Applied Agricultural Resources Sdn. Bhd.
Tel : 03-61517924/25/26/27/28
Fax : 03-61517081
E-mail: sales@aarsb.com.my
Website: www.aarsb.com.my
Tahun 2022, minyak sawit global mencatatkan harga pasaran yang optimum sehingga lebih RM7,000/tan. Tahun ini harganya sudah menurun dengan ketara ke aras sekitar RM3,500/tan. Senario ini menggambarkan harga minyak sawit sering berubah-ubah mengikut kitaran justeru pekebun perlu mencari alternatif bagi mengimbangkan pendapatan mereka di bidang penanaman ini. Bagi pekebun yang sedang berancang menanam baru sawit, penyediaan tanah boleh diurus supaya melapangkan satu kawasan yang cukup besar (15.2m) dalam baris pokok sawit untuk menanam tanaman jangka pendek bagi memperolehi pendapatan tambahan. Tanaman selingan seumpama ini adalah banyak, di antaranya ialah pisang tanduk.
Tanam semula sawit melalui kaedah konvensional bercorak segi tiga sama boleh mengusahakan tanaman selingan ini di peringkat umur sawit masih belum matang iaitu semasa 2 – 2 ½ tahun pertama. Selepas itu, tanaman pisang hendaklah dibersihkan untuk pembesaran pokok sawit.
Bagi pekebun yang ingin menanam baru tanaman sawit, serta bercadang mengusahakan tanaman selingan dalam tempoh masa berpanjangan, maka sistem dua baris kembar (double avenue system) boleh digunakan. Sistem ini bermaksud satu ruangan 15.2 meter diluangkan di antara setiap dua baris pokok sawit bagi menanam 5 baris pokok pisang tanduk. Selain pisang, tanaman selingan lain seperti lada hitam, betik, keledek dan banyak lagi boleh juga dipilih. Ruangan 15.2 meter membolehkan kemasukan cahaya matahari secukupnya untuk pembesaran dan pengeluaran hasil tanaman selingan tanpa memberi impaks negatif terhadap tanaman sawit.
Pisang tanduk merupakan baka pisang bersaiz terbesar di antara kesemua jenis pisang sejagat. Dalam tempoh pembesaran tandan pisang ini, kayu penyokong diperlukan untuk menyokong tandannya yang berat supaya mengelak daripada patah. Pengurusan sulur sangat penting bagi usaha integrasi ini. Berbeza dengan baka pisang lain, sulur pisang tanduk oleh kerana tumbuh cetek di permukaan tanah justeru perlu digali dan ditanam semula atau menggunakan bahan tanaman kultur tisu.
Tempoh matang bagi pisang tanduk lebih kurang 14 – 18 bulan kerana saiz buah yang besar memerlukan masa matang yang lebih lama. Namun, jika ia ditanami dalam suasana kecukupan air serta atas jenis tanah yang subur, tempoh matangnya akan berlaku lebih awal.
Seperti kata tadi, dalam sistem dua bris kembar, ruang kosong selebar 15.2 meter dalam setiap dua baris pokok sawit ditanami 5 baris pokok pisang tanduk dengan jarak dalam baris dan antara baris yang sama-sama pada 2.4 meter. Pada jarak ini, jumlah tanaman pisang tanduk sebanyak 880 pokok boleh diselingkan dalam satu hektar sawit. Ini adalah jumlah pokok pisang tanduk dalam kaedah bakar sifar biomas sawit iaitu menyusun biomas di perantaraan baris pokok sawit. Jika kesemua biomas dibersihkan tanpa disusun di ladang, maka 1,240 pokok pisang tanduk boleh ditanam dalam keluasan satu hektar berselingan dengan tanaman sawit.
Bahan tanaman pisang tanduk hendaklah dipilih dari sumber yang baik khasnya kultur tisu yang menjamin tumbesaran lebih seragam serta kadar hidup yang lebih tinggi. Hasil lebih tinggi juga boleh diharapkan dengan bahan tanaman ini. Lubanga tanaman dibuat mengikut saiz 0.45 m x 0.45 m x 0.45m kemudian masukkan 100g CIRP ke dalam setiap lubang bagi menggalak pengembangan akar.
Dalam sistem tanaman dua baris kembar ini, semua sulur pisang tanduk hendaklah dibersihkan kesemuanya. Selepas kutipan hasil pertama, tanah yang sudah dibersihkan itu sesuai untuk penanaman pusingan kedua. Tanaman pisang tanduk yang baru tetap menggunakan jarak yang sama tetapi ditanam menggunakan lubang tanaman baru. Pusingan kedua ini hanya boleh menanam 3 baris pokok pisang tanduk, dua baris di sebelah tanaman sawit masing-masing dikosongkan bagi memupuk tumbesaran sawit. Pada ketika itu, hanya 530 pokok pisang tanduk boleh ditanam.
Kaedah menanam secara integrasi bersama sawit di tanah pedalaman menghasilkan berat purata tandan 6.5kg. Andai kata 80% pisang itu menepati kehendak pasaran, maka setiap ringgit yang diceburkan akan mendatangkan pulangan RM 1.79 – RM 1.83 bergantung kepada kaedah pembersihan biomas mana satu dipilih. Oleh yang demikian, projek integrasi serupa ini adalah berdaya maju. Daun lama tanaman pisang digunakan bagi meningkatkan bahan organik tanah dan selanjutnya meningkatkan kesuburan tanah. Tanaman sawit juga dimanfaatkan oleh tanah yang subur. Pisang tanduk dipasarkan untuk tujuan menggoreng atau sebagai kerepek pisang yang sama-sama digemari oleh pengguna.
Sumber maklumat :
Suboh Ismail and Norkaspi Khasim, “Integrated of Banana (tanduk variety) With Oil Palm Planted in Double Avenue Planting System”, MPOB Information Series, June 2005, MPOB TT No. 265.
Applied Agricultural Resources Sdn. Bhd.
Tel : 03-61517924/25/26/27/28
Fax : 03-61517081
E-mail: sales@aarsb.com.my