Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350
Website: www.behnmeyer.com
Sulur pisang menarik minat ahli penyelidik dari seluruh dunia bagi menjalankan kajian ke atasnya untuk menilai pengaruhnya ke atas pengeluaran hasil. Pusat penyelidikan pertanian Ethiopia juga tertarik terhadap topik ini lalu menjalankan kajian ke atasnya. Negara di Afrika Timur ini mempunyai populasi penduduk seramai 120 juta orang, di antaranya 70 juta orang bergantung kepada pisang sebagai makanan ruji mereka. Ethiopia menghasilkan 15 juta tan pisang setahun, menandakan tanaman ini sangat penting untuk negara tersebut. Demi meningkatkan hasil pisang, peninjauan terhadap sulur adalah salah satu caranya kerana pengekalan bilangan sulur di bawah pokok induk berupaya mempengaruhi pengeluaran hasil.
Kajian tersebut dilakukan di antara tahun 2004 – 2008 dengan menggunakan anak benih Cavendish Giant sebagai bahan tanaman. Anak benih itu ditanam mengikut jarak dalam baris dan antara baris 2.5m x 2.5m. Apabila sulur sudah terbit selepas beberapa bulan ditanam, 1 – 5 sulur dikekalkan dalam plot kajian secara berasingan untuk tujuan penilaian prestasi hasil. Kajian ini juga memperuntukkan satu plot kawalan untuk tujuan perbandingan. Plot kawalan ini tidak menjalankan sebarang penyingkiran sulur. Sulur berlebihan disingkirkan apabila mencapai ketinggian 30cm dengan cara menggalinya dan dibuang. Amalan ini dijalankan setiap bulan. Dengan cara ini, bilangan sulur boleh ditetapkan mengikut keperluan dalam kajian.
Hasil kajian itu menunjukkan bahawa mengekal sebatang dan dua batang sulur berjaya memperolehi ukur lilit (saiz) batang pokok secara optimum, masing-masing mencatatkan 59.6cm dan 58.1cm. Perangkaan kajian itu turut menunjukkan bahawa ukur lilit batang pokok bertambah kecil berikutan pengekalan bilangan sulur yang semakin banyak. Keadaan ini dapat dilihat di plot kawalan kerana ukur lilit batang pokok di situ menunjukkan saiz batang pokok yang paling kecil. Hal ini adalah disebabkan saingan nutrien dan air telah berlaku.
Dari segi pengeluaran hasil, pengekalan sebatang sulur menampilkan kesan paling optimum mencatatkan hasil tertinggi pada 42.7 tan/ha, kemudian diikuti oleh pengekalan sulur 2 – 5 batang mengikut turutan ialah 35.4 tan/ha, 32.7 tan/ha, 28.4 tan/ha dan 26.8 tan/ha. Plot kawalan memberi hasil paling rendah iaitu 26.3 tan/ha. Pendek kata, hasil kajian ini mencadangkan supaya pekebun mengekal tidak melebihi 3 batang sulur untuk menjamin hasil menggalakkan.
Sehubungan itu, Bangladesh juga pernah menjalankan kajian mengenai perkara yang sama. Bagaimanapun, kajian tersebut lebih bertumpu pada tempoh pengeluaran hasil. Didapati dalam kajian itu bahawa tempoh antara tumbesaran pokok hingga pengeluaran hasil awal serta tempoh pengeluaran hasil awalan hingga kutipan hasil telah berlanjutan sehingga 441.00 hari dan 171.20 hari di plot yang mengekal kesemua sulur di bawah pokok. Padahal, plot yang membersihkan kesemua sulur yang terbit hanya masing-masing bertempoh 374.65 hari dan 106.29 hari.
Secara purata, tempoh satu pusingan penanaman bagi plot pengekalan kesemua sulur mengambil masa di antara 480.94 hari 612.07 hari, iaitu lebih lambat 131.13 hari daripada plot pembersihan kesemua sulur. Kajian ini akhirnya menyarankan supaya pekebun mengekal 1 – 2 sulur sahaja di peringkat pengeluaran hasil awal pokok induk bagi mendapat hasil seterusnya yang lebih menggalakkan.
Sumber maklumat :
1. Legesse Hidoto, ‘Growth and fruit yield response of banana to sucker management’ Journal of Natural Sciences Research, vol. 8, 2018.
2. K. Ravi Kumar et al., ‘Effect of sucker retention on growth and yield of banana plant crop’, National Academy of Agriculture Science, vol. 34, 2016.
Union Harvest (M) Sdn Bhd
Tel : +603-79572122
Fax : +603-79572630
Email : ask@unionharvest.com