Samudra SMS Sdn Bhd
Tel : 06-556 1086, 012-964 4932
016-663 6198 / 012-3232 055 (Office)
Email : chssb@hotmail.com
Website : www.chanhockseng.com
Menunggu anak benih sawit untuk membesar dan berbuah mengambil masa sekurang-kurangnya 2 1⁄2 tahun. Dalam tempoh ini, kos pengusahaan sawit perlu ditanggung dan keadaan ini kadangkala merunsingkan hati. Namun, bagi pekebun yang menerapkan integrasi tanaman lain bersama anak benih sawit akan memperolehi pendapatan untuk menampung kos pembesaran sawit. Antara tanaman yang sesuai diusahakan dalam senario ini ialah pisang Berangan. Tanaman ini sangat sesuai ditanami secara integrasi kerana tempoh matangnya pendek dan setiap pokok akan mengeluarkan satu tandan pisang. Pendek kata, tanaman pisang tiada masalah dalam pembuahan selagi pengurusan perosak dan penyakit diselenggarakan dengan baik.
Tanah untuk menanam pisang Berangan di kebun sawit seelok-eloknya gembur dan bersaliran baik. Sistem akarnya cetek justeru tanah yang berisiko menakung air atau banjir tidak sesuai digunakan. Tanah tinggi juga kurang sesuai kerana angin kencang mudah menumbangkan pokok. Tanah rata atau sedikit beralun adalah pilihan terbaik untuk tanaman ini.
Dalam sistem tanaman sawit konvensional bersegi tiga sama, tanaman pisang hanya boleh diusahakan selama 1.5 – 2.0 tahun atau bersamaan dua pusingan kemudian perlu memberi jalan kepada pembesaran pokok sawit. Jika tidak, kedua-dua jenis tanaman akan menghadapi kekurangan penerimaan pancaran cahaya matahari dan seterusnya mengganggu tumbesaran masing-masing. Bagi tanaman pisang, jika pancaran cahaya matahari tersekat, tandan dan buahnya menjadi kecil, pokok juga perlu bersaing untuk mendapatkan pancaran cahaya, selanjutnya mengakibatkan pokok meninggi dengan cepat dan mengorbankan prestasi pembuahan. Oleh yang demikian, sistem tanaman sawit secara dua baris kembar (double avenue system) telah dibangunkan supaya satu ruang yang cukup lebar di antara setiap dua baris sawit dapat dikekalkan dalam tempoh masa panjang. Ruang tersebut adalah selebar 15.2 meter demi penerimaan pancaran cahaya matahari secukupnya sepanjang masa.
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pernah menjalankan satu eksperimen integrasi pisang Berangan bersama anak pokok sawit. Oleh kerana penyediaan tanah dibahagikan kepada pembersihan langsung dan pembarisan biojisim di antara baris sawit, maka baris pisang Berangan boleh ditanam di ruang selebar 15.2 m itu masing-masing ialah 7 baris memuatkan 1,060 pokok pisang dan 5 baris bagi menampung 880 pokok pisang. Jarak tanaman pisang dalam penyediaan tanah secara pembarisan biojisim ialah 2.4 m x 2.4 m (rajah 1).
Penggunaan Anak Benih Kultur Tisu Lebih Baik
Anak benih pisang Berangan dari kultur tisu lebih baik digunakan berbanding sulur dari pokok induk jika pekebun ada bajet. Anak benih pisang Berangan kultur tisu tumbuh lebih cergas, seragam dan pengeluaran hasil lebih tinggi 20 – 30% jika dibandingkan dengan sulur. Yang penting ialah bahan tanaman pisang kultur tisu bebas jangkitan penyakit kerana proses kulturnya dijalankan dalam kawalan ketat. Tidak pula dengan sulur pisang yang amnya lebih tinggi risiko dalam pembawaan penyakit kerana sumbernya sukar ditentukan. Justeru itu, demi penanaman secara lebih tenteram hati, bahan tanaman kultur tisu adalah digalakkan.
Lubang tanaman untuk pokok pisang Berangan disyorkan pada 0.45 x 0.45 x 0.45 meter sambil memasukkan 200 g baja fosforus bagi menggalak akar. Penanaman seelok-eloknya bermula menjelang musim hujan. Pembajaan bagi tanaman pisang kelihatan lebih mudah berbanding tanaman lain. la dibahagikan kepada aplikasi baja tumbesaran (seperti 15/15/15) dan baja pembuahan (seperti 12/12/17/2) mengikut peringkat masing-masing. Butir pembajaan sila rujuk di jadual 1.
Pengurusan sulur di tepi pokok induk perlu difahami supaya hanya satu sulur dikekalkan. Jarak umur antara sulur dan pokok induk ialah 5 – 6 bulan. Dengan erti kata lain, kutipan hasil pusingan pertama dan kedua berjarak 5 – 6 bulan. Sulur-sulur lain hendaklah dibuang demi mengurangkan saingan nutrien dan air dengan pokok induk. Pengurusan rumpai sangat penting untuk tanaman pisang kerana sistem akarnya cetek justeru presatasinya mudah dipengaruhi dari saingan rumpai. Dalam keadaan sedemikian, rumpai dalam bulatan berjejari 0.9 meter dibersihkan sebulan sekali dengan mesin pemotong rumput. Racun rumpai hanya boleh digunakan apabila umur pokok mencapai 4 bulan ke atas. Sungkupan seperti daun dan rumput kering boleh dibekal di bawah pokok bagi memelihara kelembapan tanah.
Apabila pokok pisang Berangan mencapai umur 9 – 12 bulan, tandan buah akan mula matang dan membolehkan kutipan hasil dijalankan. Demi menjaga nilai kosmetik buah, tandan boleh dibalut apabila tandan sudah berumur 2 – 3 minggu. Selepas kutipan hasil pusingan kedua, semua sulur dibuang untuk memberi jalan kepada penanaman semula.
Cara menanam bagi pusingan baru adalah sama dengan kaedah penanaman sebelumnya. Namun, lubang tanaman baru dalam baris yang sama hendaklah digunakan. Ini bermakna baris menanam pisang boleh dikekalkan tetapi menggunakan lubang tanaman baru, umpamanya menggali lubang baru di antara dua lubang tanaman lama. Tambahan, barisan pisang di kedua-dua tepi sawit hendaklah dikorbankan dengan mengekalkan 3 baris sahaja bagi menampung 530 pokok pisang sehektar. Ini bertujuan memberi jalan kepada pembesaran pokok sawit.
Hasil eksperimen MPOB itu menunjukkan di tanah pedalaman, berat tandan secara purata bagi kutipan hasil pusingan pertama dan kedua masing-masing mencatatkan 13.0 kg dan 9.5 kg. Jika sistem penyediaan tanah menggunakan pembarisan biojisim, maka jumlah kos penanaman untuk kedua-dua pusingan ialah RM6,653 manakala jumlah pendapatan kasar ialah RM15,048 selanjutnya memberi jumlah pendapatan bersih RM8,395/ha. Dengan kata lain, pelaburan setiap ringgit memberi pulangan RM2.26.
Projek integrasi pisang Berangan yang dieksperimenkan di tanah pesisir pantai pula menunjukkan berat tandan meningkat ke aras 14.5 kg (kutipan hasil pusingan pertama) dan 11.0 kg (kutipan hasil pusingan kedua). Jumlah pendapatan bersih mencatatkan RM10,400 di bawah sistem penyediaan tanah secara pembarisan biojisim. Jika sistem penyediaan tanah menggunakan pembesihan langsung, pendapatan bersih tersebut meningkat kepada RM12,182 kerana pemuatan jumlah pokok pisang Berangan yang lebih banyak sehektar. Justeru itu, kesimpulannya, integrasi pisang Berangan di kebun sawit adalah projek berdaya maju serta berbaloi untuk diusahakan.
Sumber maklumat :
Suboh Ismail et al.,’Integration of Banana (Berangan Variety) Wth Oil Palm Planted In Double Avenue Planting System’, MPOB TT. NO. 224, 2004.