Hextar Fert Sdn. Bhd.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336
Website: www.hextar.com
Beberapa jenis perosak telah dikenal pasti menyerang ke atas putik, bunga dan buah tanaman jambu batu (Psidium guajava L.). Kawalan yang wajar harus diambil supaya mengurangkan kerugian hasil baik dari segi pengurangan hasil mahupun susut nilai buah ekoran kerosakan yang terjadi pada kulit atau isi. Terdapat 6 jenis perosak utama yang mengganggu tanaman jambu batu dan ia dihuraikan seperti berikut :
Perosak Tanaman Jambu Batu
1. Kutu trips (Aphis sp.)
Kutu ini mirip menyerang tanaman jambu batu khususnya pada musim kemarau atau di kawasan tanaman baru dengan cara menyerang putik, bunga dan buah. Kulit jambu batu akan tertinggal kesan bercalar dan bersinar selepas serangan. Kutu trips sangat halus dan sembunyi di bahagian pokok menyebabkannya tidak mudah dikesan. Oleh itu, semburan menyeluruh adalah penting supaya racun dapat menembusi tempat persembunyian dan membunuhnya.
Terdapat kutu trips berjalur merah spesis Selenothrips rubrocinctus Giard atau dikenali sebagai Red-banded thrips/cacao thrips bertindak secara mengikis permukaan pucuk dan putik kemudian menghisap bendalir sel sehingga pucuk layu dan mati. Putik muda lepas serangan yang masih hidup akan juga menunjukkan permukaan berparut-parut yang merendahkan nilai pasarannya.
Bagi kutu spesis ini, racun serangga seperti profenofos (contoh: Selecron 500 EC, 30ml/10 liter air), deltamethrin (contoh: Decis, 10 – 22ml/10 liter air) dan imidaclorpid (contoh : Confidor 200 SL, 3.7ml/10 liter air; Nexus 18.35 SL, 2.5ml/10 liter air) boleh digunakan secara semburan menghala ke arah pucuk dan putik buah dengan selangan 7 hari/kali bermula daripada peringkat pembentukan putik sehingga buah bersaiz seperti bola pingpong. Semut kerengga merupakan agen kawalan biologi terhadap kutu trips.
2. Kepinding nyamuk (Helopeltis theobromae)
Perosak ini menyerang bahagian daun, batang muda, putik dan buah jambu batu dan meninggalkan luka kecil di permukaannya. Luka ini akan membentuk lekukan atau keruping berkarat sekiranya terjadi pada kulit buah. Serangan pada bahagian batang muda akan menyebabkan bahagian berkenaan layu dan mati. Racun serangga yang berkesan untuk menanganinya termasuk jenis isoprocarb, acetamiprid, dimethoate, carbaryl, alpha- cypermethrin dan fenthion berdasarkan dos yang disyorkan. Semburan racun secara bergilir- gilir berselang 7 – 10 hari mulai peringkat pucuk hingga daun matang dan darpada peringkat putik sehingga buah bersaiz seperti bola pingpong boleh dijalankan sekiranya perlu.
Luka yang disebabkan oleh kepinding nyamuk akan selanjutnya mengakibatkan penyakit keruping buah (scabby canker) bermula dengan bintikan hitam di bahagian luka kemudian mengembang menjadi tompokan nekrotik sebesar 1-3mm. Bahagian epidermis di sekeliling akan terkoyak dan timbul manakala bahagian tengah melekuk apabila buah semakin membesar.
3. Koya-koya (Ferrisia virgata, Pseudococcus citriculus, Planococcus pacificus)
Koya-koya mudah dikenali kerana rupanya seperti cebisan kapas yang melekati batang, daun dan buah jambu batu. Serangga ini di peringkat nimfa dan dewasa akan menghisap isi kulit dan sekiranya populasinya adalah tinggi, pokok akan layu dan mati. Oleh kerana koya- koya juga menghasilkan sejenis manisan, lantaran itu akan menggalak pula pertumbuhan kulapuk hitam, secara tidak langsung akan mengurangkan kecekapan fotosintesis dan selanjutnya mempengaruhi hasil.
Koya-koya boleh dikawal dengan racun seperti minyak putih, chlorpyrifos + cypermethrin, dimethoate atau malathion secara semburan pada bahagian serangan. Sekiranya perlu maka semburan diulang selepas 2 minggu dengan menggilirkan racun tersebut tadi. Racun-racun ini juga dapat mengawal kehadiran semut yang akan memakan manisan koya-koya dan menyebarkannya.
4. Benah Putih (Aleurotuberculatus canangae, A. cherasensis, A. psidii, Dialeurodes psidii, Aleurodicus disperses)
Benah putih juga dikenali sebagai white flies dalam bahasa Inggeris, akan bertelur di bawah permukaan daun dalam bentuk pusaran atau bulatan sepusat. Peringkat nimfa dan dewasa benah putih akan menghisap bendalir daun serta mengeluarkan manisan yang akan menyebabkan tumbuhnya kulapuk hitam. Pada hakikat, kulapuk hitam mendatangkan kesan lebih buruk daripada benah putih sendiri. Semburan racun deltamethrin, permethrin atau gamma-BHC dapat mengawalinya.
5. Lalat buah
Lalat buah merupakan perosak utama kepada tanaman jambu batu. Lalat betina akan bertelur di permukaan buah matang, larvanya akan mengorek masuk ke dalam isi buah dan menyebabkan kerosakan buah sehingga tidak boleh dimakan dan juga tidak boleh dijual. Cara kawalannya termasuk menjaga kebersihan ladang dengan cara mengutip dan meluputkannya ke dalam lubang tanah sedalam melebihi 15cm daripada aras permukaan tanah. Kaedah membalut buah di peringkat sebesar saiz telur ayam merupakan pendekatan yang baik bagi mencegah serangannya.
Selain itu, perangkap feromon terdiri daripada methyl eugenol dicampurkan dengan beberapa titisan malathion digunakan untuk merangsang kedatangan lalat dan membunuhnya. Kaedah ini dapat mengurangkan populasi lalat buah di ladang.
Dengan menyembur racun kimia juga mendatangkan kesan yang baik seperti penggunaan racun malathion, cypermethrin, deltamethrin, acephate atau fenthion, dimethoate dan spinosad menurut dos yang disyorkan. Ia dijalankan secara bergilir-giliran dengan racun disebut tadi secara berselang 7 – 10 hari dengan menghala pada buah hampir matang. Semburan harus dihentikan 7 – 10 hari sebelum tuaian.
6. Ulat pemakan daun

Palm King Marketing Sdn Bhd
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd
Website: www.klspalmking.com
Sekiranya terdapat kerosakan daun akibat dimakan oleh ulat, maka semburan dengan racun cypermethrin, permethrin atau trichlorphon adalah dicadangkan. Semburan 2 -3 kali/minggu mungkin perlu dijalankan terutama untuk menghapuskan larva yang dilindungi dalam pucuk muda yang belum berkembang. Kawalan dengan racun kimia ini perlu dijalankan sekiranya serangan didapati kian serius supaya mengelakkan kehilangan daun yang banyak dan mengganggu penghasilan buah nanti.
Penyakit Tanaman Jambu Batu
Terdapat beberapa jenis penyakit signifikan yang akan mengganggu pertumbuhan dan penghasilan tanaman jambu batu, seperti berikut :
1. Penyakit bengkak akar
Tanaman jambu batu sekiranya menunjukkan gejala menyerupai kekurangan zat makanan seperti pertumbuhan terbantut, pokok tidak cergas, kanopi pokok semakin jarang, daun kekuningan, buah kecil, buah matang awal dan tidak bermaya, mungkin menandakan pokok tersebut sudah terjangkit penyakit bengkak akar. Penyakit ini disebabakan oleh serangan nematod Meloidogyne incognita iaitu sejenis cacing halus tidak mudah dikesan dengan mata kasar. Larva peringkat keduanya amat berbahaya kerana kemampuannya memasuki akar perumah menyeyabkan akar tunjang dan akar sisi menjadi bengkak serta berupa pecah-pecah. Begitu juga dengan akar sisi primer dan sekunder turut membengkak dan bertukar warna.
Kawalan yang berkesan dan ekonomi adalah secara pencegahan melalui penggunaan anak benih dan tanah semaian yang bebas daripada wujudan nematod di dalamnya. Ini bermakna medium tanah yang digunakan semasa penyediaan anak benih, tut atau matatunas amat penting dan harus dipewasapkan supaya mengurangkan risiko kejadian serangan.
Kaedah kawalan dengan menggunakan racun phenamifos (Nemacur) dan carbofuran (Furadan) di ladang lebih mahal dan perlu dibubuh pada setiap 3 bulan sekiranya menggunakan racun phenamifos. Racun ini akan meresap ke dalam akar pokok dan bertindak ke atas nematod dalam akar.
2. Penyakit ‘Stylar-end ring rot’
Buah jambu batu yang telah dibalut tidak semestinya selamat daripada serangan perosak dan penyakit. Dalam aspek ini, koya-koya merupakan perosak yang boleh menyerang buah dibalut manakala kulat Phomopsis psidii Nag & Ponnapa juga mempunyai kecenderungan yang sama dan menyebabkan penyakit Stylar-end ring rot. Pada kebiasaan, kulat ini boleh menjangkiti buah sebesar bola golf sehingga buah masak. Buah yang dijangkit menunjukkan tompokan nekrotik di bahagian bawah buah serta akan merosakkan bahagian isi buah sekali gus.
Bagi mengawal serangan kulat ini, disyorkan menyembur racun kulat pada buah sebelum dibalut. Racun kimia seumpama ini termasuk benomyl (Benlate), Carbendazim (Bavistin), carbendazim-mancozeb (Delsene-X 200), chlorothalonil (Deconil, Bravo) dan fentin acetate (Brestan).
3. Penyakit Antraknos
Penyakit ini yang disebabkan oleh kulat Colletotrichum gloeosporoides boleh menyerang peringkat buah belum matang malah ke atas buah lepas tuai atau yang sedang diangkut ke pasaran atau yang sedang disimpan. Bahagian jangkitan bebentuk bintikan hitam pada permulaan kemudian bergabung menjadi tompokan hitam lebih besar sehingga boleh menghasilkan kelompok spora hitam di bahagian luka tersebut. Kawalan kimia boleh menggunakan racun benomyl (benlate), carbendazim (Bavistin), carbendazim-mancozeb (Delsene-X 200), thiophanate methyl (Topsin M), chlorothalonil (Bravo), propiconazole (Tilt) dan fentin acetate (Brestan).
4. Penyakit Reput Botryodiplodia (reput hitam)
Penyakit ini wujud akibat serangan kulat Botryodiplodia theobromae yang lazim terdapat di ranting layu atau di kulit pokok. Maka dengan membuangkan bahagian-bahagian layu pokok akan dapat mengurangkan kejadian. Bagi tujuan kawalan, racun benomyl (Benlate) dan propiconazole (Tilt) boleh digunakan sebagai bahan celupan buah supaya mengelakkan daripada jangkitan.
Penyakit ini akan terjadi pada buah masak yang mempunyai luka dan serangan akan terus berlaku semasa buah sedang dipasarkan atau berada di dalam simpanan. Keseluruhan buah akan menjadi hitam kerana reput serta wujud spora-spora di permukaan kulit yang reput.
5. Penyakit Reput Botryosphaeria (reput perang)
Ada persamaan antara reput perang dengan reput hitam melainkan agen penyebab adalah berlainan. Bagi reput perang, kulat Botryosphaeria ribis yang menjangkiti bahagian bawah buah masak lambat-laun akan mereputkan buah sehingga mendalam ke bahagian isi buah. Isi buah akan menjadi lembik, lebam air dan berwarna ungu serta tiada bernilai langsung. Kejadian penyakit ini akan menyebabkan kerugian hasil antara 2 – 5% menandakan bukan suatu penyakit yang serius. la dapat dikawal dengan menggunakan racun benomyl dan prochloraz.
Sumber maklumat :
1. Ithnin Badri dan rakan-rakan, Serangga Perosak Buah-Buahan Tropika Malaysia, Mardi, 2008.
2. Y. Norlia (penyunting), Penanaman Jambu Batu, Mardi, 1992.
All Cosmos Industries Sdn. Bhd.
Tel : +607-2523788
Fax : +607-2512588
E-mail : sales_marketing@allcosmos.com