Palm King Marketing Sdn Bhd
Tel: +603-3191 6535
Email: info@klspalmking.com
Facebook: Palm King Marketing Sdn Bhd
Website: www.klspalmking.com
Tanaman Longan (Dimocarpus longan L.) sejenis tanaman sub tropika yang walaupun boleh ditanam dalam keadaan agro-iklim malaysia, namun wujudnya beberapa permasalahan yang harus dihadapi. Sebagaimana diketahui, tanaman ini adalah peka terhadap keadaan cuaca yang mana cuaca tropika yang amnya panas lembap sepanjang tahun merupakan satu batasan terhadap pembungaan dan seterusnya pembuahan tanaman ini.
Beberapa kaltivar Longan komersial yang telah didapati tidak akan berbunga secara semula jadi dalam keadaan cuaca Malaysia seperti kaltivar Edaw, Chompoo dan Biew Khiew. Kaltivar Edaw didapati akan berbunga melalui aruhan bunga menggunakan kalium klorat. Hanaya satu kaltivar komersial sahaja yang dapat berbunga secara semula jadi dalam ao courbenou sng workGI keadaan cuaca tropika seperti di Malaysia iaitu kaltivar Diamond/Berlian iaitu kaltivar yang dihasilkan melalui teknik bioteknologi oleh pihak Thailand.
Masalah Pertama : Cuaca Yang Kurang Sesuai
Kesemua kaltivar ini berasal dari Thailand, iaitu hub penanaman Longan yang penting dan berjaya di antara negara-negara di Asia Tenggara kerana cuaca sub tropika di situ yang sesuai untuk tanaman ini dari segi keperluan suhu yang rendah berpurata 15°C – 22°C sepanjang 2 – 3 bulan untuk semua kaltivar ini berbunga. Jika suhu waktu malam melebihi 25°C akan memberi impak negatif yang besar terhadap pembentukan buah. Di Thailand, suhu optimum untuk pembungaan dan pembuahan adalah di lingkungan 20°C -25°C namun suhu ini agak sukar diperolehi dalam keadaan Malaysia melainkan di tanah tinggi seperti di Cameron Highlands ataupun di sesetengah kawasan spesifik sahaja yang kebetulan berada dalam zon cuaca seumpama itu.
Masalah Kedua: Keperluan Mengaruh Bunga
Memandangkan tanaman Longan tidak dapat berbunga secara semula jadi, maka kaedah aruhan bunga dengan kalium klorat terpaksa dijalankan menurut kadar yang mencukupi dengan cara berdasarkan keluasan kanopi pokok demi menentukan kadar kalium klorat yang optimum untuk digunakan. Kaedah ini boleh berpandukan jadual 1 berikut :
Pengiraan keluasan kanopi pokok dimulakan dengan menentukan jejari baik dalam ukuran kaki ataupun meter, kemudian menggunakan kadar kalium klorat dan air yang setimpal sebagaimana ditunjukkan dalam jadual 1 kemudian dicairkan dengan menggunakan sebatang kayu. Larutan kalium klorat itu kemudian dicurahkan secara rata di bawah kanopi pokok. Dalam masa 25 minggu selepas rawatan dengan larutan kalium klorat ini, kesan akan dapat dilihat dalam masa 2 – 5 minggu.
Bagaimanapun, sebelum menjalankan rawatan ini, pokok tersebut hendaklah sudah matang dan tiada pucuk baru pada ketika itu. Di samping itu, kanopi pokok hendaklah bersih dan bebas daripada rumpai supaya memberi kesan optimum. Oleh yang demikian, amalan aruhan bunga untuk untuk tanaman tanaman Longan merupakan kerja tambahan dan dalam keadaan kekurangan tenaga kerja ladang tentu akan membebankan pengusaha tanaman.
Masalah Ketiga: Sifat Pengeluaran Hasil Setiap Dua Tahun (Biennial bearing)
Sifat pembuahan tanaman Longan ini menyebabkan pengeluaran hasil tidak konsisten iaitu berhasil tinggi pada setiap dua tahun manakala tahun-tahun di perantaraan itu berhasil rendah setakat 20 – 40% daripada hasil tersebut. Keadaan ini lebih ketara lagi bagi pokok berumur 10 tahun ke atas. Bukan kata hasil tinggi itu tidak diingini oleh pengusaha tanaman tetapi hasil buah yang terlalu tinggi sering menyebabkan dahan-dahan patah khususnya semasa ditiup angin kuat kerana keberatannya.
Selain itu, kualiti buah dalam musim penghasilan tinggi juga kurang berkualiti seperti buah kecil yang tidak digemari oleh pengguna. Buah besar berukuran garis pusat 2.5cm atau 18g/buah sahaja yang akan memperolehi harga pasaran yang baik. Oleh yang demikian, masalah ini sering diatasi dengan cara memangkas 40 – 50% jambak bunga ketika sepanjang 10 – 12cm dan juga memangkas 30% putik buah. Intensiti pembuangan jambak bunga dan putik buah adalah bergantung pada kesanggupan pokok menangggung keadaan penghasilan tinggi itu dan juga kecergasan pokok.
Kaedah ini telah diamalkan oleh pengusaha tanaman Longan di negara China dan Thailand. Di negera China, kaedah ini telah memberi kesan positif dalam pengurangan kesan biennial bearing di samping meningkatkan saiz buah.
Kerja memangkas bunga dan putik buah kelihatan akan membebankan pengusaha tanaman terutama bagi pokok-pokok matang yang mungkin sudah membesar dengan ketinggian yang agak sukar untuk menjalankan amalan ini. Tambahan didapati dahan pokok Longan mudah merekah dan mudah tumbang ekoran pertumbuhan vegetatif yang rimbun sehingga kanopi pokok agak berat seterusnya rentan terhadap tiupan angin atau ribut kuat.
Masalah Keempat: Amalan Pembajaan Hendaklah Lebih Teliti
Sifat pengeluaran hasil buah Longan mirip biennial bearing telah menjuruskan pengusaha tanaman mengamalkan pembajaan yang lebih teliti dan insentif demi mengurangkan kesan yang disebabkan oleh tabiat pengeluaran hasil. Untuk pokok belum matang, baja organik seperti najis haiwan digunakan pada kadar 10 kg/pokok/tahun dipecahkan kepada 3 – 4 pusingan. Baja kimia seperti 15/15/15 pada kadar 5 10kg/pokok/tahun juga perlu digunakan.
Bagi pokok matang yang sedang berhasil, pengalaman daripada pengusaha tanaman Thailand dari segi pembajaan ialah seperti berikut :
- 2 Minggu selepas kutipan hasil, pembajaan kali pertama dengan baja yang tinggi kandungan nitrogen (misalnya 20/10/10) digunakan untuk memupuk pertumbuhan vegetatif seperti pucuk baru dengan kadar 1kg/pokok serta taburan baja organik pada kadar 6 10kg/pokok. Kalsium nitrate boleh digunakan sebagai baja tambahan.
- Apabila panikel bunga capai ukuran 5cm, pembajaan kali kedua dijalankan dengan menggunakan baja 16/11/14 atau 15/15/15 pada kadar 1kg/pokok untuk memupuk pembentukan buah.
- Pembajaan kali ketiga dijalankan pada masa 2 minggu selepas buah terbentuk dengan baja dan kadar baja yang sama seperti perkara kedua di atas. Ini bertujuan untuk memupuk pembesaran buah.
- Pembajaan kali terakhir ialah semasa penukaran warna buah dengan taburan baja berumusan seperti 14/14/21 pada kadar 2 – 3kg/pokok.
Amalan pembajaan menggunakan baja NPK seperti dinyatakan di atas itu dijalankan secara penaburan ke dalam alur yang dibina di bawah kanopi pokok kemudian ditimbunkan dengan tanah permukaan dan diairkan.
Di negara China, pembajaan dilaksanakan sehingga 5 – 6 pusingan setahun untuk pokok matang di peringkat pembuahan dan pembajaan NPK pada nisbah 1:0.5:1 atau 1:1:4 dilaporkan telah meningkatkan pengeluaran hasil secara signifikan. Bagaimanapun, di Taiwan pokok Longan belum matang diberikan baja sebanyak 3 pusingan setahun manakala untuk pokok matang hanya dibajakan sekali setahun iaitu pada masa selepas pembentukan putik bunga.
Di Australia, tanaman Longan di situ mengamalkan pembajaan 4 kali setahun, iaitu semasa parnikel bunga terbentuk, sebulan sebelum pembentukan buah, sebulan selepas pembentukan buah dan 2 minggu selepas kutipan hasil.
Dengan kata lain, pembajaan untuk tanaman Longan hendaklah dijalankan denan berpandukan masa pembungaan dan pembuahan supaya baja yang diberikan betul-betul memanfaatkan pengeluaran dan kualiti hasil, iaitu satu amalan pembajaan yang kelihatan memerlukan ketabahan hati.
Masalah Kelima : Serangan Gagak, Kelawar dan Keluang
Buah Longan yang manis dan mudah dikopek amat digemari oleh gagak, kelawar dan keluang. Perosak spesies burung ini yang datang menyerang bukan sekadar dua tiga ekor atau sepuluh dua puluh ekor, sebaliknya jumlahnya boleh sehingga ratusan ekor menyebabkan buah Longan pada pokok akan habis dimakan dalam masa yang singkat. Masalah serangan ini walaupun dapat dikurangkan dengan memasang jaring/pukat di bahagian atas pokok namun ia tetap satu kerja tambahan yang memerlukan tenaga buruh tambahan untuk menyelenggarakan. Selain perosak-perosak ini, tanaman Longan juga menghadapi serangan perosak serangga seperti lalat buah, kutu trips, ulat pengorek buah dan sebagainya yang mana kawalan secara semburan racun dengan kerap adalah wajib.
Kesimpulan
Berdasarkan beberapa permasalahan yang disebutkan di atas, penanaman Longan kelihatan berhadapan dengan cabaran yang perlu ditangani. Walaupun teknik aruhan bunga boleh digunakan untuk merangsang pokok Longan berbunga, namun teknik aruhan yang kurang mahir akan menurunkan kesan tersebut. Begitu juga dengan aspek-aspek lain seperti pembajaan, kawalan perosak dan sebagainya terpaksa dijalankan dengan lebih teliti dan terancang berbanding dengan tanaman lain.
Senario ini wujud sebagai cabaran tambahan termasuk peningkatan kos pengeluaran kepada mereka yang ingin atau yang telah mengusahakan tanaman ini. Dengan kata lain, penanaman Longan hendaklah didahului dengan pemilihan kaltivar yang sesuai, mempunyai kemahiran aruhan bunga serta kesanggupan penggunaan baja supaya meningkatkan kadar kejayaan.
Hextar Fert Sdn. Bhd.
Tel: +603 3003 3333
Fax: +603 3003 3336