Hextar Fert Sdn. Bhd.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336
Website: www.hextar.com
Kawalan perosak dan penyakit adalah antara usaha perlu diambil dalam pengurusan pokok durian belanda. Pelbagai serangga perosak akan menyerang bahagian daun, buah, batang dan akar pokok. Jika serangan tidak dikawal, kehilangan daun serta kerosakan bahagian pokok akan menyebabkan tumbesaran pokok terjejas. Pengeluaran hasil juga turut dipengaruhi. Pokok akan mati jika sistem akarnya sudah teruk diserangi. Beberapa jenis serangga perosak dan penyakit diturunkan berikut untuk disusuli dengan usaha kawalan.
1. Lalat Buah (Bactrocera dorsalis)
Apabila buah durian belanda mencapai umur 12 minggu dari peringkat putik, buah yang akan masak menunjukkan kulit yang lembut dan menjadi tarikan terhadap lalat buah untuk menelur di permukaan kulit. Selepas menetas, larva akan korek masuk ke dalam buah dan menyebabkan isinya reput serta berbau busuk.
Simptom serangan lalat buah berupa bintik hitam halus yang agak sukar untuk dikesan. Untuk mengelak serangan, buah berumur 12 minggu hendaklah dikutip segera. Jika sudah diserang maka buah tersebut dikutip dan ditanam untuk menyekat pembiakan perosak tersebut.
Aplikasi semburan umpan protein Promar yang dicampurkan dengan racun serangga seperti malathion pada musim buah dijalankan. Buah disembur setiap minggu selama 12 minggu iaitu bermula daripada pembentukan buah sehingga buah dipetik. Kadar yang disyorkan ialah 1 liter Promar untuk 3.5 liter air dikacau sehingga sebati dan kemudian ditambahkan 8 ml malathion. Setiap pokok disembur dengan 40 ml campuran.
1. Teritip Dan Kekoya
Putik dan buah sedang membesar akan menghadapi serangan kedua-dua serangga ini. Putik yang memebsar jika diserang tidak akan membesar dengan elok. Serangan dilakukan oleh serangga dewasa serta nimfa melalui serapan cecair di permukaan kulit. Teritip dan kekoya akan mengeluarkan bahan buangan berisfat sejenis manisan yang akan menarik pertumbuhan kulat kulapuk hitam. Semut juga tertarik oleh manisan tersebut. Buah diselubungi kekotoran hitam dan menurunkan proses pernafasan buah. Teritip dan kekoya hidup secara simbiosis dengan semut yakni manisan akan dijadikan makanan semut manakala semut akan memindah teritip ke pohon lain. Kesemua serangga ini hendaklah dikawal sekali gus.
Minyak putih dapat mengawal teritip dan kekoya dengan berkesan. Kadar yang disyorkan ialah 1 bahagian minyak putih dalam 50 bahagian air. Campuran itu disembur ke pohon yang diserang dan semburan hendaklah diulang selepas 2 minggu jika perlu. Untuk mengawal semut pula, dieldrin pada kepekatan 0.1% a.i hendaklah disembur di sekeliling pangkal pokok.
2. Kupu-Kupu Pengorek Buah
Kupu-kupu ini akan bertelur di permukaan kulit buah yang sedang membesar. Larvanya kemudian mengorek masuk ke dalam buah. Serangannya mudah dikesan kerana larva mengeluarkan fras berwarna hitam di permukaan liang serangan. Larva yang masuk ke dalam isi buah akan kekal di dalam selama 2 – 3 minggu kepompong pula wujud di permukaan kulit buah serta juga di atas tanah.
Kawalan kimia boleh dilakukan dengan semburan racun serangga bersifat sistemik seperti dimethoate 0.1% al dan trichlorfon 0.1% ai. Semburan dibuat 2 minggu sekali untuk kawasan yang teruk diserangi. Kekerapan semburan boleh dikurangkan jika kadar serangan sudah menurun.
3. Kupu-Kupu Atlas Pemakan Daun
Kupu-kupu Attacus atlas adalah nama saintifiknya, ia akan menelur di bawah permukaan daun. Telurnya berwarna kemerahan. Larva yang sudah menetas akan mula makan daun sehingga pokok kehilangan daun yang banyak dan menjejaskan pertumbuhan.
Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350
Website: www.behnmeyer.com
Serangan perosak ini dapat dikawal dengan semburan racun serangga biologi Bacillus thuringiensis. Mengutip larva dan kepompong di peringkat awal serangan kemudian memusnahkannya juga langkah yang baik.
4. Anai-Anai
Anai-anai menyeranag akar pokok. Jika lambat dikesan, serangan merebak dari akar ke pangkal batang dan terus ke atas. Anai-anai merosakkan akar dan kulit pokok menyebabkan daun menguning, gugur dan akhirnya pokok mati jika serangan adalah teruk. Kawalan boleh dilakukan dengan racun kimia seperti dieldrin disiramkan di sekeliling pangkal pokok.
5. Kupu-Kupu Pengorek Batang
Kupu-kupu ini menelur di pokok matang durian belanda serta pokok belimbing. Larva akan mengorek ke dalam batang. Larva akan membina terowong daripada fras di permukaan kulit batang untuk melindunginya daripada serangan pemangsa. Serangan teruk akan merosakkan keseluruhan kulit pokok. Liang masuk ke dalam pokok serta permukaan kulit hendaklah dibersihkan daripada lelehan tahi atau fras. Liang tersebut kemudian disuntik dengan racun serangga seperti metamidophos pada 0.1% a.i, acephate 0.1% a.i. atau fenthion 0.1% a.i. Liang selepas dirawat dengan racun kemudian perlu disumbat dengan plastesin atau tanah lembap. Racun serangga itu juga boleh disapu pada permukaan batang di sekitar liang dengan menggunakan berus.
Penyakit
Pada masa ini tidak banyak penyakit durian belanda yang dilaporkan. Antara penyakit utama ialah reput pangkal yang disebabkan oleh kulat Rhizoctonia solani. Semburan racun seperti benomyl, carbendazim dan triadimephon dapat mengawal serangan. Penyakit ini menyerang pokok semasa kecil dan menyebabkan pokok reput dan mati.
Penyakit antraknos pula disebabkan oleh kulat Colletotrichum menyerang daun dan buah. Semburan racun benomyl 0.02% a.i pada buah dan daun dapat mengawal penyakit ini dengan berkesan.
Rumpai
Tumbuhan kekacang penutup bumi seperti centrosema pubescens, Calopogonium mununoides, Pueraria phaseoloides dan rumput seperti rumpur padang (Axonopus compressus), rumput jelamparan (Digitaria sp.), serta rumput kerbau (Paspulum conjugatum) adalah tumbuhan bermanfaat untuk dibangunkan di kebun durian belanda khususnya di antara baris pokok.
Bulatan merumput di bawah pokok digalakkan untuk dibina dan kawalan rumpai dikendalikan dengan berhati-hati supaya semburan racun rumpai tidak mendatangkan kerosakan terhadap daun serta sistem akar.
Sumber maklumat :
M.Z. Mohd Khalid et al., (Penyunting), Penanaman Durian Belanda, MARDI, 1993.
Simple Farm Sdn Bhd
E-mail : mrbanana@simple-farm.com