Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350
Website: www.behnmeyer.com
Penanaman jagung didahului dengan penyediaan tanah. Kerja ini hendaklah dijalankan dengan sempurna, umpamanya membersihkan kawasan dan menggemburkan tanah. Penyediaan tanah yang tidak lengkap akan membangkitkan masalah selepas penanaman, seperti pertumbuhan rumpai yang cergas, hasil tidak menggalakkan akibat tekstur tanah tidak digemburkan dan sebagainya. Tambahan, masalah kemasaman tanah jika tidak dirawati dahulu, hasil jagung dijangka akan terjejas ekoran halangan akan berlaku terhadap sistem akar tanaman.
Tanah di Malaysia bersifat masam dengan nilai pH di antara 3.50 – 5.00. Dalam keadaan ini ada dua masalah penting yang menyebabkan pokok terbantut atau tidak dapat tumbuh dengan baik. Pertamanya kerana keracunan aluminium (Al) dan/atau mangan (Mn). Keracunan Al menyebabkan akar tidak dapat tumbuh manakala keracunan Mn menyebabkan pengambilan berlebihan dalam daun. Keduanya pokok akan mengalami kekurangan nutrien lain akibat pengambilan yang terhad walaupun ditokok tambah dengan banyak.
Nilai pH yang paling sesuai untuk tumbesaran pokok jagung ialah 5.5. Tanah yang bernilai pH kurang daripada 5.3 adalah masam dan memerlukan pengapuran 2 – 5 tan/ha untuk meneutralkan tanah. Makin rendah nilai pH maka makin banyak kapur diperlukan. Kapur seperti GML perlu ditabur dan digaulkan ke dalam tanah sedalam 20 – 30cm secara membajak putar sekurang-kurangnya 4 minggu sebelum menanam supaya kapur sempat bertindak balas dengan tanah. GML juga membekal nutrien kalsium dan magnesium ke dalam tanah. Pengapuran dilakukan sekali setahun sudah memadai.
Tanaman jagung dikultur dengan menggunakan biji benih berkualiti. Kuantiti biji benih yang diperlukan adalah bergantung kepada sama ada jagung manis, jagung sayur atau jagung bijian yang akan ditanam. Bagi jagung manis, kuantiti biji benih sehektar ialah 8.5kg, manakala jagung bijian ialah 20kg/ha biarpun kepadatan tanaman adalah sama. Kuantiti jagung sayur disebabkan penanaman pada kepadatan lebih tinggi justeru perlu menyediakan biji benih pada kadar melebihi dua kali ganda biji benih jagung manis atau jagung bijian. Biji benih hendaklah dirawat dengan larutan racun kulat seperti thiram atau captan pada kadar 3g untuk 1,000g biji benih sebelum ditanam di ladang.
Dari segi jarak tanaman, disyorkan jagung manis atau jagung bijian ditanam pada jarak 75cm x 25cm (satu pokok selubang) atau 75cm x 50cm (2 pokok selubang). Jarak ini memberi kepadatan optimum sebanyak 53,333 pokok/ha.
Pembajaan adalah aspek terpenting dalam penanaman jagung. Keperluan baja untuk tanaman ini boleh berpandukan kepada penggunaannya. Contoh, hasil jagung 6.4 tan/ha akan menggunakan jumlah baja N 130kg, fosforus (P2O5) 57kg, kalium (K2O) 130kg dan magnesium (MgO) 32kg. Jumlah nutrien ini perlu ditambah balik ke dalam tanah supaya kesuburan tanah tidak terjejas.
Dari segi lain, sebagai langkah mengurangkan kos pengeluaran, pembajaan dan penanaman dijalankan dalam operasi serentak. Bagi penanaman secara manual, baja tunggal boleh digunakan pada kadar 60kg N, 60kg P2O5 dan 60kg K2O sehektar masing-masing dalam bentuk urea, superfosfat dan MOP. Kesemua baja tersebut dicampurkan sebelum ditabur ke alur tanaman, 3cm dalam dan berjarak 5cm dari baris pokok, kemudian ditimbus. Bagi penanaman secara mekanisasi, baja dibubuh menggunakan mesin/jentera. Baja sebatian yang digalakkan ialah 15/15/15 pada kadar 400kg/ha. Sebagai baja tambahan atau ‘top-dressing’, urea ditabur pada kadar 130kg/ha. Operasi ini dijalankan 5 minggu selepas menanam.
Sumber maklumat :
1. H. Zaharah, Laporan Khas Penanaman Jagung, MARDI, 1992.
2. Leong Chee Onn, Manual Teknologi Penanaman Jagung Manis, MARDI, 2005.
Kimagri Corporation Sdn Bhd
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com