Kimagri Corporation Sdn Bhd
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com
Website: www.kimagri.com
Potensi tanaman durian di Malaysia sangat cerah, keadaan ini telah merangsang ramai pekebun menceburi ke bidang ini. Baru-baru ini pihak pengurusan INFO PERTANIAN menerima panggilan dari seorang peladang sawit berkeluasan 3,000 hektar di Indonesia untuk mendapatkan maklumat mengenai penanaman durian. Rupanya beliau juga ingin menanam durian. Perkara ini membuktikan durian bukan sahaja diberatkan di Malaysia malah sama-sama dijunjung oleh rakyat di serantau Asia Tenggara.
Pokok durian perlu dicantum untuk mendapat bahan tanaman berkualiti supaya meningkatkan prestasinya ketika di peringkat ladang. Pokok cantuman amnya mengambil masa 4 – 5 tahun baru mula berbunga dan berbuah bergantung kepada suasana sekitaran penanaman. Umumnya anak benih berumur 2 bulan dan ke atas akan digunakan sebagai pokok penanti dalam proses cantuman. Selepas cantuman, pokok itu akan matang dalam masa 4 – 5 tahun selepas ditanam di ladang.
Di Hawaii, ada seorang pengusaha tapak semaian durian bernama John Mood sangat mahir dalam mengendalikan cantuman durian termasuk kaedah cantuman Hypocotyl. Melalui kaedah ini, anak benih yang sudah berjaya dicantumkan akan mengeluarkan hasil buah 1 – 2 tahun lebih awal. Ini tentu satu berita baik kepada semua peminat durian yang jika ada menanam durian di kebun masing-masing untuk memperolehi hasil buah dengan lebih awal sehingga 1 – 2 tahun. Kaedah tersebut dihuraikan seperti berikut :
Langkah 1 : Menyediakan satu anak pokok durian penanti yang baru mengeluarkan daun, umumnya pokok berusia 2 bulan.
Langkah 2 : Menyediakan sepucuk sion. Sion ini boleh diperolehi daripada baka durian yang ingin dicantumkan, misalnya Musang King atau baka-baka lain yang berkualiti tinggi. Sion juga hendaklah dikutip daripada pokok induk yang sihat. Garis pusat pucuk sion sebaik-baiknya setara dengan garis pusat batang pokok penanti serta mempunyai tunas daun yang baru terbit.
Langkah 3 : Memotong habis di bahagian Hypocotyl pokok penanti kemudian membelah bahagian atas pokok penanti itu yang sudah dipotong di bahagian Hypocotyl.
Langkah 4 : Memotong hujung pucuk sion kepada bentuk V kemudian disisip masuk ke bahagian atas pokok penanti yang sudah dibelah tadi. Bahagian cantuman ini kemudian diikat denga pita cantuman, selanjutnya menutup pokok penanti itu dengan beg plastik.
Langkah 5 : Seminggu kemudian, beg plastik itu ditanggal untuk melihat sama ada cantuman itu berjaya atau tidak. Jika tunas daun masih kekal hijau serta menunjukkan kesan pertumbuhan bermakna cantuman tersebut sudah berjaya.
Kelebihan Kaedah Cantuman Ini
1. Jika berjaya, pokok akan berbuah 1 – 2 tahun lebih awal.
2. Bahagian cantuman berada di aras yang lebih rendah dari permukaan tanah justeru pengendalian buah semasa pokok sudah matang menjadi lebih mudah.
Kelemahan Kaedah Cantuman Ini
1. Jika cantuman gagal, bermakna pokok penanti akan mati dan tidak boleh digunakan lagi.
2. Bahagian cantuman yang lebih rendah dari permukaan tanah meningkatkan risiko jangkitan penyakit Cerana Batang (Kanker).
Berkenaan dengan kadar kejayaan kaedah ini, tiada maklumat lanjut diberikan. Mereka yang berminat mencuba boleh gunakan sebatang dua pokok penanti untuk eksperimen. Selamat mencuba!
Bahan rujukan :
Lindsay Gasik, Year of The Durian.
Kimagri Corporation Sdn Bhd
Tel : +605 350 1032
Tel : 012-310 0715 / 016-442 8408
E-mail : kclee@kimagri.com