You are currently viewing Pembiakan Keratan Daun Kacip Fatimah

Pembiakan Keratan Daun Kacip Fatimah

Kacip Fatimah terkenal dengan fungsi perubatan tradisional yang amnya untuk masyarakat Melayu dalam rawatan sebelum dan selepas bersalin. la dipercayai dapat mempercepatkan proses kelahiran di samping juga mengembalikan kecergasan selepas bersalin, mengecutkan rahim dan melangsingkan badan. Ia juga berbantu dalam rawatan melancarkan perjalanan dan kitaran haid kaum wanita. Yang penting juga adalah kajian saintifik yang telah menunjukkan ia mengandungi sebatian fitokimia bersifat fitoestrogen iaitu dapat merangsang sistem keseimbangan hormon dan reproduktif. Oleh yang demikian, ia dianggap sebagai herba yang membawa manfaat besar kepada kaum wanita.

Tumbuhan Kacip Fatimah ini tumbuh liar dalam hutan pamah yang mempunyai ketinggian 300 – 700 mter dari aras laut. la tumbuh di hutan Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Papua New Guinea. Ia juga dapat tumbuh subur di atas tanah gambut, tanah lempung berpasir, tanah liat dan juga tanah granit berasid yang kaya dengan bahan humus.

 

Pemilihan Varieti

Terdapat 3 varieti dijumpai di Malaysia yang mana varieti alata dan pumila lebih terkenal dalam perubatan traditional dan dipercayai lebih baik berbanding varieti lanceolata. Lagi pun, varieti alata umumnya digunakan untuk rawatan sebelum bersalin manakala varieti pumila digunakan untuk rawatan selepas bersalin. Pertumbuhan Kacip Fatimah sangat perlahan dan ketinggian pokok hanya boleh mencapai 10 – 40 cm dengan bilangan daun di antara 4 – 10 helai sahaja. Ia mempunyai bunga yang kecil serta buah berwarna hijau semasa muda dan menjadi merah terang apabila masak.


Bahan Tanaman

Kacip Fatimah boleh dibiak melalui biji benih, keratan batang, akar dan daun. daun. Walau bagaimanapun, pembiakan secara biji benih amat lambat dan mengambil masa yang panjang. Oleh yang demikian, pembiakan secara keratan daun telah dipilih kerana lebih ekonomi berbanding keratan batang dan akar. Keratan daun dapat membiak dengan banyak menggunakan daun-daun yang dikerat justeru adalah lebih praktikal.

 

Daun untuk pembiakan hendaklah hendaklah dipilih daripada pokok induk berumur 10 – 12 bulan. Pokok induk berumur lebih tinggi akan melambatkan proses pengeluaran akar dan tunas. Begitu juga daun daripada pokok induk hendaklah daripada varieti yang sama serta bebas serangan perosak dan penyakit demi menghasilkan bahan tanaman berkualiti. Setiap pokok induk boleh diambil 3 – 4 helai daunnya untuk tujuan keratan. Pokom induk kemudian dibiarkan beberapa bulan untuk pertumbuhan semula daun baru bagi penghasilan keratan seterusnya.

Setiap daun dikeratkan kepada 3 bahagian, iaitu bahagian atas, tengah dan bawah kemudian dicuci dengan air bersih sebelum dicucuk ke dalam medium pengakaran. Tapak semaian berpasir adalah sesuai sekali untuk pembiakan keratan daun. Keratan daun ini hendak juga disiram air sekurang-kurangnya 5 kali sehari selama 2 minit setiap siraman.

Keratan daun yang ditanam akan mengeluarkan akar pada minggu ketiga selepas ditanam. Namun, anak pokok ini dibiarkan terus sehingga berumur 2 bulan demi mendapat akar yang lebih banyak. Selepas itu, anak pokok dipindah tanam ke dalam polibeg untuk pengeluaran tunas. 6 minggu selepas itu, tunas akan mula keluar. Keseluruhan anak pokok di dalam polibeg mengambil masa 4 bulan untuk mencapai kematangan maksimum kemudian boleh dipindah tanam di ladang.

Di ladang, Kacip Fatimah perlu ditanam di bawah lindungan pancaran matahari kerana tumbuhan ini sangat sesuai dengan persekitaran yang mempunyai lindungan cahaya matahari. Oleh yang demikian, struktur jaring seelok-eloknya dipasang supaya memberi perlindungan daripada cahaya matahari sehingga 80%. Sistem pengairan adalah wajib untuk penanaman di ladang kerana tumbuhan ini perlu disiram dengan kerap. Sistem pengairan renjis ataupun titisan adalah disyorkan.


Penyediaan Batas Penanaman Di Ladang

Batas penanaman di ladang boleh menggunakan gentian kaca bersaiz 1.2 meter lebar x 2.5 meter panjang x 0.3 meter tinggi. Bekas kaca boleh digunakan untuk jangka masa yang panjang. Semua bekas penanaman ini hendaklah disusun dengan teratur di bawah rumah lindungan Satu rumah lindungan bersaiz 55 meter x 30 meter boleh disusn dengan 29 biji bekas tanaman. Bahagian bawah bekas tanaman kemudian diletakkan batu kelikir sedalam 2 cm – 10 cm tinggi untuk mengelakkan takungan air. Batu kelikir itu kemudian ditutupi dengan jaring hijau untuk memisahkan medium tanaman yang akan diletakkan selain juga untuk memudahkan penukaran medium apabila masa sudah sampai. Medium penanaman yang disyorkan ialah campuran cocopeat: tanah: tinja ayam yang sudah diproses dengan nisbah 3:2:1. Medium ini kemudian dibiarkan sekurang-kurangnya seminggu sebelum penanaman dimulakan.

Kacip Fatimah ditanam ke dalam medium tersebut pada jarak 25 cm di antara baris dan 13 cm di dalam baris bagi mendapat hasil optimum. Dalam keadaan ini, bekas tanaman bersaiz 1.2 meter lebar x 2.5 meter panjang dapat memuatkan 4 baris pokok dan 18 pokok di dalam satu baris. Jumlah keseluruhan di dalam satu bekas tanaman adalah sebanyak 72 pokok. Anak pokok ditanam pada kedalaman 8-10 cm. Sebelum penanaman, lubang tanaman digali serta memasukkan 5 g CIRP untuk menggalak pengakaran.

Pengurusan Tanaman Di Rumah Lindungan

Pembajaan Kacip Fatimah dilakukan sebulan sekali pada kadar 5 g/pokok dengan jumlah keseluruhan 8 kali dengan erti kata lain, baja keseluruhan yang diperlukan ialah 5 tan/ha/musim. Baja sebatian yang sesuai digunakan ialah 15/15/15.

Adalah perlu diingatkan bahawa aspek teduhan dan pengairan amat penting untuk tanaman ini kerana persekitaran yang lembap sekitar 70% adalah syarat penting kepada kultur tanaman Kacip Fatimah. Air yang tidak mencukupi akan merencatkan tanaman.

Masalah perosak dan penyakit bukanlah isu kritikal dalam penanaman Kacip Fatimah di rumah lindungan kerana ia bukan perumah kepada perosak. Walau bagaimanapun, sekiranya berlaku serangan, maka biopestisid atau biofungicid boleh digunakan. Racun kimia hendaklah dielakkan melainkan serangan tersebut menjadi serius.


Penuaian Hasil Kacip Fatimah

Apabila Kacip Fatimah mencapai umur 8 bulan selepas dipindah tanam di ladang, ia boleh dituai kerana pada peringkat ini, hasil dan bahan aktifnya berada di tahap optimum. Umpamanya bahan aktif fenolik, flavonoid dan asid galik adalah paling tinggi di peringkat umur ini. Lewat daripada umur ini, kualiti hasil akan menurun. Penuaian dilakukan dengan mencabut keseluruhan pokok. Bahagian daun Kacip Fatimah mengandungi bahan aktif paling tinggi berbanding batang dan akar. Potensi hasil Kacip Fatimah ialah 2 3.5 tan/hektar semusim bersamaan 0.52 tan/hektar/musim setelah dikeringkan.

Hasil tuaian hendaklah diasingkan mengikut daun, batang dan akar kemudian dicuci dengan air bersih sebanyak dua kali secara manual atau menggunakan mesin. Hasil kemudian dikeringkan sehingga 6 8% kandungan kelembapan bagi mengelakkan jangkitan kulat semasa penyimpanan. la juga boleh diracik sehingga halus sebelum dikeringkan bagi mempercepatkan proses pengeringan. Pengeringan secara meletaknya di bawah pancaran cahaya matahari ataupun penggunaan rumah solar boleh digunakan tanpa melibatkan kos yang tinggi namun ia adalah bergantung kepada keadaan cuaca.

Oven pada suhu maksimum 50°C boleh juga digunakan tetapi hendaklah mengelakkan daripada suhu yang lebih tinggi daripada itu kerana ia akan merosakkan kandungan fitokimia. Kacip Fatimah yang sudah dikeringkan kemudian dibungkus di dalam plastik LDPE dan dimasukkan ke dalam kotak karton berlubang. Kotak-kotak ini hendaklah disimpan di tempat yang bersih, kering serta dengan perubahan suhu bilik yang minimum.

 

Sumber :

Rosnani Abd Ghani et al., Manual Teknologi Penanaman Kacip Fatimah, MARDI, 2016.