Palm King Marketing Sdn Bhd
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd
Website: www.klspalmking.com
Durian Musang King (D197) kini mendapat perhatian ramai kerana cita rasanya sangat unggul. Ramai peminat menceburi penanaman baka durian ini ekoran pasaran dalaman dan luaran yang sangat besar serta harga sangat baik menjadikan ia sebagai buah-buahan tropika yang paling bernilai untuk diusahakan. Namun, sifat baka ini memerlukan pendebungaan silang untuk mendapat hasil yang baik, oleh yang demikian, penanam yang berminat terhadap penanaman Musang King seelok-eloknya mengamalkan tanaman campuran supaya pendebungaan silang dapat berlaku apabila pokok mula mengeluarkan bunga nanti.
Seperti baka durian lain, Musang King akan mengembang bunga antara 7.00 pm – 9.00 pm. Pendebungaan dijalankan oleh kelawar dan lebah liar (Apis dorsata) yang aktif di waktu senja dan malam. Kebanyakan stamen bunga sudah gugur pada awal pagi keesokan. Hanya bunga berjaya didebungakan akan terus berkembang menjadi putik buah. Namun, bunga betina yang mengalami pendebungaan diri (pendebungaan antara bunga betina dan debunga dari baka yang sama tidak kira dari pokok yang sama atau pokok tidak sama) walaupun boleh membentuk putik buah tetapi putik tersebut akhirnya juga akan gugur dalam tempoh dua minggu atau tiga minggu selepas pendebungaan itu. Dengan kata lain, untuk mendapat hasil buah yang wajar, pendebungaan silang (debunga daripada baka lain) amat penting.
Di sesetengah dusun, ada penanam yang hanya menanam Musang King secara baka tunggal tetapi juga berjaya mendapat hasil buah yang diidamkan. Keadaan ini adalah disebabkan oleh kebunnya mungkin berdekatan dengan kebun jiran yang sudah ditanami baka durian lain justeru tetap dimanfaatkan oleh pendebungaan silang apabila agen pendebungaan membawa debunga daripada kebun jiran. Lagipun, kelawar didapati boleh terbang dalam jarak jauh memudahkan pembawaan debunga dari merata tempat. Walau bagaimanapun, pergantungan kepada baka durian lain daripada kebun jiran kelihatan bukan pendekatan yang baik. Cara paling baik ialah mengamalkan sistem baka campuran di kebun sendiri bagi menjanjikan hasil nanti.
Sifat pokok Musang King yang memerlukan pendebungaan silang sudah diakui dalam satu kajian yang dijalankan oleh penyelidik MARDI pada tahun 2018. Kajian tersebut dilakukan di MARDI Kuala Kangsar, Perak. 5 pokok Musang King berumur 15 – 25 tahun telah dipilih untuk dibuat kajian. Setiap rawatan telah menggunakan 15 – 72 kuntum bunga dalam kajian tersebut. Sejumlah 6 plot rawatan telah diatur ke atas pokok Musang King iaitu 1: pendebungaan diri secara automatik; 2: pendebungaan berbantu dengan menggunakan debunga daripada pokok Musang King yang sama; 3: pendebungaan berbantu menggunakan debunga D24; 4: pendebungaan berbantu menggunakan debunga Musang King daripada pokok yang lain; 5: pendebungaan berbantu menggunakan debunga D99; 6: pendebungaan terbuka.
Debunga dikumpul pada pukul 8.00 pm dan pendebungaan berbantu dijalankan antara 8.30 pm – 11.00 pm. Kedua-dua tempoh masa ini adalah paling optimum untuk proses pendebungaan berlaku pada pokok durian.
Hasil Kajian (sila lihat rajah 1)
1. Tiada pembentukan putik buah selepas 2 minggu pendebungaan berbantu dijalankan daripada plot pendebungaan diri secara automatik atau pendebungaan berbantu daripada debunga pokok Musang King yang sama atau pendebungaan berbantu daripada debunga pokok Musang King yang lain. Dengan kata lain, Musang King adalah baka yang tidak serasi sesama sendiri justeru itu memerlukan pendebungaan silang.
2. Selepas 12 minggu pendebungaan berbantu dijalankan, plot pendebungaan antara bunga betina Musang King dan debunga D24 berjaya menghasilkan 37.92% buah manakala Musang King dengan D99 menghasilkan 41.25% buah. Kadar pembentukan buah di kedua-dua plot ini sama-sama baik serta tiada perbezaan yang ketara. Kadar pembentukan buah ini malah lebih tinggi daripada kes di Thailand anatara Chanee x Kradumthong (27.43%), Monthong X Kradumthong (16.3%) serta Matahari x Sitokong (20.2%) di Indonesia.
3. Tiada pembentukan buah di plot pendebungaan berbantu secara terbuka selepas 12 minggu pendebungaan dijalankan.
4. D24 dan D99 adalah sumber debunga yang baik untuk Musang King justeru penanam boleh menanam kedua-dua baka ini bersama Musang King bagi menjamin hasil yang wajar. Sebagai rumusan, Musang King seperti juga kebanyakan baka durian lain, adalah tidak serasi antara bunga betina dan debunga daripada baka yang sama. Justeru itu pendebungaan silang iaitu debunga daripada baka lain adalah diperlukan untuk pengeluaran hasil yang wajar.
Sumber maklumat :
Muhammad Afiq Tajol Ariffin et al., “Self-incompatibility and the need of cross pollination on Musang King (Durio zibethinus L.), 4th International Plant Breeding Conference 2018.
Union Harvest (M) Sdn Bhd
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com