All Cosmos Industries Sdn. Bhd.
Tel : +607-2523788
Fax : +607-2512588
E-mail : sales_marketing@allcosmos.com
Website: www.allcosmos.com
Tanaman buah-buahan amat digemari oleh serangga perosak kerana kaya dengan sumber makanan. Mereka bukan sahaja merosakkan buah, malahan bunga, pucuk dan batang pokok sama-sama menjadi sasaran serangan. Begitu juga dengan tanaman nangka khususnya di peringkat pembuahan, jika tidak berhati-hati, pekebun akan mengalami kerugian besar.
Lalat Buah
Antara serangga perosak paling lumrah dijumpai di kebun nangka ialah lalat buah. Lalat buah hanya menyerang buah hampir masak. Justeru itu 4 – 5 minggu sebelum buah masak, membalut buah dengan kertas atau beg plastik dapat mengelak daripada serangan. Semburan racun serangga juga membawa kesan positif. Umpamanya semburan dengan malathion (contoh Hextar Malathion 840, 8ml/4.5 liter air), fenitrothion (contoh Sumithion 50 EC, 15ml/10 liter air) atau deltamethrin (contoh Deton, 5ml/4.5 liter air) disembur secara bergilir-gilir dengan berselang 7 – 14 hari akan memberi kawalan positif.
Pengorek Buah
Selain lalat buah, sejenis pengorek buah (Margoronia caesalis Wlk.) juga penceroboh buah nangka. Serangan sekiranya berlaku, isi buah akan rosak dan hilang langsung nilai pasaran. Berbeza dengan lalat buah, pengorek buah ini mampu mengorek masuk ke dalam buah berumur 4 minggu sehingga buah matang. Buah yang diserangi sekalipun tidak gugur awal, nilai kosmetiknya juga menurun secara ketara. Perosak ini malah juga menyerang pucuk pokok. Kebiasaan, pembentukan buah secara rapat mirip menarik kehadiran serangga perosak ini. Bagi mengawalnya, racun serangga boleh digunakan, umpamanya dimethoate (contoh Dimet 40 EC, 7-15ml/10 liter air), acephate (contoh Impact 75, 5g/4.5 liter air), deltamethrin (contoh Deton, 20ml/10 liter air) dan cypermethirn (contoh Garrison 5.5 EC, 12-18ml/9 liter air) disembur bergilir-gilir serta berselang 7 – 14 hari dapat mengawal serangan.
Pengorek Batang Pokok
Jika terkesan sebahagian daun pokok mulai layu, maka kemungkinan besar pengorek batang pokok sudah menyeranginya. Pengorek batang ini mula-mula menyerang dahan kecil kemudian menusuk ke dahan lebih besar sehingga ke batang pokok. Di luar lubang kemasukan perosak ini sering kelihatan sisa bahan buangan berwarna coklat. Jika bahan buangan tersebut masih basah, maka ia menunjukkan serangga itu masih ada di dalam, begitulah sebaliknya. Menyuntik racun seperti dimethoate ke dalam lubang kemasukan perosak ini kemudian menutupnya dengan tanah atau bahan penyumbat lain. Pemeriksaan 3 – 4 minggu kemudian jika masih ada sisa bahan buangan basah di luar lubang itu maka ulang langkah tersebut sekali lagi sehingga serangga itu mati. Bahagian pokok yang diserang hendaklah dipotong dan dibakar.
Anai-Anai
Anai-anai akan menyerang sistem akar pokok. Serangan serius serta tidak dirawati akan mematikan pokok. Simptom serangan boleh dipastikan jika guguran daun pokok banyak berlaku sehingga pokok tertinggal ranting-ranting kosong. Ini kerana nutrien dan air tidak dapat disalurkan kerana sistem akar sudah dirosakkan oleh anai-anai. Menyiram racun serangga seperti chlorpyrifos, contoh Dursban 75, 5ml/4.5 liter air, Lorsban 40 EC, 18 – 35ml/18 liter air) ke bahagian akar pokok dapat membunuh anai-anai tersebut. Sebagai langkah tambahan, tanah di sekeliling akar pokok hendaklah didedahkan terhadap cahaya matahari pancaran supaya mengurangkan populasi anai-anai termasuk menarik kedatangan pemangsanya.
Penyakit Mati Rosot (Branch Dieback/Bacteria Blight)
Penyakit ini disebabkan oleh serangan bakteria Erwinia caratovora. Bahagian diserang boleh berlaku di dahan di dahan dan ranting. Selepas serangan, bahagian tersebut akan menguning. Jika batang pokok diserang, maka keseluruhan pokok akan menukar ke warna kuning kemudian layu dan mati. Kulit pokok yang diserang dan tangkai buah akan merembes cecair berwarna putih kekuningan kemudian bahagian itu melembik dan mengeluarkan bau busuk. Sehingga kini, penyakit ini masih tidak dapat dirawat. Langkah boleh diambil bagi mengekang penyakit ini ialah menjaga kebersihan kebun, bahagian jangkitan hendaklah dipotong dan dibakar. Penyakit ini mampu disebar melalui pergerakan air.
Bahan rujukan :
Ithnin Badri et al, Serangga Perosak Buah-buahan Tropika Malaysia, MARDI, 2008.
Simple Farm Sdn Bhd
E-mail : mrbanana@simple-farm.com