Samudra SMS Sdn Bhd
Tel : 06-556 1086, 012-964 4932
016-663 6198 / 012-3232 055 (Office)
Email : chssb@hotmail.com
Website : www.chanhockseng.com
Anai-anai (Isoptera) membina sarangnya di pelbagai tempat selagi tempat tersebut mempunyai sumber makanan untuknya. Kewujudannya di ladang kelapa sawit akan mendatangkan kerugian kepada pengusaha ladang jika langkah kawalan tidak diambil segera. Di Malaysia, terdapat lebih daripada 175 spesis anai-anai dan daripadanya, 46 spesis yang berasal daripada 3 famili (Rhinotermitidae, Termitidae dan Kalotermitidae) dan 17 genera adalah berkaitan dengan kelapa sawit yang ditanam di atas tanah gambut.
Namun begitu, bukan semua spesis anai-anai adalah perosak. Di antara 46 spesis itu, hanya 5 spesis Coptotermes spp daripada famili Rhinotermitidae dan genera Coptotermes dianggap sebagai perosak. Kelima-lima spesis ini adalah Coptotermes curvignathus, Coptotermes sepangensis, Coptotermes kalshoveni, Coptotermes travians dan Coptotermes gestroi. la ini meliputi 11% daripada keseluruhan spesis anai-anai dalam negara dan dikategorikan sebagai perosak yang boleh mendatangkan kerosakan kepada tanaman kelapa sawit.
Kerugian Ekonomi Ekoran Serangan Anai-Anai
Anai-anai akan menyerang ke atas pokok kelapa sawit yang hanya 12 bulan lepas tanam di ladang. Tanpa disedari serangan tersebut boleh mengakibatkan lebih 3% pokok-pokok mati dalam jangka masa setahun. Ini bermakna kerugian ekonomi sebanyak 8% 9% berdasarkan kiraan kehilangan buah tandan segar pada kepadatan 160 pokok/ha, atau bersamaan RM327/ha/tahun apabila tanaman sudah matang nanti.
Serangannya bukan sahaja pada pokok-pokok kecil, ia juga boleh menyerang pokok matang sehingga mengakibatkan kematian pokok. Tanah gambut merupakan habitat yang digemari oleh anai-anai dan justeru itu, keluasan tanaman sawit sebanyak 666,000 ha atas tanah gambut akan mendatangkan kerugian yang tinggi sekiranya serangan berlaku.
Mengesan Kehadiran Perosak Anai- Anai
Oleh kerana hanya sesetengah spesis anai-anai yang boleh merosakkan tanaman kelapa sawit, maka adalah penting untuk membezakan spesis perosak dan spesis bukan perosak supaya kaedah kawalan yang tepat boleh diambil.
Anai-anai berupa perosak dapat diketahui jika anai-anai askar tersebut menghasilkan sejenis cecair berupa susu setelah diusik. Spesis anai-anai ini adalah genera Coptotermes spp. Kaedah pengenalan ini merupakan cara paling mudah untuk membezakan anai-anai perosak dan bukan perosak.
Cara lain untuk mengenal pasti identiti anai-anai adalah dengan berdasarkan saiz fontanelle dan lebar kepala. Ini kerana tiada perbezaan yang ketara pada rupa bentuk rahang bawah (mandible). Selain itu, cara pembuatan sarang juga boleh menjadi petanda bagi membezakan anai-anai perosak dan bukan perosak. Anai-anai perosak amnya membina sarang di bawah permukaan tanah manakala yang bukan perosak membinanya di atas permukaan tanah. Anai-anai bukan perosak selain tidak mendatangkan kerosakan terhadap tanaman, ia sebaliknya menambah kesuburan tanah dengan cara menguraikan bahan-bahan organik di dalamnya.
Anai-Anai Bukan Perosak
Adalah penting untuk mengetahui habitat anai-anai bukan perosak kerana ia merupakan salah satu kaedah mudah bagi membezakan antara perosak dan bukan perosak. Secara ringkasnya indikasi berkenaan adalah seperti berikut :
1. Spesis daripada Genera Macrotermes yang amnya membuat sarang tanah di tepi pokok atau di tepi jalan. Sarang tersebut yang berada di atas permukaan tanah itu jelas kelihatan.
2. Spesis daripada genera Schedorhinotermes lazim ditemui di dalam batang dan dahan pokok yang tumbang. Ia boleh dikenal pasti melalui kelakuan locomotory.
3. Spesis daripada genera nasutitermes ini pada kebiasaanya boleh ditemui dalam batang, daun, kulit dan lumut pokok kelapa sawit yang sedang reput.
4. Spesis daripada genera Globitermes yang mana salah satu spesisnya (Globitermes sulphureus) mempunyai abdomen kuning cerah dan mudah dikenali.
Spesis lain yang bukan perosak juga termasuk anai-anai genera Amitermes yang tersembunyi dalam pokok dan balak tumbang serta Pericapritermes yang hidup dalam balak reput malah menginap jauh ke bawah tanah gambut yang mendalam. Bagi Prohamitermes pula, sarangnya diperbuat daripada bahan keras dan amnya berwarna hitam. la menyara hidup dengan kayu reput dalam tanah.
Tahap Kerosakan Akibat Serangan Anai-Anai Coptotermes
Kerosakan awal pada pokok sebenarnya dapat dikesan seawal 6 bulan lepas tanam di ladang. Serangan yang berlaku pada bahagian pucuk pokok mampu mematikan pokok dalam masa beberapa bulan dan perlu diambil serius jika dibandingkan dengan serangan pada bahagian-bahagian lain. Serangan peringkat awal bermula dengan pembinaan sarang tanah baru di bahagian pangkal pelepah, mayang, buah tandan dan pucuk pokok.
Serangan peringkat pertengahan oleh anai- anai akan menyebabkan pucuk kehilangan warna hijau dan 2 -3 pelepah di bahagian atas menukar ke warna kuning akibat kerosakan dalaman yang menyekat aliran air ke situ. Proses ini mengambil masa 2 bulan sekiranya populasi anai-anai di situ adalah tinggi.

Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350
Website: www.behnmeyer.com
Dalam serangan peringkat akhir, pucuk pokok dan 3 pelepah di bahagian atasan kelihatan mulai layu, jemala pokok menukar ke warna coklat, layu dan kemudian patah. Bagi pokok yang berjaya merempuhi serangan, pucuknya pula mungkin tumbuh secara tidak normal.
Kerosakan yang disebabkan oleh serangan anai-anai biasanya berlaku di bahagian pucuk, buah tandan, pangkal pelepah dan batang pokok. la mampu menusuk masuk ke dalam batang pokok melalui bahagian pucuk dan pangkal pelepah kemudian terus menurun sehingga ke pangkal batang.
Cara Kawalan
Sekiranya terdapat kerja tanah baru pembinaan sarang anai-anai khususnya di bahagian pangkal pelepah dan pucuk pokok atau kelayuan lebih awal pada pelepah bawahan, gejala-gejala ini mungkin menandakan serangan anai-anai sudah berlaku.
Bagi mengenal pasti spesis anai-anai di situ, kaedah mengumpan boleh digunakan dengan memacak kayu getah empat segi panjang ke dalam tanah di kawasan serangan atau dengan menggunakan kardbod beralur (corrugated cardboard) yang dipasangkan ke dalam stesen pengesan anai-anai yang diletakkan dengan jarak perantaraan 5m di sepanjang jalan penuaian atau tempat meletak pelepah pangkas. Corak penggalian yang ditunjukkan akan menyarankan spesis anai-anai mana satu yang wujud di situ.
Penggunaan racun serangga merupakan kaedah kawalan yang boleh memusnahkan koloni anai-anai. Racun Chlorpyriphos pada kadar 38 ml/5 liter air atau racun Fipronil pada kadar 5 ml/5 liter air dengan cara semburan dan menyiram adalah digunakan untuk menangani perosak ini. Prosedur menggunakan kedua-dua jenis racun ini adalah seperti berikut :
1. Tanggalkan kerja tanah anai-anai dengan menggunakan batang kayu atau besi.
2. Kemudian semburkan bahagian-bahagian tersebut khususnya bahagaian pucuk pokok dan bahagian perantaraan pelepah dan batang dengan secukupnya sehingga racun semburan mengalir keluar.
3. Siramkan racun semburan tersebut di sekitar permukaan tanah berdekatan pangkal batang untuk mencegah serangan selanjutnya.
4. Merawat 6 pokok di sekitar pokok diserang itu untuk mencegah serangan baru.
Kekerapan Merawat Dengan Racun Serangga
Rawatan perlu diulang sekiranya terdapat petanda serangan baru di batang dan pelepah pokok. Rawatan dengan racun Chlorpyriphos sekali pada setiap 2-3 bulan mendatangkan kesan 60% manakala racun Fipronil mendatangkan kesan rawatan 100% dengan penggunaan sekali pada setiap 5 – 6 bulan.
Kesan rawatan yang baik boleh diperolehi sekiranya kerja rawatan dijalankan pada hari bercuaca baik semasa kerja tanah anai-anai masih basah. Ini kerana anai-anai akan berjauhan ke bawah tanah pada musim kering dan keadaan ini akan mengurangkan kesan rawatan. Di kawasan gambut, dengan mengekalkan paras air bawah tanah di antara 15 – 30cm daripada permukaan tanah akan melemaskan lebih 70% anai-anai yang bersembunyi di dalamnya. Demikian, sebelum menjalankan rawatan racun seperti yang disebut tadi, paras air bawah tanah tersebut seelok-eloknya dinaikkan ke paras tersebut buat selama 1 minggu dan perbuatan ini akan mendesak anai-anai keluar daripada sarangnya yang terletak jauh di bawah tanah. Pada ketika ini rawatan racun adalah tepat pada masanya untuk menunjukkan kesan optimum.
Kos Kawalan
Kos kawalan racun serangga berkenaan adalah seperti yang ditunjukkan di jadual 1.
Sumber Maklumat :
Zulkefli Masijan et al, Termites of Oil Palm in Malaysia, МРОВ, 2012.