini sudah bersejarah lama di Pulau Pinang. Pokok induknya dikatakan tumbuh di kawasan Sungai Ara berdekatan kuil ular di Pulau Pinang. Pokok induk itu sudah mati tetapi progeninya terus kekal dan mewarisi baka tersebut sehingga hari ini.

Dari segi kualiti buah, baka ini biarpun memiliki keunikan tertentu, namun oleh sebab kualitinya kurang konsisten seperti biji benihnya ada yang besar dan kecil malahan warna isi buah dalam buah sama kadang-kadang berlainan menjadikan petani tidak berani menanamnya dengan skala besar. Sungguhpun begitu, sesetengah peminat menganggap baka ini antara 3 jenis durian paling digemari oleh mereka memberi implikasi bahawa ada suatu keunikan yang tersirat di dalam baka durian ini. Keunikan ini ialah “pembuka selera”. Cita rasa buah ini sememangnya dapat membuka selera orang ramai.

Lindsay Gasik iaitu seorang warga USA yang banyak menikmati buah durian di rantau Asia Tenggara serta juga penulis terkenal di bidang ini berkata: Durian Lipan ini mempunyai duri bengkang-bengkuk yang banyak, buah berbentuk bujur, duri berwarna coklat dan hujung duri berwarna hitam dan panjang. Hujung buah juga banyak duri. Isi buah berwarna kuning cetek dan nipis, kadang kala mendedahkan biji benihnya. Setiap pangsa buah mengandungi sekurang-kurangnya 4 ulas isi. Pada hakikat, isi buah yang dapat dimakan tidaklah banyak serta berperisa sedikit alkohol dan sedikit pahit. Keistimewaan durian Lipan ini tersirat di dalam bahagian isinya. Isinya sangat halus, manis, melekit serta berperisa sedikit kebas menjadikan ia sangat sesuai sebagai pembuka selera. Durian ini memberi kesedapan yang tinggi apabila isinya dimasukkan ke dalam mulut dan dinikmati secara perlahan-lahan.

Durian Lipan bermusim lebih awal daripada baka-baka lain. la sering dijual bersama baka durian 604 di warung. Musim kutipan hasil durian Lipan berlangsung dengan cepat, amnya dalam masa 10-14 hari, buahnya sudah hampir gugur. Peminat baka durian ini sudah mengetahui kualiti yang lebih tinggi kebiasaan akan diperolehi di awal musim atau pertengahan musim baka durian ini. Di hujung musim, kualiti buah sedikit sebanyak sudah menurun. Di luar kawasan Pulau Pinang, peminat durian jarang-jarang berpeluang menikmati baka ini kerana permintaan tempatan juga tinggi. Bekalannya senang sahaja habis dijual di pasaran tempatan.

 

Bahan rujukan :

1. Lindsay Gasik, The Durian Tourist’s Guide to Penang, 2018.
2. durianed.com

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
No.5, Jalan TP2, Taman Perindustrian Sime UEP, 47600 Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350

Website: www.behnmeyer.com

Sila kongsi kepada kawan :