You are currently viewing Pengurusan Pembungaan Dan Pembuahan Pokok Durian

Pengurusan Pembungaan Dan Pembuahan Pokok Durian

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
No.5, Jalan TP2, Taman Perindustrian Sime UEP, 47600 Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan, Malaysia
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350

Website: www.behnmeyer.com

Semasa musim pembungaan pokok durian, didapati setiap jambak bunga kadangkala mengandungi sehingga 30 kuntum bunga. Jika amalan penyingkiran ingin dilakukan ketika ini, maka setiap jambak mengekal sahaja 2 – 3 kuntum, selainnya dibuang. Amalan ini dipercayai akan membentuk buah lebih seragam dan besar. Penjarangan bunga dijalankan semasa saiz bunga adalah sepanjang 3 – 5 cm. Kebiasaan, penjarangan bunga dibuat semasa bunganya sedang mekar bagi mendapat kadar pembuahan yang lebih baik. Menurut sumber, dengan mengekalkan 10% bunga di atas pokok, jumlah hasil buah yang boleh diperolehi di peringkat matang mencapai aras yang lebih tinggi daripada pengekalan kesemua bunga.

Namun, penjarangan bunga kadang-kadang susah sedikit untuk dijalankan. Sebaliknya penjarangan putik buah lebih mudah dilakukan kerana amalan ini boleh dilakukan berdasarkan lokasi, saiz malah jumlah putik buah di atas pokok. Amnya putik buah yang cacat, tidak membesar seperti putik buah lain boleh dibuang kerana nilai pasaran buah cacat adalah lebih rendah berbanding buah normal. Tambahan, melalui pengekalan putik buah yang normal, dijangka akhirnya akan mendapat buah matang yang bersaiz lebih seragam dan besar.

Penjarangan putik buah boleh dilakukan mengikut lokasi putik tersebut yang tumbuh di atas dahan. Dahan mendatar amnya lebih banyak berhasil berbanding dahan menegak. Bagi dahan kecil, buah dikekalkan berdekatan batang pokok adalah lebih sesuai bagi mengelak dahan patah akibat buah yang banyak dan berat. Bagi dahan sederhana besar atau yang besar, mengekal buah di tengah dahan dapat menyeimbangkan berat buah di samping juga memudahkan urusan buah seperti mengikatnya dengan tali dan sebagainya.

Penjarangan buah boleh dimulakan semasa putik buah berumur 30 hari dikira dari peringkat bunga mekar. Di peringkat ini, putik buah cacat dibuang sehingga kekal 1.2 – 1.5 kali ganda putik buah yang dijangkakan akan membesar ke peringkat matang. Penjarangan putik buah kali kedua pula dilakukan semasa putik tersebut berumur 45 hari dikira dari peringkat bunga mekar. Kali ini membuang putik buah yang masih cacat, kecil dan tidak normal termasuk juga putik buah yang tumbuh di hujung ranting. Penjarangan kali ketiga dibuat apabila umur putik buah mencapai 60 hari selepas bunga mekar. Kesemua 3 kali penjarangan putik buah ini dijangka akan membentuk buah bersaiz lebih seragam dan normal di peringkat matang.

Penjarangan putik buah juga perlu mengambil kira saiz dahan yang membentuk buah tersebut serta jumlah daun yang ada di situ. Kebiasaannya, satu biji buah seberat 2kg memerlukan sejumlah 150 – 200 helai daun untuk membesar dengan baik. Daun-daun ini akan menjana karbohidrat (makanan) untuk pembesaran buah.

Sehubungan itu, jika penjarangan buah tidak dijalankan, buah terbentuk akan berlainan saiz, umpamanya 20% buah besar, 40% buah sederhana besar dan 40% buah bersaiz kecil. Purata berat buah hanya di sekitar 1.5kg berbanding buah bersaiz 2.7kg jika penjarangan buah dilakukan dengan betul. Apa yang ingin dinyatakan di sini ialah penjarangan buah akan membentuk saiz buah yang umumnya lebih besar dan seragam.

Selepas kutipan hasil, pokok hendaklah dibekal baja dengan kadar segera bagi memulihkan kecergasan pokok. Di peringkat ini, setiap pokok dibekal 2 – 5kg baja sebatian 16/16/16. Pembajaan kali kedua dibuat selepas daun dan pucuk baru menjadi matang iaitu selepas daun menukar ke warna hijau tua. Pembajaan dijalankan dengan baja sebatian 12/24/12 atau 8/24/24 pada kadar 2 – 5kg/pokok demi memupuk pembungaan. Pembajaan kali ketiga dibuat apabila putik buah mencapai saiz bagaikan buah pinang dengan baja sebatian 12/12/17/2 pada kadar 1 – 3kg/pokok supaya memupuk pengekalan putik buah sehingga ke peringkat matang. Selain itu, baja foliar berasaskan nitrogen boleh juga disembur sebagai suplimen penggalakan kecergasan pokok.

Pokok akan menjadi lemah jika pembajaan tidak dijalankan, umpamanya pertumbuhan pokok terencat, pokok lewat matang, bunga lambat datang, penghasilan buah yang lambat serta guguran putik buah yang lebih banyak. Pembajaan dilakukan mengikut keadaan setempat. Misalnya di Filipina, baka durian tempatannya ditaburi baja 14/14/14 pada kadar 5kg/pokok kemudian ditambah dengan semburan baja foliar 20/5/30 berjaya menghasilkan buah yang banyak (158 buah/pokok).

Aplikasi baja organik berasaskan tinja binatang ke atas anak benih durian berumur 5 – 7 bulan juga memupuk pengeluaran daun yang lebih banyak serta besar. Hasil satu eksperimen menunjukkan bahwa pokok durian berumur 10 tahun yang dibekal baja 15/15/15 (2kg/pokok) ditambah dengan tinja ayam (15kg/pokok) menghasilkan pucuk dan daun yang banyak. Malahan pucuk dan daun ini lebih cepat matang berbanding kaedah aplikasi dengan baja NPK sahaja. Keadaan di sini menunjukkan aplikasi kombinasi kedua-dua jenis baja ini hendaklah dijalankan dari semasa ke semasa bagi melestarikan tumbesaran pokok. Persatuan Malaysian Tropical Fruits Network mencadangkan supaya setiap pokok durian belum matang dibekal 15 – 30kg baja tinja ayam atau lembu setahun bagi memupuk pertumbuhan vegetatif yang canggih. Bagaimanapun, tinja ayam atau lembu hendaklah difermentasikan dahulu sebelum aplikasi sebagai langkah keselamatan terhadap pokok.

 

Sumber maklumat :

Saichol Ketsa et al., The Durian : Botany, Horticulture and Utilization, Horticultural Review, Penyunting Ian Warrington, John Wiley & Sons, Inc, 2020.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Union Harvest (M) Sdn Bhd
4th Floor, Block A, Menara PKNS - PJ, 17, Jalan Yong Shook Lin, 46050 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan,.Malaysia.
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com

Website : www.unionharvest.com

Sila kongsi kepada kawan :