Pada tahun 2012, Vietnam sudah mempunyai keluasan tanaman durian sebanyak 24,573 hektar. Keluasan ini kebanyakan bertabur di tanah tinggi, kawasan Timur Selatan serta kawasan delta Mekong di negara itu. 50% kawasan penanaman tersebut bertumpu Di delta Mekong. Di situ, durian yang ditanami terdiri daripada baka RI 6, Monthong dan Kho qua xanh. Baka-baka ini amnya mendapat sambutan lebih baik di kalangan penanam. Musim pembungaan semula jadi bagi baka-baka ini berlaku di antara Disember – Januari. Disebabkan oleh pengaruh cuaca kering, hasil hasil buah biasanya matang dan dikutip antara bulan Mei – Jun.
Keadaan di atas ini kurang berbaloi kepada penanam kerana tempoh kutipan hasil telah dilewatkan. Pada hakikat, delta Mekong mempunyai sistem saliran yang baik justeru membolehkan penanam merangsang pembungaan sepanjang tahun. Beberapa kaedah telah digunakan untuk mencapai matlamat ini termasuklah menyungkup tanah timbunan di pangkal pokok dengan plastik, 30 – 40 hari menyalirkan air secara berterusan serta menyembur daun pokok dengan larutan paclobutrazol 1,000ppm dan 1,500ppm ketika daun berumur 2 – 3 bulan (iaitu semasa daun muda menjadi matang dan bertukar ke warna hijau gelap).
Selepas rawatan, masa pembungaan dan jumlah bunga yang wujud adalah bergantung kepada faktor baka, cuaca serta keseriusan keadaan kemarau. Misalnya, baka Kho qua xanh didapati lebih mudah berbunga berbanding baka Sua hat lep, RI 6 atau Monthong. Tambahan, baka Kho qua xanh juga lebih senang untuk diaruh bunga, iaitu antara 20 – 25 hari selepas rawatan, pembungaan sudah lebat berlaku. Baka lain pula mengambil masa 30 – 35 hari baru boleh berbunga. Jika hari berhujan atau sistem saliran tidak diurus dengan baik, tempoh pembungaan malah merentang selama 2 – 3 bulan.
Ketiga-tiga kaedah merangsang bunga tersebut di atas telah umum digunakan oleh penanam di Vietnam supaya memupuk pengeluaran hasil di luar musim. Durian di luar musim dapat memperolehi harga pasaran yang lebih tinggi. Lebih-lebih lagi pemupukan bunga dapat membanyakkan musim pembuahan dalam setahun untuk menggantikan musim buah yang amnya berlaku 1 – 2 kali sahaja dalam setahun. Peningkatan musim pembuahan sehingga 3 – 5 kali setahun merupakan satu tarikan besar kepada penanam. Pada hakikat, sesiapa pun tidak terdaya menolak peluang ini yang mampu menggandakan pendapatan masing-masing.
Ketiga-tiga kaedah merangsang pembungaan durian yang digunakan oleh petani Vietnam disimpulkan seperti berikut :
1. Menyungkup tanah timbunan di pangkal pokok dengan plastik supaya mengelak air hujan meresap ke dalam tanah. Durian amnya perlu musim kering berterusan selama 2 minggu atau lebih untuk merangsang pembungaan.
2. Penyaliran air 30 – 40 hari serta memastikan sistem akar pokok sentiasa kering. Keadaan ini akan merangsang pembungaan.
3. Selepas pangkasan daun, daun baru akan wujud. Apabila daun baru ini mencapai umur 2 – 3 bulan, ia akan menukar ke warna hijau gelap menandakan daun sudah matang. Pada masa ini, boleh mula sembur paclobutrazol 1,000ppm dan 1,500ppm. Larutan ini merupakan sejenis bahan kimia pertumbuhan yang biasa digunakan untuk mengaruh pembungaan pada pokok buah-buahan. Fungsinya ialah merangsang pembungaan supaya wujud lebih awal. Di sebalik itu, semburan ini tidak akan mempengaruhi jumlah bunga, jumlah buah serta kualitinya.
Catatan Penanaman buah-buahan komersial amnya akan mengutamakan jumlah hasil. Penggunaan bahan kimia seperti paclobutrazol bagi memupuk pembungaan lebih awal adalah salah satu amalan biasa di negara lain. Aplikasi bahan ini kadang-kadang dikhuatiri memberi kesan negatif terhadap pokok justeru mereka ini berasa lebih selesa dengan membiarkan sahaja pokok durian berbunga secara semula jadi. Jika tidak ingin mengikuti corak semula jadi ini, maka penanam perlu campur tangan untuk mengubah corak pembungaan tersebut dengan menggunakan bahan kimia seperti paclobutrazol.
Bahan rujukan :
T.V. Hau and T.S. Hieu, “Off-season production of durian in the Mekong delta, Vietnam”, International Society for Horticultural Science.
Behn Meyer AgriCare (M) Sdn. Bhd.
Tel : 03-8026 3333
Fax : 03-8026 3350