FGV Fertiliser Sdn Bhd
Tel : +607-251 2801/2802/2803
Fax : +607-251 1810
E-mail : fertmarketing@fgvholdings.com
Website: www.fgvfertiliser.com.my
Kekurangan unsur kalium (K) boleh menyebabkan kejadian tompokan atau bintik oren cerah pada daun pokok kelapa sawit. Gejala tersebut amnya menonjol dan mudah dikenali. la bermula dengan pembentukan bintik-bintik oren kemudian akan bergabung menjadi tompokan lebih besar yang dikenali sebagai confluent orange spotting dalam bahasa Inggeris.
Tompok-tompokan berwarna oren cerah atau oren kemerahan ini tidak seragam dan di bahagian tengahnya mempunyai tanda kelayuan. Sekiranya kekurangan kalium adalah serius, maka hujung dan pinggir daun terbabit akan menukar ke warna coklat kelabu, rapuh, layu kemudian menyerpih dan gugur. Selagi pokok menghadapi kekurangan kalium, petanda tersebut akan wujud tidak kira peringkat umurnya. Daun-daun lama akan terlebih dahulu menunjukkan petanda tersebut, kemudian merebak kepada daun-daun muda.
Kegiatan mikroorganisma seperti kutu hama (mites) di bahagian daun juga juga boleh menghasilkan bintik-bintik oren dan merupakan kes yang bukan disebabkan oleh kekurangan kalium.
Rawatan
Pencegahan sebenarnya lebih penting daripada rawatan. Sebagai langkah pencegahan, daun pelepah 17 harus dianalisis secara tetap dan dari situ, tahap kalium dapat diketahui. Langkah pembetulan boleh diambil segera dengan cara menabur baja kalium pada pokok sekiranya paras rendah. Cara ini dianggap lebih baik jika dibandingkan dengan cara mengesan melalui gejala pada daun. Sudah terlambat sedikit menabur baja kalium pada pokok yang telah menunjukkan gejala kekurangan pada daun kerana hasil mungkin sudah melorot pada masa itu.
Tahap optimum kalium pada pelepah 17 adalah di antara 0.85 – 1.15% daripada jirim kering, bergantung pada umur pokok dan sifat tanah di situ. Sekiranya kalium digunakan pada kadar yang tinggi maka kieserite sebagai sumber magnesium mungkin harus digunakan juga kerana paras magnesium dalam tanah akan diganggu oleh tokokan kalium sehingga berlaku pula masalah kekurangan magnesium.
Muriate of Potash (MOP) dengan kandungan 60% potassium chloride (K2O) amnya dipilih sebagai sumber kalium. Selain itu, Abu buah tandan kosong kelapa sawit juga dipilih kerana mengandungi 35 – 40% K2O. Namun begitu, kandungan ini mungkin setakat 25 – 30% sahaja sekiranya kawasan tanaman tersebut memang kekurangan kalium sebelumnya. 3 bahagian abu buah tandan kosong yang normal adalah bersamaan dengan 2 bahagian MOP. Ini bermaksud 3 kg abu buah tandan kosong adalah bersamaan dengan 2 kg MOP.
Sebagai panduan am, pokok matang tumbuh di tanah liat (clay soils) dan tanah lempung (loamy soils) boleh dirawat dengan menggunakan MOP pada kadar 3 – 4 kg/pokok diikuti dengan analisis daun pada 6 bulan kemudian sekiranya mengalami masalah kekurangan kalium yang serius. Jika tahap kalium tidak meningkat selepas rawatan tersebut, maka baja tambahan harus digunakan selanjutnya. Apabila tahap kalium telah berada di paras yang normal seperti disyorkan dalam analisis daun, penggunaan MOP pada kadar 3 – 4 kg/pokok sepatutnya sudah mencukupi bagi mengekalkan keperluan pokok.
MOP pada kadar 5 – 7 kg/pokok mungkin harus digunakan ke atas pokok yang diusahakan di kawasan tanam semula jika pokok-pokok kelapa sawit sebelumnya tidak dibajai dengan baik. Begitu juga dengan pokok yang tumbuh atas tanah gambut sama-sama memerlukan kadar kalium yang lebih tinggi untuk menjamin hasilnya. Dos baja yang tinggi lebih elok dipecahkan kepada dua pusingan, iaitu separuh dalam pusingan pertama dan separuh lagi ditabur pada 6 bulan kemudian atau pada masa bersesuaian dengan cuaca atau berpandu pada analisis daun yang dijalankan.
Daun yang telah bertukar warna ekoran kekurangan kalium akan tetap layu dan mati walaupun baja kalium telah ditaburkan. Hanya daun-daun muda yang belum terbabit akan terlepas daripada belenggu kekuningan atau keorenan sekiranya dos baja tersebut adalah mencukupi. Sesetengah daun lama di tahap penuaan juga menunjukkan tompokan kekuningan meskipun program pembajaan dijalankan secara konsisten.
Sumber maklumat :
P. D. Turner, Oil Palm Diseases and Disorders, Oxford University Press, 1981.
Union Harvest (M) Sdn Bhd
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com