Palm King Marketing Sdn Bhd
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd
Website: www.klspalmking.com
DxP adalah bahan tanaman sawit yang paling popular di bidang sawit. Ia merupakan kacukan antara deli dura dan pisifera dan membentuk tenera (DxP). Deli dura adalah induk betina manakala pisifera adalah induk jantan. Sepanjang masa ini, induk betina hanya terdiri daripada deli dura sahaja manakala induk jantan (pisifera) mempunyai beberapa sumber iaitu Avros, Dumpy Avros, La Me dan Yangambi. Keempat-empat sumber ini merujuk kepada debunga sawit untuk dikacukkan dengan deli dura demi membentuk DxP atau tenera.
Induk jantan yang berdasarkan daripada pelbagai sumber ini secara teorinya akan menghasilkan prestasi berlainan dari segi pengeluaran hasil, kandungan minyak, bilangan dan berat buah tandan. Ini pemahaman umum yang boleh diperolehi daripada sini. Secara praktikal, sejauh manakah prestasi tersebut berbeza di antara satu sama lain? Ini satu persoalan yang menarik. Kajian pernah dijalankan di sisi ini dengan membandingkan prestasi bahan tanaman yang diperolehi daripada beberapa induk jantan tersebut. Mana satukah berprestasi paling baik?
Kajian tersebut berdasarkan satu ekeperimen yang dijalankan di Kota Gelanggi 6, Pahang. kajian tersebut dibahagikan kepada plot yang masing-masing ditanami dengan bahan tanaman DXP (Avors), DxP (Yangambi), DxP (Dumpy Avros) dan DxP (La Me). Sementara itu, induk betina tetap satu iaitu deli dura untuk meninjau perbezaan prestasi induk jantan. Tanah eksperimen itu berasal dari siri tanah Katong, jarak tanaman ialah 9.1m bercorak segi tiga sama. Semua pokok ditanam pada bulan Jun 1998. Data pengeluaran hasil dan bilangan buah tandan pokok dikumpul antara tahun 2001 – 2008 untuk penilaian. Penilaian dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu pengeluaran hasil antara kutipan hasil tahun 1 – 3 dan tahun 4 – 6.
Hasil Kajian
Hasil kajian ini menunjukkan perbezaan genetik telah wujud di antara bahan tanaman dari pelbagai sumber induk jantan di sisi komponen buah tandan, pertumbuhan vegetatif dan fisiologi. Namun, jumlah jirim kering di antara kesemua bahan tanaman ini kelihatan tidak banyak berbeza di antara satu sama lain.
Seperti dijangkakan, semua plot menunjukkan hasil meningkat di peringkat kutipan hasil tahun 1 – 3 dan tahun 4 – 6 dan masing-masing mencatatkan hasil 128.71 kg/pokok/tahun dan 212.73 kg/pokok/tahun. Hasil terkumpul untuk 8 tahun (2001 – 2008) pula masing-masing berpurata 172kg/pokok/tahun. Sungguhpun begitu, dalam kesemua statistik ini, DxP (Yangmbi) sama ada di peringkat umur muda ataupun peringakt matang (purata hasil 8 tahun) mencatatkan hasil buah tandan segar paling tinggi dengan rekod pada 130.42, 217.00 dan 175.34 kg/pokok/tahun. Jika dibandingkan dengan purata hasil keseluruhan, maka keadaan ini menjelma kepada peningkatan hasil 1.33%, 2.00% dan 1.94%.
Hasil kutipan tahun 1- 3 bagi DxP (Yangambi) tidak jauh berbeza dengan DXP (LaMe) dan DxP (Avros), tetapi hasil kutipan tahun 4 – 6 menunjukkan peningkatan hasil yang ketara bagi DxP (Yangambi) berbanding dengan lain. Keadaan ini disebabkan oleh peningkatan bilangan buah tandan per pokok. Sehubungan itu, DxP (Avros) pula memperolehi purata berat buah tandan yang paling tinggi dalam kedua-dua tempoh kutipan hasil tersebut. Ini bermakna DXP (Avros) mempunyai prestasi berat buah tandan yang paling baik di antara kesemua plot kajian. DxP (Yangambi) pula menduduki kategori pengeluaran hasil buah tandan segar paling baik serta memiliki nisbah minyak/buah tandan (O/B ratio) tertinggi mencatatkan 29.5%. Maka itu, DxP (Yangambi) dengan hasilan minyak 7.20 tan/ha berjaya menduduki tempat pertama dalam perbandingan tersebut.
Keputusan kajian terhadap DxP (Yangambi) ini diyakini berpunca daripada beberapa faktor termasuk nilai yang tinggi dalam nisbah mesokarp/buah sawit (84.59%), nisbah minyak/mesokarp kering (78.94%), nisbah minyak/mesokarp basah (52.39%) dan nisbah buah sawit/buah tandan (65.88%). Selain itu, DxP (Yangambi) juga memiliki nisbah tempurung/buah sawit paling rendah (8.34%) dan keadaan ini telah menjadi satu lagi merit bahan tanaman ini berbanding yang lain. DxP (Yangambi) mencatatkan jumlah pengeluaran pelepah paling tinggi (27.05 pelepah/pokok/tahun), oleh sebab ini, purata pengeluaran bilangan buah tandan jugalah tertinggi (14.34 tandan/pokok/tahun) dalam kesemua plot perbandingan.
Pokok muda dan pokok matang DXP (Yangambi) secara puratanya menghasilkan 13 -18 buah tandan/pokok/tahun. DxP (Dumpy Avros) pula 11 14 buah tandan/pokok/tahun. DxP (La Me) menghasilkan 13 16 buah tandan dan DxP (Avros) 10 – 17 buah tandan/pokok/tahun. Dari sini jelas kelihatan DxP (Yangambi) lebih baik daripada yang lain di sisi ini. Bagaimanapun, DxP (Avros) menghasilkan purata berat buah tandan yang paling tinggi dalam 8 tahun hasil terkumpul, keadaan ini dipercayai berpunca daripada purata berat buah sawitnya yang lebih tinggi.
Jika menilai dari segi saiz buah sawit (fruitlet), maka DxP (La Me) bersaiz paling kecil manakala DxP (Yangambi) dan DxP (Dumpy Avros) bersaiz sederhana mencatatkan lingkungan 10 – 13g/biji. Saiz buah sawit bagi DxP (Avros) paling besar, menurut rekod, ia berpurata 14.17g/biji (kacukan DA33). Dari segi kualiti buah tandan pula, DxP (Yangambi) diakui sebagai yang terbaik, DxP (Yangambi) yang berkod DA81 malah memperolehi nisbah O/B pada 30.96%.
Kualiti buah tandan dari sumber induk jantan yang berbeza kelihatan menunjukkan status yang berbeza-beza iaitu ada yang tinggi dan ada yang lebih rendah.
DxP (Yangambi) juga menerajui dalam kategori kesemua 7 baka bahan tanaman terbaik. Progeni bahan tanamannya yang berkod DA30 malah menduduki kedudukan tertinggi dalam penghasilan minyak. Hasil kajian ini menunjukkan DxP (Yangambi) mempunyai prestasi tinggi dalam penghasilan minyak dan penemuan ini selaras dengan laporan oleh Chin dan rakan-rakan (2005).
Dalam pada itu, bilangan pengeluaran pelepah pokok umumnya berhubung rapat dan bergaris linear dengan bilangan pengeluaran buah tandan. Ini kerana setiap pengeluaran pelepah akan membawa pengeluaran satu buah tandan. Maka itu, kesanggupan pengeluaran pelepah jugalah satu faktor penting dalam menentukan prestasi sawit. Di sisi ini, DxP (Yangambi) berkod DA80 menghasilkan sejumlah 28.86 batang pelepah/pokok/tahun iaitu yang tertinggi berbanding DxP (La Me) di kedudukan paling rendah setakat 22.78 batang pelepah/pokok/tahun. DxP (Avros) dan DxP (Dumpy Avros) memiliki petiole yang lebih besar bebanding DXP (Yangambi).
Saiz dan panjang pelepah adalah aspek penting dalam menentukan kepadatan tanaman sawit. Pelepah lebih pendek mampu memuatkan lebih banyak pokok dalam kawasan sehektar. Bahan tanaman dari sumber induk jantan berlainan itu menunjukkan perbezaan dari segi tersebut. Secara umunya, purata rakis dalam pelepah kesemua bahan tanaman itu berada di antara 5.60 – 6.79 meter. DxP (Yangambi) berkod DA84 memiliki rakis terpendek (5.60 meter) manakala DXP (Dumpy Avros) berkod DA39 paling panjang mencatatkan 6.79 mter, malahan lai daunnya juga terpanjang dengan rekod 111.32cm.
Dari sini, DxP (Yangambi) kelihatan dapat menampung lebih banyak pokok dalam keluasan tanah yang sama kerana ukuran rakis yang lebih pendek dan dapat mengelak daripada gejala tindihan daun apabila pokok membesar nanti. Jumlah pokok yang lebih banyak dalam seunit kawasan memberi implikasi bahawa hasil juga lebih tinggi dan akan menjelma kepada keuntungan yang lebih besar.
Sumber maklumat :
Junaidah, J; Rafii, M. Y; Chin, C W dan Saleh, G., “Performance of Tenera oil palm population derived from crosses between deli dura and pisifera from different sources on inland soils”, Journal of Oil Palm Research Vol. 23, December 2011, hal. 1210- 1221.
Applied Agricultural Resources Sdn. Bhd.
Tel : 03-61517924/25/26/27/28
Fax : 03-61517081
E-mail: sales@aarsb.com.my