You are currently viewing Penanaman Jambu Batu Sepintas lalu

Penanaman Jambu Batu Sepintas lalu

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


All Cosmos Industries Sdn. Bhd.
PLO 650, Jalan Keluli 7, Pasir Gudang Industrial Estate, 81700 Pasir Gudang, Johor, Malaysia.
Tel : +607-2523788
Fax : +607-2512588
E-mail : sales_marketing@allcosmos.com

Website: www.allcosmos.com

Keluasan tanaman jambu batu di Malaysia berada di sekitar 3,141 ha (tahun 2017) dengan jumlah pengeluaran 67,000 tan bernilai RM137 juta (tahun 2016). Johor paling banyak menanam buah-buahan ini diikuti oleh kawasa Batang Padang di Perak dan Tawau di Negeri Sabah.

Jambu batu dibahagikan kepada dua jenis iaitu yang dimakan segar dan diproses. Buah berisi merah amnya untuk diproses manakala varieti makan segar amnya bersaiz lebih besar, berisi tebal, kurang berbiji atau tiada berbiji langsung, beraroma dan rangup.

Buah untuk dimakan segar dibahagikan pula kepada dua jenis iaitu yang berbiji dan tidak berbiji. Pokok yang menghasilkan buah tidak berbiji amnya mempunyai daun yang tebal serta beralun khususnya di bahagian pinggir. Buah tidak berbiji juga berbentuk tidak seragam malah bentuknya bagaikan cacat. Putik buah ini juga mudah gugur sehingga mencapai kadar keguguran 50%. Varieti buah tidak berbiji yang umum ditanam di Malaysia ialah Thailand Seedless dan Bangkok Epal. Kedua-dua varieti ini berasal dari Thailand. Buah tidak berbiji mungkin lebih disambut baik oleh pengguna tetapi pokoknya matang lebih lambat mengambil masa 16 – 18 bulan selepas ditanam baru matang, buah juga bersaiz kecil dengan berat purata di antara 100 300g. Malahan pengeluaran buah hanya satu musim setahun justeru membawa hasil yang lebih rendah berbanding buah berbiji. Bangkok Epal berbentuk seperti buah epal dengan kadar kecacatan bentuk buah yang lebih ringan.

Buah berbiji yang umum ditanam di Malaysia ialah varieti Kampuchea. Varieti ini disambut baik oleh penanam ekoran pokoknya berhasil tinggi serta isinya bermutu tinggi. Pokok Kampuchea juga berhasil awal, kira-kira 6 – 8 bulan selepas ditanam akan mula mengeluarkan buah. Namun begitu, hasil yang tinggi hanya berlaku semasa pokok berumur 2 tahun dan ke atas. Pokok berumur 4 – 5 tahun dapat memberi hasil sehingga 45 – 50 tan/ha/tahun. Bentuk buah Kampuchea kelihatan bulat, ada yang melonjong sedikit dengan purata berat 500g, kulit buah adalah nipis dan licin, isinya berwarna putih dan tebal serta memberi cita rasa yang manis dan rangup dimakan.


Buah Kampuchea mengambil masa 3 1⁄2 – 4 bulan untuk matang dikira daripada peringkat putik buah. Apabila warna buah menukar daripada hijau ke sedikit kekuningan bermakna buah sudah masak. Di bawah suhu biasa, buah ini hanya boleh disimpan 3 – 4 hari, jika disimpan dalam suhu sejuk umpamanya di bawah 10°C, tempoh simpanan buah boleh sampai ke satu bulan.

Selain varieti Kampuchea, sejenis varieti buah yang dikenali sebagai varieti Taiwan turut mendapat sambutan baik oleh petani kerana memiliki ciri-ciri tanaman seperti berhasil tinggi dan awal serupa dengan varieti Kampuchea. Bentuk buah Taiwan ini bagaikan buah pear dan berat purata mendekati 500g, berisi putih serta kandungan biji setakat 2 – 3% iaitu serupa dengan varieti Kampuchea.

Dua varieti berbiji yang lain adalah Glom Too Klau dan Glom Sali. Kedua-dua varieti ini bersaiz kecil dengan purata berat di sekitar 300g, hasilnya juga lebih rendah di sekitar 30 tan/ha/tahun. Kelebihan kedua-dua varieti ini ialah kandungan bijinya sangat rendah iaitu setakat 1% sahaja. Buah untuk dimakan segar amnya mempunyai dua musim pembuahan setahun serta berisi putih tidak kira berbiji atau tidak.

Varieti jambu batu untuk diproses amnya lebih berasid dan berisi merah, umpamanya varieti GU5 yang mengeluarkan buah selepas 10 – 12 bulan ditanam. Di peringkat umur 3 – 4 tahun, hasilnya mencapai 30 – 35 tan/ha/tahun. Varieti diproses ini mempunyai 2 – 3 musim setahun – satu ciri yang digemari oleh pengilang kerana bekalan lebih konsisten dalam prosesan mereka. Purata berat buah diproses adalah di sekitar 300-400g, apabila masak, buahnya mengeluarkan aroma yang kuat. Varieti ini sudah lama berada di Malaysia dan dianggap sebagai varieti kuno.

Beaumont juga varieti yang sesuai untuk diproses. Buahnya bersaiz sederhana tetapi berhasil lebih tinggi serta juga lebih awal. Pengeluaran aroma yang kuat juga salah satu ciri varieti ini. Burma Red juga varieti berisi merah dan merupakan varieti lebih baru di Malaysia, tetapi buah bersaiz kecil di sekitar 150 – 200g sahaja, memiliki dua musim pembuahan setahun serta beraroma kuat semasa masak.

Jambu batu dianggap sebagai tanaman buah-buahan tropika yang mudah ditanam serta serta bersesuaian dengan kebanyakan jenis tanah di Malaysia. Cantuman dan tut adalah kaedah pembiakan yang umum untuk tanaman ini. 3 minggu selepas cantuman, pita cantuman sudah boleh dibuka. Pengeluaran tunas menandakan cantuman tersebut sudah sudah berjaya. Kaedah tut pula berkehendakkan 40 – 50 hari baru boleh dipotong dan anak benih dialih ke dalam polibeg. Anak benih dalam polibeg dikultur selama 2 bulan baru boleh dipindah tanam di kebun. Kaedah tut yang dijalankan ke atas varieti tidak berbiji memerlukan masa 60 – 80 hari sebelum boleh dipotong dan dalihkan ke dalam polibeg.

Pembajaan untuk tanaman jambu batu amat penting khususnya petani kini sudah mengaplikasikan teknik penanaman yang lebih agresif seperti kepadatan tanaman yang lebih tinggi dan pangkasan pokok yang lebih kerap. Kemajuan yang diperolehi ini hendaklah disusuli dengan pembajaan yang mencukupi supaya tumbesaran terus kekal lestari. Dalam hal ini, pokok semasa berumur 1 tahun, baja seimbang boleh digunakan seperti rumusan 15/15/5 atau 16/16/16 dengan dos 200g/pokok pada setiap 2 bulan. Apabila pokok berumur 2 tahun dan ke atas, pengeluaran hasil akan bermula dan pembajaan di peringkat ini boleh dialihkan kepada rumusan 12/12/17 + 2 + TE dengan dos 200g/pokok setiap 2 bulan kemudian 300g/pokok pada tahun ke-3 dan seterusnya 500g/pokok pada tahun ke-4 dan ke atas.

Tambahan, baja organik juga diperlukan oleh tanaman jambu batu pada kadar 5kg/pokok setiap 6 bulan kerana baja ini akan memperbaiki cita rasa buah khususnya menambah kemanisannya. Penanaman di tanah berpasir akan menghadapi kadar larut resap yang lebih tinggi maka dos baja organik elok ditingkatkan kepada 10kg/pokok setiap 6 bulan.

Pembajaan dua bulan sekali lebih memenuhi permintaan nutrien pokok jambu batu memandangkan tanaman ini kerap dipangkas justeru nutrien yang lebih kerap tetapi pada dos yang lebih rendah akan memanfaatkan tanaman ini. Pembajaan di peringkat masa yang sesuai juga sangat penting, umpamanya semasa pemucukan baru pokok, musim pembungaan dan pembuahan, aplikasi baja akan membekal nutrien diperlukan oleh tanaman. Jika kebun memiliki sistem pengairan, pembajaan setiap bulan akan memberi kesan yang lebih baik lagi tetapi dengan dos baja dipecahkan secara saksama.

Pembajaan dilakukan dalam bulatan merumput tetapi harus berjarak sekurang-kurangnya 30cm dari pangkal batang pokok. Apabila pokok telah dewasa, pembajaan dilakukan di perantaraan baris pokok juga sesuai kerana sistem akar pokok telah berkembang justeru tidak perlu dihadkan dalam bulatan merumput.

Pangkasan pokok dilakukan selain untuk menghasilkan bentuk pokok yang seimbang, ia juga satu amalan untuk memupuk hasil buah. Tanaman ini akan berbunga berikutan pemucukan baru. Maka itu amalan pangkasan adalah tugas penting dalam pengurusan jambu batu. Kaedah pangkasan untuk pokok belum matang boleh dilihat di gambar 1 (anak benih tut) dan gambar 2 (anak benih cantuman).

Pembungaan bagi pokok jambu batu akan berlaku di pucuk muda. Oleh itu pangkasan merupakan rahsia sesetengah penanam bagi merangsang pembungaan dan pembuahan tanaman ini. Selepas pembentukan putik buah di ranting muda, penanam elok memotong bahagian hujung ranting tersebut kerana amalan ini akan membesarkan buah. Penjarangan putik buah juga memainkan peranan untuk mendapat buah yang lebih berkualiti seperti bersaiz lebih besar dan manis. Umpamanya jika satu gugusan buah dapat dijarangkan sehingga kekal satu biji akan membolehkan kualiti buah itu meningkat di samping juga mengelakkan ranting atau dahan patah akibat buah yang banyak.

Pangkasan pokok juga bertujuan memelihara kelestarian pokok. Di sisi ini, bahagian pokok yang layu, berpenyakit atau pucuk air hendaklah dibuang. Amalan ini akan meningkatkan pengudaraan dan kemasukan pancaran matahari selanjutnya mengekalkan kelestarian pokok.

Pengeluaran hasil pokok jambu batu tua juga boleh dirancakkan melalui pangkasan
ranting. Bagaimanapun, pangkasan berlebihan adalah dilarang kerana pokok akan mengalami kejutan dan selanjutnya langsung tidak berbunga dan berbuah sepanjang tahun.

Oleh yang demikian, pangkasan dahan sekunder hendaklah dilakukan mengikut kesesuaian pada setiap kali pangkasan.

Akhir sekali, pengairan juga sangat penting untuk tanaman ini. Kekurangan air jika berlaku, pemucukan baru dan pembungaan akan terjejas. Kekurangan air di peringkat putik buah akan mengakibatkan kadar guguran buah yang tinggi. Oleh yang demikian, kawasan penanaman yang sering menghadapi air hujan tidak menentu maka elok memasang sistem pengairan supaya mengelak daripada kerugian besar di musim kering seperti penurunan hasil, kemerosotan kualiti buah malah kematian pokok.

 

Sumber maklumat :

Y. Norlia (Penyunting), Penanaman Jambu Batu, MARDI, 1992.

- - iklan - - maklumat lanjut, sila klik


Simple Farm Sdn Bhd
Tel : 011-10709708 / 012-7699702
E-mail : mrbanana@simple-farm.com

Website: www.mrbanana.com.my

Sila kongsi kepada kawan :