Di Pulau Sulawesi Indonesia, tanaman durian memberi sumbangan besar kepada penduduk tempatan sebagai sumber pendapatan untuk menyara hidup. Namun pengeluaran durian di situ tidak stabil menyebabkan pihak berkuasa tempatan terpaksa membuat kajian untuk mencari punca masalah tersebut.
Perkara pertama yang ingin dikaji ialah untuk mengetahui gejala hasil durian yang tidak stabil. Para penyelidik justeru itu memasang beberapa kamera di atas pokok untuk melihat gerak-geri agen pendebunga. Didapati bahawa ada 3 jenis kelawar mengunjungi bunga durian untuk mendapatkan nektar. Selain itu juga kelihatan lebah dan burung yang turut mengunjung.
3 jenis kelawar yang mengunjungi bunga durian ialah Acerodon celebensis, Eonycteris spelaea atau juga dikenali kelawar gua dan akhirnya Pteropus alecto iaitu sejenis keluang. Keluang adalah spesies kelawar yang berbadan besar sekali. Habitat kelawar sepanjang masa ini menghadapi pemburuan penduduk tempatan menyebabkan populasinya terjejas. Oleh yang demikian, langkah untuk melestarikan pengeluaran buah durian ialah melalui langkah pemuliharaan habitat kelawar.
Di Malaysia, selain kelawar, keluang dianggap sebagai agen pendebunga paling berkesan terhadap tanaman ini. Keluang akan hinggap pada bunga durian yang berada di aras yang lebih tinggi. Sepanjang masa ini, keluang dianggap sebagai perosak burung yang menjahanamkan bunga durian. Lantaran itu pemburuan turut dilakukan. Pada hakikat, keluang bukan perosak, tetapi sebaliknya adalah agen pendebunga yang meningkatkan kadar pendebungaan dan pengeluaran hasil buah. Keluang menggunakan lidahnya untuk mendapatkan nektar dan perbuatan ini tidak merosakkan bunga. Debunga selanjutnya akan melekat pada bulunya kemudian apabila ia mengunjung jambak bunga lain, proses pendebungaan akan berlaku. Kajian yang dijalankan telah membuktikan perkara ini.
Seorang penanam durian di Pahang berkata, dia mengalu-alukan kedatangan kelawar dan keluang ke kebunnya kerana beliau ketahui akan kelebihan burung ini sebagai agen pendebunga. Namun dikesalinya ialah ramai penanam masih kurang memahami hakikat ini. Sungguhpun demikian, jika kebun ada ditanami longan maka burung ini akan menjadi perosak kerana longan akan habis dimakan. Oleh itu, tanaman longan tidak sesuai ditanam bersama dengan tanaman durian.
Kekurangan kelawar dan keluang akan menurunkan hasil durian. Pengeluaran durian amnya dipengaruhi oleh aspek cuaca, kini ditambah dengan populasi kelawar dan keluang yang semakin berkurangan, keadaan ini akan memberi kesan negatif terhadap hasil buah-buahan ini. Menurut Dr. Sheema Abdul Aziz iaitu seorang pakar di Malaysia yang mahir dalam mengkaji habitat keluang berkata, keluang spesies Pteropus vampyrus dan Pteropus hypomelanus sudah berada dalam senarai spesies yang bakal pupus ekoran penebasan hutan belantara dan tindakan memburu oleh penduduk tempatan. Oleh yang demikian, langkah-langkah untuk memulihara spesies burung ini adalah perlu agar tidak terpupus di masa hadapan. Kelawar dan keluang diburu kerana ia dianggap sebagai ubat tradisional yang memanfaatkan sistem pernafasan manusia.
Di Thailand, ada kawasan tertentu yang kurang dikunjungi kelawar dan keluang, maka itu penanam di kawasan tersebut terpaksa menjalankan pendebungaan pokok durian secara manual. Amalan ini sebenarnya merbahaya kepada penanam kerana terpaksa memanjat pokok durian untuk menyempurnakan proses pendebungaan.
Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350