All Cosmos Industries Sdn. Bhd.
Tel : +607-2523788
Fax : +607-2512588
E-mail : sales_marketing@allcosmos.com
Website: www.allcosmos.com
Kebelakangan ini, satu trend baru hangat dihebahkan oleh pelbagai media dalam negara mengenai penuaian buah durian yang mencapai kematangan 80% dan ke atas dari pokok. Trend ini wujud tiba-tiba tanpa gejala awal, dalam masa seminggu sahaja, beberapa kebun durian telah habis dituai.
Kami berpeluang melihat dengan mata sendiri penuaian buah durian di kebun-kebun durian di kawasan Titi, Negeri Sembilan. Jemputan dari Frankie Tong selaku pemilik Tong Seng Nursery di Karak, Pahang kelmarin memberi peluang untuk kami meneliti operasi itu. Amalan penuaian ini adalah cara konvensional Thailand mengutip buah durian mereka, tetapi di Malaysia, keadaan ini tidak pernah dijangka akan berlaku. Kini perkara ini turut berlaku di Malaysia. Apakah implikasinya?
Menurut Jay yang kononnya orang pertama memperkenalkan teknik ini di Malaysia memberi tahu INFO PERTANIAN bahawa mereka telah memikirkan perkara ini untuk satu jangka masa tertentu. Oleh kerana harga durian di pasaran sebelumnya agak tinggi menyebabkan mereka terpaksa menangguhkan idea ini. Di musim durian ini, kebetulan paras harga lebih rendah ekoran pengeluaran hasil yang lebih tinggi, mereka justeru itu memulakan teknik penuaian ini. Lambakan durian kelihatan akan berlaku di pasaran, teknik ini mempercepatkan hantaran durian khasnya Musang King ke China melalui Thailand dan kelihatan ia memainkan peranan mengelakkan lambakan berlaku.
Musang King tetap mantap dengan permintaan yang tinggi di China. Buah ini hanya dihasilkan oleh Malaysia, pemborong durian dari Thailand boleh dikatakan telah menggunakan kesempatan ini dengan baik. Bagi pekebun durian tempatan, mereka kelihatan menyambut idea ini dengan hati terbuka.
Seperti yang kami lihat di kebun yang sedang dituai buah durian dari pokok, hanya dua pekerja mahir dari Thailand diperuntukkan untuk operasi tuaian ini. Satu pekerja memanjat pokok dan ketika berada di atas pokok, seorang pekerja yang berdiri di bawah pokok sudah bersedia menyahut durian yang dipotong dengan karung guni. Buah durian satu demi satu dituai dan gugur serta disahut oleh pekerja di bawah pokok.
Kebun berkeluasan beberapa ekar ini siap dituai dalam masa jangkaan, kemudian dimasukkan ke dalam bakul dan diangkut oleh kereta pacuan 4 roda ke tempat pengumpulan buah berdekatan. Dalam masa satu hari, kami sudah nampak buah bertimbun-timbun di tempat pengumpulan itu.
Keadaan ini bermakna amalan ini menjimat masa pekebun dalam musim buah durian kerana kebiasaan pekebun perlu meluangkan masa 1 – 2 minggu untuk menunggu durian matang gugur dari pokok. Mereka perlu menyediakan lebih ramai pekerja untuk tujuan ini. Teknik penuaian ini kelihatan mampu menyingkatkan masa pekebun dalam musim kutipan hasil buah serta juga menjimat tenaga buruh. Kini juga, mereka tidak perlu khuatir buah dicuri atau dirosakkan oleh tupai. Dapat dijangkakan, pekebun yang bersetuju untuk buah duriannya dituai lebih lega hatinya kerana proses kutipan hasil buah dapat disempurnakan dalam masa yang singkat di samping menjimat kos.
Namun sebelum buah durian boleh dituai, kebun itu perlu dikunjungi oleh wakil pemborong dari Thailand untuk memastikan sama ada jumlah buah dan kualiti buah memenuhi ekspektasi mereka. Kami telah melihat kerja peninjauan ini di kebun. Wakil pemborong akan memotong sebiji buah masak 80% dari pokok dan mencubai isinya. Jika kemanisan buah itu mencukupi serta jumlah buah di kebun itu berbaloi untuk penuaian, maka penuaian buah akan bermula pada hari keesokan atau hari terdekat.
Mengikut kata Jay, Musang King kini paling digemari oleh pemborong Thailand kerana inilah pilihan nombor satu oleh pengguna di China. Namun, buah 101 atau D24 juga boleh dituai sekiranya jumlahnya cukup banyak, umpamanya jumlah yang boleh memenuhi kontena. Dari segi harga tawaran durian oleh pemborong Thailand, Jay berkata perkara ini adalah bergantung kepada beberapa faktor termasuk kualiti buah dari segi bentuk buah dan cita rasa isi. Namun dalam trend terkini, harga RM34 – RM35/kg untuk buah gred A adalah jawapannya. Aras harga ini adalah lebih tinggi daripada tawaran pemborong tempatan di sekitar RM30/kg. Lagipun, buah 80% matang juga lebih berat 10% berbanding buah matang, keadaan ini menambah nilai ke atas buah yang dituai.
Buah yang dituai akan digredkan kepada A, B dan C kemudian dimasukkan ke dalam kotak sebelum dihantar ke Thailand melalui pengangkutan darat. Kata wakil pemborong, dalam tempoh 5 – 7 hari, buah tuaian akan sampai ke pasaran China. Ketika itu, buah mencapai kematangan maksimum dan sedia dinikmati oleh pengguna di negara itu.
Menurutnya, teknik ini menghasilkan mutu isi yang serupa dengan buah masak. Namun buah masak dari Malaysia tidak dapat dinikmati oleh pengguna China melainkan menikmati buah yang disejuk beku dengan cecair nitrogen di bawah suhu -18 C. Apakah perbezaan di antara buah sejuk beku dengan cecair nitrogen berbanding yang dituai 80% kematangan?
Pandangan dari pekebun yang sempat ditemu bual mengatakan bukan semua pengguna di China gemar terhadap buah yang dirawat dengan gas nitrogen kerana buah seumpama ini dianggap sebagai buah yang telah diproses (dengan gas nitrogen). Buah yang dituai kemudian masak dalam perjalanan dianggap lebih segar dan bebas dari bahan rawatan kimia. Dengan kata lain, bagi mereka, buah yang dituai adalah cara terbaik untuk mengekal dan memelihara kesegaran buah.
Mereka memberi contoh dengan mengatakan ada rakyat di utara China mendapati sukar untuk menikmati buah durian segar sejuk beku kerana cuaca yang sejuk di kawasannya menyukarkan pengopekan buah. Mereka terpaksa mencampak buah ke dalam air sebelum boleh dibuka. Cita rasa buah sebegini pasti akan menurun dengan ketara.
Samudra SMS Sdn Bhd
Tel : 06-556 1086, 012-964 4932
016-663 6198 / 012-3232 055 (Office)
Email : chssb@hotmail.com
Website : www.chanhockseng.com
Antara sebab utama yang merangsang pekebun menerima idea penuaian buah ini adalah berkaitan dengan penggredan buah oleh pemborong tempatan yang dikatakan tidak adil kepada pekebun. Pada musim lalu, banyak pekebun tempatan menghadapi masalah buah mereka yang kelihatan gred A digolongkan sebagai gred B. Harga borong bagi buah gred A di sekitar RM30/kg manakala gred B hanya di sekitar RM15 – RM18. Keadaan ini menyebabkan mereka rugi besar. Menurut mereka, satu muatan buah yang penuh dalam kereta pick-up hanya 10% sahaja dikategorikan sebagai Gred A manakala 80-90% tergolong sebagai gred B dan C sedangkan pemborong dari Thailand mampu memberi gred A sehingga 70% ke atas longgokan buah mereka.
Perasaan tidak puas hati sudah terpendam di dalam hati mereka, akhirnya meletup apabila mereka terdengar buah durian boleh dituai, mereka amat gembira dan seterusnya menerima cadangan tersebut. Jay berkata, 90% pekebun yang ditawarkan dengan cadangan penuaian ini bersetuju dengan cara ini. Dari sini amat jelas bahawa pekebun amat mengharapkan kutipan hasil yang lebih mudah serta menguntungkan. Kini keadaan ini telah menjadi realiti.
Kos pengurusan kebun durian yang semakin tinggi jugalah salah satu faktor yang menyebabkan pekebun menerima tawaran penuaian buah dengan senyuman besar. Menurut kata Encik Tan yang mengurus banyak kebun, kebun seluas 8 ekar menelan kos menghampiri RM8,000 sebulan termasuk kos baja dan kos 2 orang buruh. Kos ini belum termasuk pembelian racun dan merumput. Kos ini perlu ditanggung oleh kutipan hasil buah. Menurutnya, harga buah durian dalam lingkungan RM20 – RM25 per kg baru boleh mendatangkan keuntungan kepada pekebun. Apabila buah boleh dituai dengan tawaran harga RM34-RM35/kg, hati ramai pekebun terpikat justeru segera menerima tawaran buah dituai dari kebun mereka.
Menurut Encik Tan, apabila buah durian mencapai peringkat hampir matang, pengambilan nutrien oleh pokok tetap mantap dan pembajaan merupakan satu kos tambahan. Melalui penuaian buah, kos ini boleh dijimatkan. Pekerja kebun juga tidak perlu memasang jaring di bawah pokok malahan mengikatkan buah di atas pokok pun tidak payah. Mereka juga tidak perlu menunggu buah durian gugur. Dapat dibayangkan betapa banyak tenaga dapat dijimatkan. Oleh itu, amalan penuaian buah durian disambut baik oleh pekebun dan trend ini dijangka akan berterusan jika harga tuaian terus mantap seperti sekarang ini.
Walaupun baka durian lain juga boleh dituai, namun fokus utama masih ke atas Musang King kerana baka ini paling memikat hati pengguna. Cita rasa Musang King tiada tandingan dari mana-mana baka. Pengguna mahukan Musang King tetapi proses pengangkutan dengan cara sejuk beku gas nitrogen kelihatan tidak cukup cepat untuk menyampaikan buah ke tangan pengguna selain juga lebih mahal ekoran kos rawatan yang lebih tinggi. Melalui cara penuaian buah, rantaian penyampaian durian ke tangan pengguna boleh dipercepatkan dan kuantiti penghantaran juga boleh meningkat dengan ketara tanpa membabitkan kos pengangkutan udara dan penggunaan gas nitrogen.
Menurut sumber, kos pengangkutan udara bagi satu kilogram Musang King adalah di antara RM5 – RM6 manakala kos rawatan dengan nitrogen RM2.00 per kilogram. Amalan penuaian dapat menjimatkan kos ini kerana ia diangkut melalui pengangkutan darat dan dalam tempoh 5 – 7 hari, buah tuaian sudah boleh sampai ke tangan pengguna di China.
Wakil pemborong dari Thailand yang juga merupakan rakyat Malaysia memberikan pandangan mereka mengenai amalan tuaian buah. Mereka mendapati hanya melalui amalan ini, eksport durian Malaysia baru boleh dipercepatkan. Mereka membandingkan jumlah pengeluaran durian di Thailand serta pengeksportannya ke China yang membabitkan sekurang-kurangnya 400 kontaner berkapasiti 17 tan setiap satu setiap hari dari daerah Chathaburi sahaja. Kuantiti eksport ini sukar ditandingi oleh pengeluaran Malaysia. Menurut sumber, 94% pasaran durian segar di China masih dikuasai oleh durian dari Thailand, Malaysia hanya menguasai pasaran durian segar di China pada kadar 4% sahaja!
Oleh yang demikian, proses penghantaran perlu dipercepatkan khasnya baka Musang King yang merupakan jenama tunggal dan unggul dari Malaysia. Pemborong dari Thailand menuai durian Musang King dari Malaysia dan menjualnya sebagai Musang King Thailand. Arus perkembangan ini dikhuatiri oleh sesetengah pemain dalam industri durian akan kemiripan menjejaskan nama eksklusif Musang King Malaysia kerana buah ini hanya wujud di Malaysia tetapi namanya digunakan oleh negara lain pula.
Berkenaan dengan persoalan ini, Frankie Tong dari Tong Seng Nursery berpendapat isu ini perlu ditangani segera dan jenama Musang King dari Malaysia perlu dipertahankan. Dicadangnya pihak berkuasa perlu mempercepatkan rundingan mereka dengan pihak berkuasa China agar meluluskan eksport buah segar durian ke negaranya dengan cepat. Buah Musang King kini boleh dituai justeru pengeksportan tidak harus menjadi isu.
Dahulu, buah segar dari Malaysia dikutip dari permukaan tanah selepas masak dan gugur. Ketika menyentuhi tanah, buah berpotensi dijangkiti patogen. Buah kemudian dikutip dengan jaring yang dipasang di bawah pokok bagi menyelesaikan masalah ini. Bagi menyelesaikan masalah pengangkutan pula, buah matang dirawati dengan gas nitrogen. Sedangkan Thailand terus menuai durian dan mengeksportnya ke China dengan kuantiti yang besar manakala buah di Malaysia masih diurus di tapak asal, kononnya bagi menjaga dan mengekalkan mutu asalnya yang unggul.
Pada hakikat, langkah ini tidak menepati suasana dagangan semasa yang lebih mementingkan buah dieksport dengan kadar lebih cepat serta dengan kuantiti yang tinggi berbanding dengan langkah penjagaan mutu jati buah. Dengan erti kata lain, kegemaran khalayak ramai perlu diutamakan dalam pasaran durian Musang King berbanding menjaga kepuasan cita rasa 1% pengguna yang cerewet dalam perbelanjaan mereka terhadap Musang King (@seperti berkehendakkan buah 100% masak seperti buah sediakala).
Wakil pemborong dari Thailand berpendapat amalan penuaian buah durian berpotensi bangkit sebagai “penyelamat” industri penanaman durian di Malaysia memandangkan pengeluaran Musang King di Malaysia mulai meningkat dengan ketara susulan ramai telah menanaminya semenjak beberapa tahun lalu. Banyak ladang gergasi juga mula berbuah dan keadaan ini akan merumitkan situasi pasaran pada masa akan datang. Jika buah terus dikutip dan dieksort dengan kaedah konvensional, dapat dibayangkan masa hadapan pekebun durian mungkin akan berdepan dengan aras harga yang rendah kerana bekalan di pasaran tempatan sudah banyak. Pada ketika itu, ramai pekebun akan mengalami kerugian kerana kos pengurusan kebun sudah meningkat dengan ketara.
Sambungnya, perkara penting sekarang ialah mempercepatkan proses tuaian dan pengeksportan di waktu Musang King masih belum banyak ditanami di negara Jiran. Musang King adalah buah emas dari Malaysia dan pegangan ini hendaklah dipertahankan. Melalui amalan tuaian buah, kuantiti eksport buah ini ke China boleh dipertingkatkan. Suatu hari nanti, apabila pekebun durian di Malaysia mampu menuai durian dalam kapasiti mereka, Musang King akan dieksport terus ke China oleh Malaysia tanpa melibatkan pihak Thailand. Inilah masa yang dinanti-nantikan.
All Cosmos Industries Sdn. Bhd.
Tel : +607-2523788
Fax : +607-2512588
E-mail : sales_marketing@allcosmos.com