You are currently viewing Amalan Biasa Dalam Penanaman Pisang

Amalan Biasa Dalam Penanaman Pisang

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Kimagri Corporation Sdn Bhd
PT 23081, Kawasan Perindustrian Tungzen, 31300 Kampung Kepayang, Perak Darul Ridzuan, Malaysia.
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com

Website: www.kimagri.com

Tanaman pisang amnya diusahakan secara tunggal atau integrasi dengan tanaman saka. Penanaman secara tunggal umumnya dijalankan oleh ladang komersial manakala integrasi dijalankan oleh pekebun kecil sementara menunggu tanaman saka mereka matang. Pisang dari kultivar Cavendish, Berangan dan Mas keluaran Malaysia banyak dieksport selain juga dijual di pasaran tempatan. Kesemua kultivar ini ditanam mengikut jarak 2.5 m x 2.5 m x 2.5 m dan muat 1,600 pokok/ha.

Penanaman secara tunggal amnya menyingkir semua sulur yang tumbuh di tepi okok induk mulai bualan ke-3 atau ke-4 dan dilakukan seterusnya pada setiap 6 – 8 minggu berikutnya. Apabila kutipan hasil mencapai peringkat 60%, baru mula mengekal satu sulur pedang yang sihat dengan ketinggian pokok 28 inci – 40 inci untuk pertumbuhan ratun. Sulur lain semuanya dibuang.

Penanaman secara integrasi kebiasaan diusahakan bersama tanaman sawit, getah, koko atau durian. Di samping mendapat pendapatan sampingan dari hasil pisang, tanaman ini juga memberi lindungan cahaya matahari kepada tanaman saka. Jarak tanaman saka jika menggunakan jarak 7.5 m, maka ruang kosong di antara barisan boleh ditanami dua baris pokok pisang dengan jarak 2.5 m x 2.5 m. Cara ini akan memuatkan 1,066 pokok pisang sehektar.

Sekiranya jarak tanaman saka dibuat pada 6 m, tanaman pisang hanya boleh ditanam satu baris dan mendapat 533 pokok/ha. Tidak kira sama ada pisang ditanam sebaris atau dua baris, disyorkan mengekal satu pokok induk dan satu sulur sahaja sepanjang masa. Caranya ialah jika pisang Berangan diusahakan, maka apabila pokok induk mula berbunga di peringkat umur 8 bulan (bagi pisang Mas ialah 6 – 7 bulan), satu sulur pedang yang sihat dipilih dan dikekalkan sebagai ratun. Ini bermaksud hanya dua generasi pisang dapat ditanam dalam setiap pusingan menanam.

Dari segi pembajaan, ia bergantung kepada jenis tanah dan kesuburannya. Kebiasaan, tanaman pisang akan menunjukkan tindak balas yang baik terhadap pembajaan kerana sistem akar tanaman ini adalah cetek iaitu kebanyakannya berada di zon tanah 1⁄2 kaki dari permukaan tanah. Namun, sesetengah akarnya boleh tumbuh sedalam 0.75 m ke bawah tanah serta menjalar berjarak 5 m dari pangkal pokok. Kebanyakan akar penyerap nutrien tumbuh di bawah permukaan tanah sahaja justeru meningkatkan pengambilan nutrien dengan cekap.

Pembajaan tanaman pisang agak mudah kerana tempoh pertumbuhannya agak pendek. Semasa pembesaran pokok, baja sebatian 15/15/15 atau setimpal digunakan iaitu bermula bulan pertama sehingga bulan ke-5 setiap pokok dibekal 60 – 150g/bulan baja tersebut mengikut peringkat umurnya. Mulai bulan ke-6 hingga bulan ke12, setiap pokok diberikan 75g – 250g dengan baja sebatian 12/12/17/2 atau setimpal serta ditokok baja kalium (K) denagn kadar 50 – 75g/pokok di peringkat umur 7 – 8 bulan iaitu menjelang tempoh pembuahan bagi mencanggihkan buah.

Selepas kutipan hasil, pembesaran pokok seterusnya menggunakan balik baja 15/15/15 atau yang setimpal. Beginilah caranya, dengan dua jenis baja ini, tanaman pisang mampu memberi hasil menggalakkan. Namun, jens baja di pasaran adalah banyak, justeru pilihan lain yang bersesuaian dengan jenis tanah serta tumbesaran dan pembuahan pokok boleh juga dipilih. Perlu diingatkan bahawa semasa mula menanam, baja CIRP, GML dan baja organik hendaklah diberikan pada kadar 60 – 100g/pokok.

Saiz pokok pisang agak kecil berbanding tanaman lain. Justeru itu keperluan air sehari dianggarkan 8 – 12 liter/pokok sudah memadai. Jika pengairan titisan dipasang, hidupkan sahaja pamnya selama 20 – 30 minit sehari. Pengairan titisan tidak diperlukan jika taburan hujan kawasan penanaman adalah mencukupi. Jika tidak, maka pengairan titisan sangat mustahak demi memupuk pembesaran dan penghasilan buah. Kos pemasangan pengairan titisan dianggarkan RM8,000 – RM10,000/ha tetapi ini hanyalah untuk rujukan am sahaja.

Pengurusan sulur sangat penting dalam penanaman pisang demi mengurangkan saingan nutrien dan air dengan pokok induk. Cara pengurusan ialah, misalnya pisang Mas, ketika pokok induk berumur 3 bulan, maka satu sulur pedang dikekalkan. Setiap 3 – 4 minggu berikutnya, pembersihan sulur dilakukan sekali. Menjelang bulan ke-8, memilih satu lagi sulur pedang untuk dikekalkan. Pembersihan sulur dijalankan dengan menggunakan pisau tajam dan mengerat sulur di aras permukaan tanah. Sulur pokok pisang dibahagikan kepada dua jenis iaitu sulur air dan sulur pedang. Sulur air tumbuh dengan lebih canggih kerana daunnya besar. Pemilihan sulur air sebagai bahan tanaman adalah satu kesilapan besar kerana ia tidak sesuai digunakan ekoran tumbesarannya agak lambat serta kurang cergas. Sebaliknya sulur pedang yang berdaun tirus, kecil dan tumbuh lebih menegak hendaklah dipilih ekoran pertumbuhan lebih cepat dan cergas.

Akhir sekali, pengurusan tanaman pisang seelok-eloknya dimulakan pada awal-awal lagi termasuk pangkasan daun berpenyakit atau layu supaya meningkatkan kemasukan cahaya matahari serta peredaran udara bagi mengurangkan jangkitan penyakit.

 

Sumber maklumat :

Pakej Teknologi Pisang, Jabatan Pertanian, 2009.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Simple Farm Sdn Bhd
Tel : 011-10709708 / 012-7699702
E-mail : mrbanana@simple-farm.com

Website: www.mrbanana.com.my

Sila kongsi kepada kawan :